Kuala Lumpur - Niat penghidap kanser tulang untuk menduduki peperiksaan SPM tahun ini sekali lagi terbantut apabila keadaan tidak mengizi...
Kuala Lumpur - Niat penghidap kanser tulang untuk menduduki peperiksaan SPM tahun ini sekali lagi terbantut apabila keadaan tidak mengizinkan selepas menjalani pembedahan memotong kaki kanannya bulan lalu.
Ini adalah tahun ketiga di mana Nursyafiqah Syamsul Akhmar, 19, terpaksa melupakan hasrat menduduki SPM selepas dia disahkan menghidap penyakit itu pada 2017.
Menurut ibunya, Saedah Mohd Said, 45, kaki kanan anaknya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawa Nursyafiqah selepas tahap kesihatannya kian merosot.
“Sebelum ini, dia ada menjalani kimoterapi di HKL tetapi kurang berkesan dan kaki kanannya perlu dipotong. Kini dia diberikan kaki palsu untuk melakukan rutin harian.
“Buat masa sekarang dia cuba menyesuaikan diri dengan kaki palsu itu dan masih menggunakan tongkat untuk berjalan,” katanya di rumah di Perumahan Kos Rendah peringkat tiga dan empat di sini, semalam.
Beliau berkata, anaknya sentiasa berharap untuk menduduki SPM namun terpaksa melupakannya untuk tahun ini kerana perlu menjalani rawatan susulan di HKL.
Katanya, penyakit dihidapi Nursyafiqah mula dikesan pada bahagian tulang lutut serta paha apabila anggota itu membengkak sejak berada di tingkatan lima hingga memaksanya bercuti dan tidak ke sekolah.
“Saya terkedu apabila doktor mengesahkan anak perempuan saya menghidap kanser tulang tahap tiga dan tidak dapat diselamatkan lagi,” katanya.
Saedah berkata, Nursyafiqah juga anak kedua daripada tiga beradik itu kini memerlukan penjagaan rapi termasuk perlu kerap ke HKL bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Sebagai suri rumah saya hanya bergantung kepada pendapatan suami untuk menampung perbelanjaan ke HKL.
Suami Yusri Mohamed, 39, hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan selain dia turut menghidapi penyakit asma yang kronik,” katanya.
Justeru, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Nursyafiqah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank berikut:
views
Kuala Lumpur - Niat asal mahu memulakan kehidupan baru selepas perceraian dan kematian ayah, tetapi apabila ingin memulakan hidup baru d...
Kuala Lumpur - Niat asal mahu memulakan kehidupan baru selepas perceraian dan kematian ayah, tetapi apabila ingin memulakan hidup baru di ibu kota, ia tidak semudah yang difikirkannya.
Itulah kisah seorang ibu tunggal, Mazliana Mohamad, 32, dan tiga anaknya, Nurlisa Adriana, 11, Nurkalisa Aryne, 7, dan Muhamad Fakhrul Aizudin, 2, yang menyewa bilik di rumah kedai di Pandan Indah.
"Tujuan ke sini adalah untuk memulakan kehidupan baru tetapi hingga ke hari ini ia masih buntu dengan kesempitan walaupun cuba untuk berdikari.
"Kali pertama saya tiba di sini, kesihatan saya mula merosot dan saya mengalami serangan asma sehingga hari ketiga saya terpaksa pergi ke wad.
"Anak-anak diserahkan penjagaan kepada adik angkat untuk sementera," kata wanita asal Johor Bahru itu.
Kerana rancangan awal tidak berhasil, Mazliana berada di bawah tekanan dan berfikir tentang mengikuti bapanya 'pergi' kerana tidak tahan dengan dugaan hidup.
Apa lagi, sepanjang hayatnya, ayahnya adalah harapan Mazliana dan anak-anaknya.
"Saya berasa sangat sedih kerana sejak semangat tersisa, saya tidak mempunyai tempat untuk bergantung. Apabila saya sakit, dia berada di sana. Malah kanak-kanak sekolah, dia membantu. Sekarang saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
"Sampai ke tahap saya fikir membawa anak mati bersama," katanya. Beliau berkata bapanya meninggal akibat serangan jantung dan kanser paru-paru pada 19 Julai.
Pada masa ini, kekuatan Mazliana adalah anak-anaknya walaupun mereka telah mengadu tentang ingin kembali ke sekolah.
Untuk membantu menjaga kehidupan anak-anak, dia bekerja sebagai jurujual sambilan dan membantu rakan perniagaan dalam talian dengan pendapatan antara RM700 dan RM800 sebulan.
Dengan jumlah wang itu, Mazliana digunakan untuk membayar sewa biliknya sebanyak RM300, membeli peralatan dapur, lampin dan susu bayi.
"Biasanya selebihnya RM100 ditinggalkan selama sebulan. Kami telah lapar selama beberapa hari selain makan sepinggan kongsi empat beranak.
"Anak-anak tidak dapat minum susu hampir sebulan dan terpaksa diberikan sirap sahaja. Lampin juga tak mampu beli dan hanya memakai pakaian yang koyak.
"Apabila saya pergi bekerja, anak-anak ditinggalkan dibawah penjagaan anak sulung. Tetapi sejak saya diganggu oleh orang asing yang ingin masuk ke rumah sewa ini, saya takut meninggalkan mereka, "katanya.
Dalam hati, Mazliana berharap dapat mengumpul wang untuk mencari rumah yang lebih selesa dan anak kembali ke sekolah.
"Anak-anak selalu mengatakan mereka mahu memakai pakaian sekolah dan kasut. Mereka juga sering mengatakan bahawa jika datuk masih ada, mungkin nasib mereka tidak seperti ini.
"Apabila saya mendengar mereka bercakap mengenai datuk nenek mereka, saya amat sedih kerana harapan saya hanya pada arwah," katanya.
Orang yang ingin membantu meringankan beban Mazliana dan anak-anaknya boleh mendermakan kepada akaun bank berikut atas nama Mazliana Mohamad:
Kuala Lumpur - Memohon sumbangan ikhlas bagi membantu pembiayaan kos perubatan sakit tulang belakang kronik, saudara Muhammad Yusoff Fahm...
Kuala Lumpur - Memohon sumbangan ikhlas bagi membantu pembiayaan kos perubatan sakit tulang belakang kronik, saudara Muhammad Yusoff Fahmi bin Mansor.
Merujuk perkara di atas, saudara kita, Yusoff, siswa guru tahun akhir dari Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar akan menjalani rawatan tulang belakang (Facet Joint Syndrome) untuk kali kedua di KPJ Sentosa, Kuala Lumpur dengan jumlah rawatan sebanyak lebih kurang RM8,000, tidak termasuk alat-alat bantuan perubatan yang juga menelan kos yang tinggi.
Sebelum ini, iaitu kali pertama beliau mendapat rawatan, kos perubatannya telah menelan perbelanjaan sebanyak RM10,000.
Kini beliau berada pada Semester 7 (Semester 1 Tahun 4) dan dijangka akan menamatkan pengajian Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPG pada Mei 2020.
Ayuh kita sama-sama bantu saudara kita ini. Tak dapat bantu untuk hulur sumbangan dalam bentuk kewangan, bantu kongsikan post ini agar individu yang lain dapat tahu akan perkara ini.
Mohon kepada anda semua agar doakan saudara kita ini, semoga beliau diberikan kesembuhan dan dapat menjalani pengajian PISMP di IPG seperti biasa dengan baik. Aamin.
InshaAllah, beliau akan mendapat rawatan perubatan kali kedua pada 28 Oktober ini. Dengan rendah hati, saya mengajak kepada sesiapa yang ingin memberi sumbangan ikhlas untuk membantu saudara kita ini, anda boleh menyalurkan sumbangan ke akaun milik Muhammad Yusoff Fahmi bin Mansor seperti berikut:
Kuala Lumpur - Seorang pemandu bas, Azyansyah Arifin, 53, memerlukan RM20,000 bagi menampung kos membawa pulang anak perempuannya, Rosima...
Kuala Lumpur - Seorang pemandu bas, Azyansyah Arifin, 53, memerlukan RM20,000 bagi menampung kos membawa pulang anak perempuannya, Rosimatan Ni'mah, 17, yang kini berada dalam keadaan koma di unit rawatan rapi sebuah hospital di Mesir, sejak beberapa hari lalu.
Azyanshah, berkata beliau buntu untuk mendapatkan wang berkenaan bagi membayar bil hospital dan membeli tiket penerbangan untuk membawa pulang anak dan isterinya kerana pendapatnya sebagai pemandu bas tidak seberapa.
Katanya, isterinya, Rosmawati Khalidin, 43, sudah berada di Mesir untuk menemani dan memantau keadaan anaknya di sebuah hospital di Iskandariah.
"Oleh itu saya merayu kepada orang ramai supaya dapat menghulurkan sumbangan dan derma seikhlas hati supaya saya dapat membawa pulang anak saya untuk menerima rawatan di hospital di Malaysia secepat mungkin," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Azyanshah berkata, beliau masih bingung dengan penyakit misteri yang dialami anak perempuannya kerana ketika mula dimasukkan ke hospital dua minggu lalu, doktor yang merawatnya mengesahkan anaknya sihat dan dibenarkan pulang ke asrama.
Bagaimanapun, katanya, enam hari lalu anaknya sekali lagi dimasukkan ke hospital sebelum koma seperti sekarang.
“Saya sudah berhubung dengan wakil Kedutaan Malaysia di Mesir untuk urusan membawa pulang anak perempuan dan isteri apabila mendapat pembiayaan mencukupi,” katanya.
Minta orang ramai hati-hati salur derma
Azyanshah meminta orang ramai tidak menyalurkan derma menerusi akaun CIMB yang tersebar di internet dan media sosial kerana bukan miliknya serta berkemungkinan palsu.
Azyanshah yang dihubungi wartawan mengesahkan nombor akaun bank berkenaan adalah palsu dan mungkin digunakan individu tertentu dengan niat untuk menipu orang ramai.
“Saya berterima kasih kepada mereka yang bermurah hati dan menghulurkan derma bagi membolehkan kami membawa pulang anak kami, Rosimatan Ni’mah, 17, untuk menerima rawatan di tanah air.
“Namun, saya nasihatkan sesiapa yang ingin menghulurkan derma atau sumbangan supaya menghubungi saya kerana takut ada pihak ambil kesempatan untuk menipu dengan menggunakan laporan berita sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan ke akaun bank berikut atas nama Azyansyah Arifin atau menghubungi beliau di talian berikut:
Kuala Lumpur - Impian sepasang suami isteri melihat anak kesayangan membesar secara sihat persis kanak-kanak lain dilihat tidak kesampaia...
Kuala Lumpur - Impian sepasang suami isteri melihat anak kesayangan membesar secara sihat persis kanak-kanak lain dilihat tidak kesampaian ekoran penyakit lebihan cecair di kepala yang dihidapi puteri bongsu pasangan tersebut.
Lebih menyedihkan, Nur Qhayla Rania Firdaus yang berusia tiga tahun bukan sahaja terlantar kaku selain terpaksa menggunakan tiub khas untuk makan malah turut menjalani sebanyak enam pembedahan sejak dilahirkan pada tahun 2016.
Menurut ibunya, Che Siti Noor Azreen Che Ishak, 24, anak kedua daripada dua beradik itu dilahirkan secara tidak normal apabila mempunyai ukuran lilit kepala yang agak besar iaitu sepanjang 37 sentimeter (cm) berbanding normal sekitar 20 cm.
Jelasnya, sejak itu, Qhayla terpaksa berulang alik dari rumahnya yang terletak di Kampung Alor Pasir, Tanah Merah, Kelantan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada setiap bulan bagi menerima rawatan.
“Walaupun jarak hospital dengan rumah agak jauh iaitu sekitar 40 kilometer namun kami tidak mempunyai pilihan lain, apa yang penting Qhayla perlu menjalani rawatan dan mampu tersenyum kembali seperti kanak-kanak lain seusianya.
“Secara kebiasaannya, kami akan membawa Qhayla ke HUKM pada setiap minggu bagi mendapatkan rawatan fisioterapi manakala temu janji bersama doktor pakar diadakan sekali sebulan,” katanya ketika dihubungi di sini tadi.
Che Siti menambah, perasaannya juga sering terguris setiap kali melihat puteri kesayangannya menangis kesakitan berikutan tekanan air di kepala yang tinggi seterusnya menyebabkan ubun-ubun Qhayla membengkak.
“Situasi ini sering terjadi selang setiap dua hari, ketika itu, Qhayla hanya mampu menepuk ubun-ubunnya sebagai memberi isyarat sedang bertarung dengan kesakitan,” ujarnya.
Dalam pada itu, kami sekeluarga juga perlu berjimat-cermat dalam perbelanjaan harian demi menampung kos rawatan Qhayla memandangkan suami, Mohd Firdaus Abdullah, 27, hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.
“Kos rawatan Qhayla bukan sahaja meliputi perbelanjaan ulang-alik ke hospital malah dia turut bergantung sepenuhnya dengan susu formula khas bernilai kira-kira RM350 sebulan selain lampin pakai buang bernilai RM90.
“Kami sekeluarga hanya mengharapkan gaji suami yang tidak menentu selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menampung perbelanjaan Qhayla serta membesarkan seorang lagi kakaknya berusia enam tahun,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan dan bantuan boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun bank berikut atas nama Che Siti Noor Azreen Che Ishak:
Kuala Lumpur - Hanya kesedihan dirasai selepas rumah didiami sejak tujuh tahun lalu musnah dalam kebakaran, kata Nor Shahfaizal Mohd Noor...
Kuala Lumpur - Hanya kesedihan dirasai selepas rumah didiami sejak tujuh tahun lalu musnah dalam kebakaran, kata Nor Shahfaizal Mohd Noor, 41. Dia berkongsi perasaannya selepas rumah kayu yang didiami bersama isteri, Nik Ruzilawati Raja Manshor, 41, dan tiga anak musnah dalam kebakaran Selalu lalu.
Kebakaran itu menyebabkan Nor Shahfaizal kerugian lebih RM200,000 dan sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa bergantung dengan sumbangan ihsan orang ramai.
Menceritakan perkara sebenar, Nor Shahfaizal berkata, kejadian berlaku ketika dia sekeluarga tiada dia rumah dan dipercayai angkara perbuatan khianat individu tidak dikenalpasti.
“Ketika kejadian, saya berada di luar atas urusan kerja manakala isteri dan anak-anak di rumah kakak di Subang Jaya, Selangor.
“Saya tahu mengenai kejadian itu pun selepas menerima panggilan daripada rakan tetapi tidak dapat menyelamatkan apa-apa kerana selepas tiba di rumah, semuanya sudah musnah dijilat api.
“Saya rasa tak sedap hati dan berat untuk keluar dari rumah pada hari berkenaan dan tak sangka perasaan itu petanda perkara buruk akan berlaku,” katanya di tapak rumahnya di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves.
Menurutnya, sejak kejadian itu, dia bermalam di khemah yang dipasang berhampiran tapak rumahnya.
Sementara isteri dan tiga anaknya menumpang teduh di penempatan sementara iaitu sebuah rumah yang terletak di Fasa 8, Taman Sri Gombak.
“Kebakaran itu bukan hanya memusnahkan perkakas rumah tetapi aset lain seperti motosikal dan peralatan digunakan untuk mencari rezeki seperti mesin rumput, generator dan set pertukangan serta alat ganti kenderaan.
“Namun saya tak boleh berganjak dari sini kerana ada aset lain iaitu van serta haiwan ternakan seperti lembu, ayam, itik, angsa serta kucing yang perlu dijaga.
“Sebab itu, saya ambil keputusan bermalam di khemah saja manakala yang lain (anak dan isteri) di penempatan sementara.
“Saya terima dengan reda dan anggap ini ujian Allah SWT cuma perlu bangkit dengan bermula semula dari bawah untuk membina rumah yang sudah musnah kerana mahu kekal menetap di sini,” katanya yang melakukan pelbagai pekerjaan termasuk memotong rumput dan menjual petai untuk menyara keluarga.
Sementara itu, isterinya, Nik Ruzilawati yang kini mengandung tujuh bulan sedih dengan apa yang berlaku tetapi bersyukur kerana insiden berkenaan tidak meragut nyawa mereka sekeluarga.
“Tiada apa yang tinggal kerana semuanya musnah termasuk buku, baju dan kelengkapan sekolah anak-anak.
“Malah kucing peliharaan kami juga hampir mati dalam kebakaran itu. Namun ramai juga rakan, masyarakat setempat dan guru SK Taman Sri Gombak 2 dan SMK Hillcrest datang melawat serta menghulurkan sumbangan kepada kami selepas kejadian,” katanya.
Musibah yang menimpa keluarga Nor Shahfaizal mendapat perhatian warganet selepas kisah itu dimuat naik di laman Facebook Taman Sri Gombak.
Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga itu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun bank berikut atas nama Nik Ruzilawati Raja Manshor:
Kuala Lumpur - Tiada sesiapa pun pernah meminta untuk dilahirkan berbeza dengan insan lain. Malah, tidak pernah terdetik dalam hati kita ...

Kuala Lumpur - Tiada sesiapa pun pernah meminta untuk dilahirkan berbeza dengan insan lain. Malah, tidak pernah terdetik dalam hati kita untuk hidup bergantung dengan simpati orang lain sehingga akhir hayat.
Hal ini kerana setiap daripada kita pasti mengimpikan kehidupan bahagia bersama keluarga dan rakan-rakan yang memberikan kegembiraan selain mampu menggapai cita-cita untuk menjadi seorang yang berjaya dan membahagiakan keluarga serta orang tersayang.
Namun, takdir Tuhan tiada siapa yang pernah tahu dan mampu menekanya. Panas yang disangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.
Pada saat manusia normal lain menjalani kehidupan dengan bahagia dan bernafas bebas dengan udara nyaman, masih ada insan yang terpaksa bergantung dengan mesin pernafasan bagi meneruskan hidup.
Begitulah takdir hidup yang terpaksa dilalui oleh J. Kanesan, 29, apabila disahkan menghidap sejenis penyakit ganjil sehingga membuatkan dia tidak mampu bernafas dengan baik. Ekoran itu, dia hanya mampu terlantar, mengharapkan ‘belas ihsan’ daripada mesin bantuan pernafasan untuk terus hidup.
Dilahirkan sebagai bayi yang comel dan sihat, namun ketika Kanesan menginjak usia enam tahun, dia disahkan menghidap penyakit Muscular Dystrophy (MD), sejenis penyakit otot jarang jumpa (rare disease) yang membuatkan seluruh badannya lumpuh manakala sistem pernafasan menjadi lemah.
Sejak itu, kehidupan kanak-kanaknya mula berubah. Ototnya menjadi semakin hilang fungsi sehingga tidak mampu lagi berjalan. Kanesan hanya mampu merangkak jika mahu bergerak ke mana-mana ketika usianya menginjak 11 tahun.
Ibunya, K. Indrani, 56, berkata, akibat penyakit itu, anak bongsunya hanya mampu menghabiskan persekolahan di peringkat rendah dan tidak sempat merasakan alam persekolahan menengah kerana tidak mampu berjalan atau duduk dengan betul.
“Ketika memasuki usia enam tahun, dia menunjukkan tanda-tanda penyakit ini iaitu tubuhnya yang sihat menjadi semakin kurus dari sehari ke sehari. Selain itu, dia kurang berselera untuk makan dan bernafas dengan sangat laju membuatkan saya mengambil keputusan untuk membawanya berjumpa doktor.
“Hati saya sedih bila doktor sahkan anak saya menghidap penyakit ganjil yang akan mengubah hidupnya buat selama-lamanya. Dia juga terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan sepanjang hayat kerana tidak dapat bernafas dengan baik,” ujarnya ketika ditemui S2 di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Meniti hari demi hari, tahun terus berganti, mata ibu yang sayu itu menyaksikan perubahan anak yang semakin meningkat dewasa, namun semakin tidak berdaya dan terbaring lesu.
Bagi Kanesan pula, dia menganggap ini sebagai satu perjalanan hidup yang harus ditempuhi dengan tabah. Dia bersyukur kerana mempunyai ibu dan keluarga yang sangat menyayanginya sepenuh hati.
“Saya sedih kerana ketika masih mampu bergerak dahulu, saya sangat suka melukis dan menyunting video kerana saya mempunyai akaun YouTube saya sendiri. Itu yang saya lakukan untuk menjana pendapatan.
“Melalui ‘review’ di YouTube, saya boleh meraih pendapatan sekitar RM400 dalam sebulan. Dapatlah saya bantu ibu membeli keperluan perubatan saya. Namun kini, saya tidak boleh melakukan itu lagi kerana tangan saya sudah tidak sekuat dahulu,” ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik.
Tambahnya, dia kini hanya mampu menonton tutorial menghasilkan video di YouTube bagi mengisi masa senggang.
Keadaan Kanesan yang memerlukan bantuan mesin pernafasan sepanjang masa merungsingkan hati si ibu apabila memikirkan risiko jika gangguan bekalan elektrik.
Hal ini kerana, Kanesan tidak boleh ‘berpisah’ langsung dengan mesin itu walaupun sebentar.
“Kanesan bergantung sepenuhnya pada mesin ini untuk hidup. Jika dicabut sekejap pun, dia tidak boleh bernafas dengan betul dan mula berasa pening.
“Kadang-kadang apabila bekalan elektrik terputus atau terganggu, saya akan membeli bateri untuk menjana tenaga kepada mesin berkenaan yang berharga RM5,000. Tetapi bateri itu hanya boleh bertahan sehingga empat jam sahaja,” jelasnya yang merupakan ibu tunggal.
Biarpun hanya bekerja sebagai penjual sayur dan ikan dengan keuntungan bersih sehari sekitar RM50, Indrani tidak kisah memerah keringat tuanya untuk memenuhi keperluan perubatan Kanesan yang agak besar. Seawal pukul 5 pagi, Indrani akan keluar berniaga dan hanya pulang ke rumah sekitar pukul 1 petang.
“Bila saya keluar bekerja, kakak Kanesan yang tinggal di kawasan perumahan yang sama akan datang menjaganya dan selepas habis bekerja, saya pula akan menjaganya.
“Anak-anak yang lain turut membantu tetapi saya kena kerja juga kerana kos untuk penyelenggaraan mesin bantuan pernafasan agak mahal. Ada peralatan yang perlu diselenggara secara bulanan dan tahunan,” jelasnya.
Indrani berkata, walaupun pendapatan keluarga tidak mencukupi, dia tetap membelanjakan sekitar RM500 sebulan untuk keperluan Kanesan seperti lampin pakai buang, susu dan penyelenggaraan mesin bantuan pernafasan.
“Saya kerja hanya untuk dia. Duit saya semuanya saya bagi untuk kegunaannya kerana saya tahu anak saya lebih memerlukannya,” jelasnya.
Sumbangan kepada keluarga ini boleh disalurkan melalui akaun bank berikut atas nama Indrani A/P Krishnan atau menghubunginya:
Cheras - “Rasa seperti burung yang patah sayap selepas berpisah dengan suami kerana terpaksa menjual kereta dan rumah ibu demi melangsaik...
Cheras - “Rasa seperti burung yang patah sayap selepas berpisah dengan suami kerana terpaksa menjual kereta dan rumah ibu demi melangsaikan hutang bagi meneruskan hidup,” kata ibu tunggal tiga anak, Suria Ahmad, 37.
Suria berkata, masalah kewangan juga menyebabkannya terpaksa menumpang di rumah adik-beradik lain sebelum menyewa bilik di Bayu Tasik Condominium, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini.
Dia tinggal di situ bersama ibu, Yom Che Din, 77, serta dua anaknya, Ahmad Qalif Mikael, 10, dan Ahmad Ammar, 5. Manakala, anak sulungnya, Ahmad Ehsan Firdausi, 13, pula dihantar ke sebuah madrasah bagi menyambung pengajian.
“Sebelum ini, saya pernah bekerja di kedai serbaneka, tetapi hanya bertahan tiga bulan saja sebelum berhenti kerana mengalami serangan jantung selain sering rasa panik dan resah apabila berhadapan dengan pelanggan berikutan masalah anxiety disorder (gangguan kerisauan).
“Bukan saya tidak mahu mencari pekerjaan tetap cuma penyakit itu yang menjadi penghalang, tetapi demi mendapatkan wang, saya lakukan kerja dari rumah dengan mengambil upah memasak.
“Namun, tempahan diterima tidak menentu, jadi pada hujung minggu, saya bersama kakak ipar menjual barangan terpakai secara jualan bonet kereta di AU5, Keramat sebagai ikhtiar untuk mendapatkan wang,” katanya yang berasal dari Mergong, Alor Setar, Kedah.
Menurut Suria, buat masa ini dia bergantung dengan bantuan bulanan RM250 selain ihsan ibu yang mendapat wang pencen arwah bapanya berjumlah RM300.
Suria berkata, lebih membimbangkannya kini adalah apabila diminta mengosongkan bilik didiami kini kerana pemilik mahu menyewakan rumah berkenaan kepada individu lain.
“Setiap bulan, saya perlu menjelaskan sewa bulanan bilik RM550 dan jumlah itu tidak termasuk bil api dan air. “Bekas suami ada membantu, tetapi jumlah diberi hanya cukup-cukup dan lebih membuatkan saya buntu apabila tuan rumah memberi tempoh sehingga 11 Mei depan saja untuk tinggal di sini.
“Saya sudah membuat permohonan menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan berharap mendapat maklum balas segera kerana masa sudah semakin suntuk,” katanya yang mempunyai penyakit saluran jantung tersumbat, Unstable Angina sejak 2008.
Menurut Suria, kesusahan dialami pernah membuatkannya rasa tidak berguna sehingga mengalami masalah kemurungan.
Namun, dia bersyukur kerana masih mempunyai anak dan ibu di sisi dan merancang menambah pendapatan dengan menyediakan sarapan pagi serta menjual pek makanan tengah hari berikutan adanya permintaan.
“Ada yang pernah mempersoalkan saya kerana tidak bekerja dan mengatakan sampai bila mahu meraih simpati daripada orang sekeliling. “Sedih juga bila mengenangkan kata-kata mereka, tetapi dan anak dan ibu yang menjadi pembakar semangat untuk saya terus hidup.
“Pada masa sama, saya turut berdoa semoga dipanjangkan usia supaya dapat menjaga anak dan ibu sehingga ke akhir hayat,” katanya. Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun bank berikut atas nama Suria Ahmad:
Ampang - Lebih dua minggu atlet muda silat gayong wanita negara, Ainbatrisyia Amran masih tidak sedarkan diri selepas mengalami kekejanga...
Ampang - Lebih dua minggu atlet muda silat gayong wanita negara, Ainbatrisyia Amran masih tidak sedarkan diri selepas mengalami kekejangan otot ketika berehat, hanya tiga hari sebelum dijadualkan menyertai kejohanan peringkat kebangsaan.
Ketika kejadian, atlet pra Sukma Pulau Pinang itu sedang berehat selepas menjalani latihan bagi persediaan untuk menyertai Kejuaraan Pencak Silat Kebangsaan pada 21 Mac lalu. Menurut ibu atlet itu, Noorida Ismail,42, Ain mengalami kekejangan otot dan tidak sedarkan diri ketika menyertai latihan pusat di Ampang.
"Sejak hari itu dia langsung tidak sedarkan diri, dan tidak ada sebarang respons daripadanya. "Kelmarin doktor ada menjalani rawatan di bahagian otaknya yang didapati bengkak akibat rawatan pemulihan sistem jantung (CPR) selama sejam ketika insiden berlaku. "Ia juga menyebabkan kakinya lebam akibat saluran darah tidak lancar.
"Hari ini ada sedikit perubahan apabila matanya sedikit bergerak, namun masih belum sedarkan diri," ujarnya dengan nada sayu ketika dihubungi media.
Noorida berkata, sejak insiden malang itu berlaku ke atas anak keduanya, dia dan suami (ayah Ain) mengambil keputusan tinggal di bilik yang disediakan hospital di Ampang itu. "Memang setiap hari tinggal di sini untuk menjaga Ain, terpaksa tinggalkan adik Ain di kampung bersama makciknya.
"Saya memang harapkan Ain akan sedar. Buntu tidak tahu apa nak fikir. "Sejak insiden berlaku Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia ada mengambil berat perkembangan Ain dan memberi bantuan. "Cuma tidak tahu selama mana akan berada di hospital ini dan terpaksa meninggalkan kerja di Pulau Pinang," jelasnya.
Tambah Noorida, sebelum ini Ain memang seorang yang aktif bersukan dalam acara silat dan tidak pernah mengalami apa-apa masalah kesihatan.
"Dia wakil Pulau Pinang pada Sukan Malaysia dan dipanggil untuk berlatih bersama skuad kebangsaan. "Memang terkejut dan sebagai ibu, kejadian ini amat menyedihkan saya," katanya. Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Ain boleh berbuat demikian.
Kuala Lumpur - Assalamualaikum. Nama saya Syafiq Latip dan saya berumur 27 tahun. Empat tahun yang lalu saya didiagnosis menghidap haemo...
Kuala Lumpur - Assalamualaikum. Nama saya Syafiq Latip dan saya berumur 27 tahun. Empat tahun yang lalu saya didiagnosis menghidap haemongoma pulmonari dan dikejarkan ke pusat perubatan.
Doktor melakukan beberapa checkup dan menghantar saya ke hospital lain untuk semakan pakar. Satu lagi ujian biopsi telah diberikan kepada saya dan mendapati bahawa saya mempunyai tumor yang dikenalpasti sebagai germ cell tumor di sebelah kanan saya paru-paru.
Pada tahun 2016, doktor melakukan operasi utama di paru-paru saya untuk membuang tumor dan segala-galanya baik-baik saja, saya fikirkan...namun selepas satu sesi kemoterapi, tumor tumbuh kembali dan menjadi agresif sehingga 20 cm.
Saya melakukan chemotheraphy 55 kali (4 kitaran) 2 BEP dan 2 TIP. Doktor mengumumkan bahawa saya tidak lagi dapat disembuhkan dengan ubat. Oleh itu, mereka hanya boleh menawarkan rawatan paliatif. Hari demi hari satu perjuangan yang terus datang.
Masuk dan keluar hospital adalah rutin yang biasa sehingga keluarga saya kehabisan wang saya. Saya mempunyai seorang ibu yang berada dalam keadaan koma dan baru sahaja sedar, tetapi dia tidak ingat apa-apa dan ayah saya sudah tidak lagi bekerja.
Memandangkan saya mempunyai beberapa perkara yang perlu dibayar seperti:
- kereta
- hutang
- bil-bil
Oleh kerana saya tidak boleh bekerja, dan hutang-hutang semakin bertambah.
Tolong, tolong saya.
Tolong bantu saya kerana saya tidak mempunyai pilihan lain.
Saya mahu menjadi sihat kembali.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke akaun bank atas nama
Juanita Abdol Latip (Kakak):
Kuala Lumpur - Polis Kuala Lumpur memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang gadis yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu. ...
Kuala Lumpur - Polis Kuala Lumpur memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang gadis yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.
Dalam satu kenyataan media, Polis Kuala Lumpur memaklumkan, kehilangan Thangam Raja Muthu berusia 19 tahun telah dilaporkan di Balai Polis Tun H.S Lee.
“Kali terakhir gadis ini dilihat berada di alamat Nombor 9, Blok 3, Tingkat 13, Flat San Peng, Kuala Lumpur.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat bolehlah menghubungi Sarjan Abi Shafazeem Arshad, Balai Polis Tun H.S Lee di talian
013-5675872, Balai Polis Tun H.S Lee
03-9221 2222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian
03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Kuala Lumpur - “Nak buat macam mana lagi? Saya ambil keputusan jual dua kereta kepunyaan sendiri dan anak tapi berapa sen sangatlah yang ...
Kuala Lumpur - “Nak buat macam mana lagi? Saya ambil keputusan jual dua kereta kepunyaan sendiri dan anak tapi berapa sen sangatlah yang dapat,”.
Demikian kata bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, 57, sebagai ikhtiarnya mencari wang untuk membiayai kos rawatan pembedahan jantung anak keduanya, Shahmirnuri.
Yazit berkata, Shahmirnuri atau Boy, 34, secara tiba-tiba mengadu sesak nafas sedangkan dia tidak mempunyai sebarang penyakit sebelum ini.
“Dalam seminggu, saya tengok keadaannya semakin teruk dan terus membawanya ke HKL. Doktor buat pemeriksaan dan mengesahkan jantungnya bengkak.
“Boy dirawat di HKL selama seminggu sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang kerana di situ ada pakar jantung.
“Doktor beritahu jantungnya perlu dimasukkan bateri dan saya kena sediakan kos sekitar RM40,000 untuk pembedahan,” katanya.
Menurutnya, dia buntu mencari wang sebanyak itu dan meminta bantuan rakan menularkan cerita berkenaan di laman sosial.
"Mereka akur dan bantu saya, tapi senyap saja serta tiada respon daripada masyarakat. Mana orang ada duit untuk bantu dalam keadaan sekarang.
“Setakat ini saya belum mengajukan perkara ini kepada mana-mana persatuan artis dan bercadang berjumpa Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah air Datuk DJ Dave untuk meminta bantuan.
“Saya juga berusaha mendapatkan bantuan Baitulmal dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mencari wang bagi tujuan ini,” katanya.
Nasib Yazit ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana dirinya juga uzur akibat masalah buah pinggang dan memerlukan kos yang tinggi untuk rawatan dialisis.
Penyakit yang dideritai itu sekali gus membataskan pergerakannya untuk mencari pendapatan buat keluarga.
Yazit berkata, Boy bekerja sendiri dan sebelum ini tinggal berasingan daripada mereka. “Dia baru saja tinggal bersama kami. Tak sampai enam bulan, dia tiba-tiba jatuh sakit.
“Ketika zaman kanak-kanak, kesihatannya baik tanpa sebarang masalah,” katanya. Selain Boy, Yazit dan isterinya, Ramlah Ahmad, 59, turut mempunyai dua anak perempuan iaitu Razilah, 38, dan Shafiqa Nurlis, 29.
Kuala Lumpur - Anak kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, iaitu Sazali memberitahu dia kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan yang ...
Kuala Lumpur - Anak kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, iaitu Sazali memberitahu dia kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan yang diterima sebanyak RM 650 sebulan.
Ia susulan tidak mampu bekerja selepas terbabit dalam kemalangan pada 2012. Dia yang juga pemegang kad Orang kelainan Upaya berkata, Lembaga Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat ada memberikan bantuan bulanan.
Namun, itulah duit makan mereka dan kadangkala, terpaksa ikat perut untuk menyediakan kos rawatannya dan isteri di hospital.
Sazali yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja am di Alam Flora terjatuh basikal dalam perjalanan pulang ke rumah.
Isterinya, Hamidah Hitam, 55, pula menjalani pembedahan bahagian tulang belakang, lima bulan lalu dan masih perlu menjalani fisioterapi berjadual dan rawatan susulan bagi mengelakkan masalah bertambah kronik.
“Kalau sihat, saya enggan menyusahkan sesiapa. Biarlah kami makan apa yang ada, tetapi keadaan kesihatan kami berdua tidak menentu.
“Sekarang, untuk membongkokkan badan pun susah, manakala isteri turut menderita sakit leher kesan daripada keadaan tulang belakang.
“Memang kami terpaksa pergi jauh memandangkan di kawasan tempat tinggal di Semenyih, tiada hospital kerajaan. Namun, kami tetap bersyukur kerana masih ada yang sudi bertanya khabar,” katanya. Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan.
Kuala Lumpur - Adik Bajai, 6 tahun, dari Raub, Pahang. Menderita barah darah (leukimia) sejak Julai 2018. Kini sudah 2 bulan berada di Wa...
Kuala Lumpur - Adik Bajai, 6 tahun, dari Raub, Pahang. Menderita barah darah (leukimia) sejak Julai 2018. Kini sudah 2 bulan berada di Wad KK3 Hospital Besar Kuala Lumpur.
Bajai Karat, 6, baru selesai menjalani rawatan kimoterapi dan kelihatan lemah sambil ditemani ibunya di Wad Kanser, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini. Bajai dari suku kaum asli di Raub, Pahang itu adalah antara 24 kanak-kanak yang kini dirawat di wad berkenaan kerana menghidap kanser.
Kesakitan dan kemuraman mereka bagaimanapun sedikit terubat apabila dikunjungi pelawat yang hadir dengan pelbagai sumbangan bagi menceriakan kanak-kanak di wad itu, dan hari ini mereka dikunjungi Persatuan Usahawan Wanita dan Kemanusiaan (WeHuman) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Mereka hadir bersama badut yang membawa belon dan mainan untuk anak-anak kecil itu. Hadir sama Penaung WeHuman Datuk Dr Fauzi Mohamad dan Pengerusi WeHuman Srizan Sahar. Bajai yang menghidap kanser darah, ketika ditemui baharu sahaja muntah selepas menjalani rawatan kimoterapi.
Ibu kanak-kanak itu, Noresah Awet, 25, berkata anak bongsu dari tiga beradik itu telah menerima rawatan di Hospital Raub sebelum dirujuk ke HKL dan kini telah dua bulan mereka ‘berkampung’ di wad itu.
Rakan sebilik kanak-kanak itu, Zulalif Fadhi Zolkifli, 7, juga kelihatan teruja dengan kehadiran pelawat bersama badut itu. Ibunya, Rohana Abu Hassan, 41, berkata mereka sering berulang-alik dari rumah mereka di Telok Panglima Garang, Klang sejak Zulalif disahkan menghidap kanser darah pada September lepas.
Akibatnya Rohana yang berniaga kecil-kecilan menjual air dalam balang, telah empat bulan tidak dapat berniaga.
“Tahun ini sepatutnya dia masuk darjah satu, tapi Alif belum lagi berkesempatan ke sekolah…nampak dia bosan juga, tapi boleh dikatakan di sini hampir setiap minggu ada sahaja rezeki anak-anak di sini menerima pelawat,” katanya.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan yang juga penasihat WeHuman ketika ditemui pemberita selepas lawatan itu berharap NGO bukan sahaja membuat kunjungan dan memberikan sumbangan kepada pesakit, tetapi juga membantu mengurangkan beban keluarga yang ditinggalkan di rumah.
“Apabila ada seorang sakit, sudah pasti yang di rumah juga akan menerima kesan. Mungkin salah seorang ibu atau bapa terpaksa berhenti kerja…akan ada juga adik-beradik lain yang ditinggalkan di rumah,” katanya. Selain itu, Nadzim turut menggesa kerajaan supaya melihat kembali pemakanan rakyat Malaysia yang mungkin memberi kesan kepada kesihatan masyarakat.
“Amalan pemakanan kita perlu dilihat dan dikaji secara serius yang berkemungkinan menjadi antara punca bertambahnya pesakit kanser di negara ini, selain masyarakat juga perlu menjalani gaya hidup sihat dan menjaga pemakanan mereka,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh hulurkan sumbangan melalui:
Follow Us
”Jika kalian menampakkan sedekah maka hal itu baik sekali. Dan jika kalian menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir maka hal itu lebih baik bagi kalian…” (QS: Al-Baqarah [2]: 271)