
Penyakit yang dihidapi Nursyazwana itu mengakibatkan kepalanya membesar sekali gus membantutkan tumbesaran.
Menurut ibunya, Wan Nora Wan Nawi, 42, keadaan anak bongsu daripada dua beradik itu tidak ubah seperti anak kecil yang sentiasa perlu pakai lampin pakai buang serta bergantung kepada susu khas.
“Kesihatan saya kerap terganggu sewaku mengandung dan sewaktu usia kandungan cecah tujuh bulan doktor maklumkan ada benjolan atas kepala bayi. Kemungkinan besar juga anak bakal dilahirkan tidak sempurna.
“Saya reda, bersedia dengan sebarang kemungkinan. Anak syurga saya ini dilahirkan secara pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu seberat 2.2 kilogram dan dia terus berada di sana selama tiga bulan.
“Sepanjang tempoh itu juga saya ulang alik ke Hospital Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Anak saya ini menjalani pembedahan pertama bagi membuang cecair seperti nanah dalam kepala ketika saya masih dalam tempoh berpantang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah Wan Nora, berat anaknya kini sekitar 30 kilogram dan dia tidak dapat bayangkan tentang nasib Nursyazwana nanti sekiranya ditakdirkan dia dijemput Ilahi terlebih dahulu.
Jelasnya, pendapatan suami, Mohd. Azri Yusof, 44, yang bekerja kampung pula tidak menentu dan kos bagi membeli susu khas, lampin pakai buang serta makanan untuk keperluan anak istimewanya itu melebihi RM600 sebulan.
“Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 untuk Nursyazwana dan RM500 kepada penjaga ringankan beban.
“Sementara itu, anak sulung saya, Nur Maisarah, 17, masih lagi bersekolah,” jelasnya.
Orang ramai yang ingin hulurkan sumbangan boleh salurkan menerusi akaun bank atas nama Wan Nora Wan Nawi atau hubungi talian berikut:
0 comments: