Inisiatif KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Inisiatif KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Saluran setempat memaparkan senarai golongan kurang bernasib baik / B40 / asnaf di Malaysia yang memerlukan bantuan. Sumbangan boleh disalurkan terus kepada pemohon berdasarkan maklumat yang terdapat di dalam artikel. Sebarang urusan atau pertanyaan sila emel ke: info@kcpbantu.org

Advertisement Top





Baling - Sepasang suami isteri di Kampung Bok Bak, di sini, diuji dengan dugaan kesihatan yang berat apabila kedua-duanya menghidap penyaki...




Baling - Sepasang suami isteri di Kampung Bok Bak, di sini, diuji dengan dugaan kesihatan yang berat apabila kedua-duanya menghidap penyakit kronik yang menjejaskan kehidupan seharian mereka sekeluarga.

Norsiah Hashim, 35, yang pada awalnya menyangka dirinya hamil, akhirnya disahkan menghidap kanser hati tahap empat menyebabkan perutnya semakin membesar akibat dipenuhi cecair.

Suaminya pula, Mohd Zaki Md. Isa, 36, menghidap penyakit buah pinggang kronik yang memaksanya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu sekali gus tidak lagi mampu melakukan kerja berat.

Menurut Norsiah, dia mula mengalami bengkak pada kedua-dua belah kaki sebelum menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, dan disahkan menghidap kanser hati pada Julai tahun lalu.

Norsiah menambah, pergerakannya kini semakin terbatas hingga memaksanya menggunakan tongkat untuk bergerak perlahan di dalam rumah.

Menurutnya, Mohd Zaki yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat telekomunikasi, terpaksa berhenti kerja akibat masalah kesihatan yang semakin merosot.

“Kami hanya bergantung kepada bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk menampung makan minum dan kos ulang-alik ke hospital di Alor Setar,” jelasnya.

Jelas Norsiah, keluarganya turut berdepan ujian lain apabila bapanya, Hashim Lahman, 72, mengalami masalah penglihatan dan pernah menjalani pembedahan pada 2022.

“Abang sulung saya meninggal dunia akibat kanser mulut pada November lalu, manakala kakak saya, Siti Hajar, 40, seorang orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu turut tinggal bersama kami.

“Anak tunggal Siti Hajar, Muhammad Syukur Md Zuki, 21, juga seorang OKU pelbagai dan mereka bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara kehidupan,” katanya lagi.

Jelasnya, sejak dia jatuh sakit dan tidak mampu melakukan kerja rumah, kakaknya Siti Hajar banyak membantu memasak dan menguruskan hal rumah tangga.

Dalam pada itu, Norsiah dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa dia memerlukan penderma untuk menjalani pembedahan kanser hati, namun sehingga kini belum menemui penderma yang sesuai.

Keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila anak mereka, Nur Aira Medina, 4, turut menghidap penyakit sawan sejak kecil.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menghulurkan bantuan ke akaun bank berikut atas nama Norsiah Hashim:

Progress:

RM10 raised

Goal: RM5000



Pontian - Seorang ibu tunggal yang kini menderita penyakit untut atau kaki gajah terpaksa menerima hakikat dia kini kehi­langan punca rezek...




Pontian - Seorang ibu tunggal yang kini menderita penyakit untut atau kaki gajah terpaksa menerima hakikat dia kini kehi­langan punca rezeki selepas tidak lagi mampu bekerja.

Lebih menyedihkan apabila permohonan Norhayati Abu Bakar, 51, untuk mendapatkan pencen ilat daripada pihak berkaitan tidak diluluskan.

Katanya, sebelum ini dia bekerja selama 15 tahun di sebuah kilang kelapa sawit di Kulai dan terpaksa berhenti pada 2015 akibat penyakit berkenaan.

“Sepanjang tempoh itu, arwah suami, Abdul Rahman Idrus te­lah berusaha turun naik pejabat di Johor Bahru bagi mendapatkan pencen ilat, namun ditolak dengan alasan penyakit yang di­hadapinya bukan ‘cacat kekal’

“Saya kini tiada sumber pendapatan bulanan dan hanya bergantung kepada sumbangan dari keluarga serta jiran,” kata­nya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Sepam, Benut di sini baru-baru ini.

Tambah Norhayati, suami­nya meninggal dunia tahun lalu disebabkan penyakit berkaitan Covid-19 menyebabkan dia kini hanya bergantung kepada elaun Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

“Bantuan bagi kategori orang kelainan upaya (OKU) te­lah di­usahakan oleh arwah suami sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, dia mempunyai empat orang anak dan tinggal bersama dua anak lelaki termasuk anak sulungnya yang juga OKU mental berusia 31 tahun.

“Anak lelaki saya menerima elaun sebanyak RM400 yang juga digunakan bagi menampung perbelanjaan harian,” jelasnya.

Dalam pada itu, orang ­ramai yang ingin membantu boleh ­me­n­­g­­­hubungi Norhayati di ­ta­lian berikut atau hulurkan bantuan ke akaun bank atas nama Norhayati Abu Bakar:



013-2055425
Progress:

RM200 raised

Goal: RM7000



Kubang Pasu - Sudah jatuh ditimpa tangga, demikian takdir seorang ibu tunggal yang bukan sahaja menderita sakit buah pinggang tetapi kini t...




Kubang Pasu - Sudah jatuh ditimpa tangga, demikian takdir seorang ibu tunggal yang bukan sahaja menderita sakit buah pinggang tetapi kini terpaksa membesarkan empatnya anak sendirian.

Lebih mengharukan dalam kehidupan Naimah Abd. Razak, 39, apabila dua anaknya, Haziq dan Hazim yang juga merupakan kembar berusia 15 tahun turut menghidap autism.

Menurut wanita berstatus ibu tunggal itu, mereka lima beranak kini hidup dalam serba kekurangan, apatah lagi dia terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu kerana penyakit yang dihidapinya sejak setahun yang lalu.

“Sejak bercerai pada Disember lepas saya menanggung sendiri kos rawatan dialisis iaitu RM150 setiap rawatan dan ke­rana nak berjimat saya terpaksa buat dua kali sahaja rawatan. Saya cuba minta kepada hospital kerajaan tetapi tak dapat lagi, kena tunggu giliran pula.

“Alhamdulillah, ada bantuan zakat untuk anak-anak sebanyak RM1,000 sebulan yang boleh menampung persekolahan mereka dan belanja kami seharian,” katanya di Taman Perumahan Awam Tanah Merah, Jitra di sini semalam.

Menurut Naimah, dua anak lelakinya itu belajar di sekolah pendidikan khas berdekatan rumah tersebut sementara adik perempuan mereka, Aisyah, 11, di sebuah sekolah kebangsaan di Jitra.

“Saya tidak mempunyai kenderaan jadi terpaksa upah van sekolah dengan tambang RM350 setiap bulan. Buka sekolah nanti kena tambah lagi tambang sebab anak bongsu, Alia, 7, pula akan masuk sekolah. 

Di sebalik kesempitan ini, kami terpaksa juga sesuaikan diri dengan suasana baharu hidup sekarang. Kami pindah ke sini pun sehelai sepinggang sebab banyak perabot terpaksa dijual untuk guna belanja pindah,” katanya.

Naimah yang turut mengalami masalah penglihatan kerana penyakitnya berkata, dia bernasib baik apabila keluarga mengambil berat tentang kehidupan mereka termasuk sewa rumah RM400 yang dibiayai abangnya selain makan minum yang dihantar jiran.

Menurutnya, dengan keadaan kesihatan yang semakin menyusut dia melahirkan kebimbangan tentang masa depan anak-anaknya.

“Walaupun hidup saya sukar tetapi saya kena kuat demi anak-anak. Saya harap dapat jalani rawatan dialisis ini seperti biasa namun tak mampu. 

Saya ada mohon zakat tetapi kata mereka, kalau saya terima bantuan dialisis, bantuan kewangan akan dipotong. Jadi macam mana pula nak hidup kalau begitu,” katanya. 

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh berbuat demikian dengan menghulur sumbangan kepada Naimah di akaun Bank Islam miliknya seperti berikut:



Progress:

RM150 raised

Goal: RM4000



Ipoh - Plaster terpaksa digunakan untuk membuka kelopok mata isteri, itu luahan pilu pekebun, Nor Azmi Aminuddin, 50, yang menjaga isteriny...




Ipoh - Plaster terpaksa digunakan untuk membuka kelopok mata isteri, itu luahan pilu pekebun, Nor Azmi Aminuddin, 50, yang menjaga isterinya selepas suri hatinya itu diserang strok kekal, lapan tahun lalu.

Isterinya, Hasnah Abu Hassan, 49, kini terlantar dan tidak mampu menguruskan diri berikutan tidak dapat menggerakkan tangan dan kaki kirinya. Kedua-dua kelopak matanya tidak boleh dibuka, menyebabkan Azmi terpaksa menggunakan plaster bagi membolehkan isterinya boleh melihat walaupun sebelah mata.

“Semasa isteri saya berusia 42 tahun, satu hari dia pengsan di rumah. Saya bergegas ke hospital dan beliau dimasukan dalam unit kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Doktor memberitahu bahawa isteri saya telah diserang strok kekal akibat tekanan darah tinggi.

“Pada masa itu, anak bongsu saya hanya tiga tahun manakala anak ketiga saya pula berumur lapan tahun. Saya menjaga empat anak seorang diri. Kini anak bongsu sudah 11 tahun dan anak ketiga sudah 16 tahun,” ceritanya.

Hasnah menghidap kencing manis dan darah tinggi ketika mengandungkan anak bongsunya pada 2011. Azmi bekerja sambilan mencuci masjid dan pendapatannya amat terhad. Selain menjaga isterinya, beliau turut menguruskan persekolahan dua anaknya menyebabkannya tidak boleh mencari pekerjaan tetap.

Azmi juga bercucuk tanam di sebuah tanah lapang milik Jabatan Saliran dan Air (JPS) Perak, dan hasilnya dijual untuk menampung perbelanjaan keluarga. Namun, Azmi sekali lagi diduga apabila JPS Perak menuntut agar tanah itu dikosongkan.

“Sudahlah kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, kini saya tidak dapat berkebun lagi. Saya telah kehilangan pendapatan dan keadaan kewangan kini sangat tidak stabil.

“Saya tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana perlu menjaga isteri yang terlantar sakit. Saya juga terpaksa menghantar dan mengambil anak pergi balik sekolah. Saya tidak mampu membiarkan mereka menaiki bas sekolah kerana tambangnya mahal,” katanya sebak.

Azmi bersyukur kediaman didudukinya kini adalah rumah pusaka, namun sudah terlalu uzur dan mengalami banyak kerosakan.

Enggan meratapi nasib, Azmi mahu bangkit dengan mengusahakan tanah pertanian milik kakaknya, yang berdekatan dengan rumahnya.

Namun, dia perlukan bantuan peralatan bagi mengusahakan pertanian jenis fertigasi untuk menanam sayur-sayuran yang diharap dapat menampung perbelanjaannya sekeluarga.

Anak Azmi, Nurizz, yang kini belajar di tingkatan empat Sekolah Menengah Pasir Putih berkata, “Saya sunyi sebab tidak dapat kasih sayang dan perhatian ibu. Tapi saya menerima hakikat saya perlu berdikari. Saya ingin belajar bersungguh-sungguh supaya boleh lanjut pelajaran dan bantu keluarga. Ayah saya tiada rehat kerana perlu menjaga ibu, menghantar kami ke sekolah dan membuat kerja rumah,” ujarnya penuh sebak.


018-5753649
Progress:

RM500 raised

Goal: RM5000



Klang - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang mencari waris seorang kanak-kanak lelaki bernama Ehsan, 8, yang ditinggalkan oleh ibu kan...




Klang - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang mencari waris seorang kanak-kanak lelaki bernama Ehsan, 8, yang ditinggalkan oleh ibu kandung di bahagian kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

Pelindungnya, Zaidi Zakaria berkata, kanak-kanak tersebut kemudiannya ditempatkan di bawah jagaan Taman Sinar Harapan Jitra, Kedah kerana dia merupakan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) terlantar.

Menurutnya, perintah penjagaan kanak-kanak warga Indonesia itu di pusat jagaan tersebut dimeterai pada 25 April 2019 dan tamat pada 24 April 2022 lalu.

Zaidi menerusi satu kenyataan turut mengesyorkan Ehsan diletakkan di bawah jagaan sementara di institusi sama selama sebulan sepertimana di bawah Subseksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001 untuk pelindung menjalankan siasatan baharu dan penyediaan laporan.

"Kami memohon jika ibu kandung atau waris kanak-kanak muncul untuk menuntut semula kanak-kanak ini sebelum penempatan sewajarnya dibuat dalam mengambil kira kebajikan dan masa depannya.

"Sebarang maklumat dan pertanyaan boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang atau Pelindung Kanak-Kanak Daerah Klang, Zaidi Zakaria di talian berikut di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang," katanya pada Khamis.


03-33413703
Progress:

RM0 raised

Goal: RM1000





Hulu Terengganu - Seorang remaja, Nursyazwana Mohd. Azri, 13, dari Kampung Tok Bintang di sini yang menghidap hydrocephalus atau lebihan ce...




Hulu Terengganu - Seorang remaja, Nursyazwana Mohd. Azri, 13, dari Kampung Tok Bintang di sini yang menghidap hydrocephalus atau lebihan cecair di bahagian otak hanya mampu terlantar sejak dilahirkan.

Penyakit yang dihidapi Nursyazwana itu mengakibatkan kepalanya membesar sekali gus membantutkan tumbesaran.

Menurut ibunya, Wan Nora Wan Nawi, 42, keadaan anak bongsu daripada dua beradik itu tidak ubah seperti anak kecil yang sentiasa perlu pakai lampin pakai buang serta bergantung kepada susu khas.

“Kesihatan saya kerap terganggu sewaku mengandung dan sewaktu usia kandungan cecah tujuh bulan doktor maklumkan ada benjolan atas kepala bayi. Kemungkinan besar juga anak bakal dilahirkan tidak sempurna.

“Saya reda, bersedia dengan sebarang kemungkinan. Anak syurga saya ini dilahirkan secara pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu seberat 2.2 kilogram dan dia terus berada di sana selama tiga bulan.

“Sepanjang tempoh itu juga saya ulang alik ke Hospital Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Anak saya ini menjalani pembedahan pertama bagi membuang cecair seperti nanah dalam kepala ketika saya masih dalam tempoh berpantang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Wan Nora, berat anaknya kini sekitar 30 kilogram dan dia tidak dapat bayangkan tentang nasib Nursyazwana nanti sekiranya ditakdirkan dia dijemput Ilahi terlebih dahulu.

Jelasnya, pendapatan suami, Mohd. Azri Yusof, 44, yang bekerja kampung pula tidak menentu dan kos bagi membeli susu khas, lampin pakai buang serta makanan untuk keperluan anak istimewanya itu melebihi RM600 sebulan.

“Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat seba­nyak RM300 untuk Nursyazwana dan RM500 kepada penjaga ringankan beban.

“Sementara itu, anak sulung saya, Nur Maisarah, 17, masih lagi bersekolah,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin hulurkan sumbangan boleh salurkan menerusi akaun bank atas nama Wan Nora Wan Nawi atau hubungi talian berikut:


013-9197322
Progress:

RM100 raised

Goal: RM13000



Kepala Batas - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dari Pongsu Seribu, di sini yang menghidap penyakit buah pinggang dan beberapa penya...




Kepala Batas - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dari Pongsu Seribu, di sini yang menghidap penyakit buah pinggang dan beberapa penyakit lain merayu bantuan mana-mana pihak meringankan penderitaan ditanggungnya.

Nor Azwa Azmi, 41, berkata, dia yang kini sedang terlantar di Hospital Seberang Jaya dekat sini, sejak Selasa lalu ekoran komplikasi buah pinggang memerlukan tambahan dana sebanyak RM5,000 bagi menampung kos pembedahan sebanyak RM10,000 pada lengan kirinya secepat mungkin.

Menurutnya, buat masa ini doktor memaklumkan kos pembedahannya menelan belanja sebanyak RM10,000, namun jumlah tersebut meningkat jika melibatkan prosedur tambahan lain.

Ibu kepada dua anak itu berkata, sebelum ini doktor sudah memasukkan tiub pada bahagian dada dan lehernya bagi prosedur dialisis, namun tiub tersebut sudah tidak dapat berfungsi sehingga memaksa doktor melakukan pembedahan baharu dengan memasukkan tiub pada bahagian paha.

“Kesakitan yang dialami sudah tidak tertanggung. Malah, keadaan sebahagian badan termasuk muka dan tangan saya semakin membengkak,” katanya yang sudah menderita penyakit itu sejak 2019 selain turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Katanya, dia resah memikirkan kos pembedahan tersebut apatah lagi terkenangkan nasib anak bongsunya, Nik Nurul Nabila Nik Hamzah, 14, yang juga merupakan OKU cacat pada kedua-dua belah kaki sejak lahir, selain didiagnos menghidap penyakit buah pinggang, baru-baru ini.

“Anak saya kini dijaga oleh ibu saya, Wan Salmah Hashim, 65, di rumah yang terletak di Pokok Sena. Namun dia juga memerlukan perbelanjaan khusus seperti susu khas, lampin pakai buang selain turut ubat-ubatan bagi penyakitnya itu,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak lelaki, Nik Nasrul Najmi Nik Hamzah, 21, yang sekadar bekerja mengambil upah harian.

Selain itu, tambahnya, bantuan kewangan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing sebanyak RM450 sebulan banyak digunakan untuk membeli keperluan ubatan, lampin dan susu khas anak perempuannya pada setiap bulan.

Pada Mac lalu, media melaporkan kisah sedih Nor Azwa dan anak perempuan OKU yang resah memikirkan masa depan bagi meneruskan kehidupan berikutan tiada tempat bergantung.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun bank berikut atau hubunginya:


018-9405483
Progress:

RM5000 raised

Goal: RM10000



Kuala Lumpur - Waris kepada Khayla Adha Mirza Imran, 6, kini buntu memikirkan kos bagi pembedahan anak bongsunya yang mengidap penyakit Ost...




Kuala Lumpur - Waris kepada Khayla Adha Mirza Imran, 6, kini buntu memikirkan kos bagi pembedahan anak bongsunya yang mengidap penyakit Osteogenesis Imperfecta (OI), kerana masih belum mencukupi.

Ibu kanak-kanak itu, Khairol Niza Zaffarullah Khan, 42, berkata, kini, mereka memerlukan sebanyak RM43,000 lagi bagi mencukupkan keseluruhan kos pembedahan sebanyak RM80, 000.


Katanya, doktor pakar menjangkakan pembedahan itu akan berlangsung selepas Aidilfitri di sebuah hospital swasta di sini.


“Keadaan terkini Khayla semakin membimbangkan berikutan mengalami patah pada tangan, paha dan kaki secara tiba-tiba ketika bangun daripada tidur minggu lalu.

“Ketika kejadian, dia baharu sahaja pulih selepas mengalami patah tangan beberapa minggu lalu yang mengambil masa lebih sebulan untuk pulih,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu media pernah melaporkan mengenai kanak-kanak malang berkenaan yang memerlukan sumbangan bagi merawat penyakitnya.

Akibat penyakit berkaitan tulang rapuh itu, Khayla hanya mampu duduk dan baring, manakala pergerakannya juga agak terbatas.

Berikutan penyakitnya yang jarang berlaku di Malaysia, hanya terdapat sebuah hospital swasta yang menawarkan pembedahan di kaki Khayla dengan anggaran kos sebanyak RM80,000.

Menurut Khairol Niza, dia berharap pembedahan berkenaan dapat dilakukan secepat mungkin berikutan anaknya itu yang akan bersekolah di Tahun Satu, pada tahun depan.


“Saya amat berharap pembedahan itu kelak akan memudahkan pergerakan Khayla di sekolah selain boleh bergaul dengan rakan sebaya.

“Besar harapan saya bagi melihat Khayla pulih walaupun tidak sepenuhnya, tambahan pula dia sering beritahu sudah tidak sabar hendak belajar di sekolah bersama rakan,” katanya lagi.

Bapa kanak-kanak itu terpaksa berhenti kerja sebagai pengurus keselamatan di sebuah kelab di Juru, pada Januari lalu berikutan keadaan Khayla yang memerlukan pengawasan, manakala Khairol Niza pula menjual roti di rumah bagi mengumpul wang pembedahan.

Bagi sebarang sumbangan. boleh hubungi Khairol Niza di talian berikut:


011-37127515
Progress:

RM97000 raised

Goal: RM140000



Tampin - Seorang kanak-kanak berdepan dengan masa depan kesihatan yang tidak menentu apabila terpaksa mengambil steroid seawal usia dua tah...




Tampin - Seorang kanak-kanak berdepan dengan masa depan kesihatan yang tidak menentu apabila terpaksa mengambil steroid seawal usia dua tahun bagi menahan penderitaan ke atas penyakit buah pinggang bocor yang dialaminya.

Haira Nur Mellisa, 4, dikesan menghidap penyakit berkenaan dua tahun lalu selepas ibu ba­panya menyedari kesan bengkak pada bawah mata anak mereka tidak surut selamat seminggu.

Ibunya, Sitty Noor Aishah Mohd. Rezuan, 24, berkata, dia dan suami, Muhamad Safuan Kamis, 26, tidak mampu menahan sebak dan menangis apabila terpaksa memberi anak kedua daripada empat beradik itu ste­roid.

Mengimbau semula kejadian itu, Sitty Noor Aishah berkata, dia terus membawa Haira Nur Mellisa ke klinik kesihatan sebelum bergegas ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah apabila dimaklumkan anaknya mengalami sindrom protein.

“Zat berkenaan tidak dapat diserap dengan baik kerana kebocoran buah pinggang dan ia membuatkan saya terlalu sedih.

“Kali kedua dia diserang sa­kit pada Februari lalu dan saya muat naik di laman sosial, rupa­nya ramai yang berkongsi masalah serupa,” katanya ketika ditemui di Kampung Repah di sini baru-baru ini.


Menurut Sitty Noor Aishah, kesan penyakit itu akan mengakibatkan anggota badan membengkak dan perut membuncit.

Tambahnya, doktor me­nyarankan supaya membawa te­rus anaknya berjumpa pakar sekiranya sakit tersebut me­nyerang buat kali ketiga.

“Setakat ini, anak hanya bergantung kepada ubat hospital,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Safuan berkata, dia bersyukur apabila rakan dan ahli keluarga banyak memberi sokongan termasuk kewangan kepadanya sekeluarga.

“Saya lega kerana sudah boleh bekerja semula sebagai kontraktor dengan sebuah syarikat te­lekomunikasi dan mendapat gaji RM1,400 sebulan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Isteri pula membuat popia sejuk beku tetapi pada masa sama perlu menguruskan tiga lagi anak masing-masing berusia dua hingga enam tahun, selain menjaga anak buah lelaki berusia 10 bulan,” katanya.

Menurut Muhamad Safuan, ketika PKP, dia ada menerima bantuan daripada masyarakat setempat yang membekalkan makanan dan susu formula.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank berikut atas nama Sitty Noor Aishah:


Progress:

RM50 raised

Goal: RM10000



Kongsi Portal Ini