Nilai - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun menghidap kanser neuroblastoma atau kanser saraf tahap empat kini memerlukan bantuan kewangan kira-kira RM574,740 bagi menampung kos rawatan lanjut di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
Nurul Syahira Aliesya Roshizam yang disahkan menghidap kanser itu pada tahun lepas telah menjalani empat pembedahan bagi membuang ketumbuhan serta enam kali kemoterapi, dan dana itu diperlukan bagi menjalani terapi Isotretinoin dan Imunoterapi Dinutuximab Beta (Qarziba) dijadualkan pada November ini.
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata akibat penyakitnya berkenaan, dia tidak dapat ke sekolah sejak tahun lepas dan berharap akan menyambung persekolahan dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila sembuh nanti.
“Saya amat rindukan suasana di sekolah, rakan-rakan dan guru. Saya akan berjuang untuk sembuh daripada penyakit ini, doktor serta petugas kesihatan yang merawat di hospital sentiasa memberikan kata-kata semangat.
“Kalau boleh tahun depan saya hendak meneruskan semula pelajaran di tingkatan empat, saya adalah pelajar aliran akaun. Ramai pesakit senasib saya sembuh daripada kanser dan ada antara mereka berjaya dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.
Sementara itu, bapanya Roshizam, 50, berkata dana terkumpul setakat ini hampir RM32,000 dan berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi mencukupkan jumlah diperlukan untuk menampung kos rawatan.
Roshizam yang bekerja di sebuah kilang berkata beliau hanya berpendapatan kira-kira RM2,200 sebulan dan perlu menanggung isterinya Che Ma Abdullah, 44, iaitu seorang suri rumah serta enam lagi anak mereka berusia antara lima hingga 21 tahun.
“Saya amat berharap dapat mengumpul dana diperlukan untuk anak kami. Nurul Syahira seorang anak yang bijak dan dia adalah pelajar Program Dwibahasa (DLP) di sekolahnya.
“Doktor ada beritahu, pilihan kedua adalah ubat yang perlu diambil sehingga akhir hayatnya tetapi kami akan berusaha untuk mendapatkan dana secukupnya. Anak kami masih muda dan mempunyai cita-cita dan masa depan yang cerah,” katanya.
Roshizam berkata sebelum ini dia menggunakan insurans disediakan majikan berjumlah RM20,000 untuk rawatan awal di sebuah hospital swasta kemudian menyambung rawatan di hospital kerajaan.
“Alhamdulillah proses rawatan di hospital kerajaan berjalan lancar dan hospital menanggung hampir 80 peratus kos rawatan. Cuma bagi rawatan Qarziba, kami perlu mencari dana diperlukan itu,” katanya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan boleh berbuat demikian:
![]() |
011-6853 8378 |
Progress:
|
Goal: RM500000 |
Follow Us
”Jika kalian menampakkan sedekah maka hal itu baik sekali. Dan jika kalian menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir maka hal itu lebih baik bagi kalian…” (QS: Al-Baqarah [2]: 271)