Inisiatif KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia: terengganu

Inisiatif KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Saluran setempat memaparkan senarai golongan kurang bernasib baik / B40 / asnaf di Malaysia yang memerlukan bantuan. Sumbangan boleh disalurkan terus kepada pemohon berdasarkan maklumat yang terdapat di dalam artikel. Sebarang urusan atau pertanyaan sila emel ke: info@kcpbantu.org

Advertisement Top





Memaparkan catatan dengan label terengganu. Papar semua catatan

Jerteh - Seorang bapa Mohd Nor Fezan Husain, 51, buntu memikirkan nasib dua anak lelakinya yang menghidap penyakit genetik atau otot yang...


Jerteh - Seorang bapa Mohd Nor Fezan Husain, 51, buntu memikirkan nasib dua anak lelakinya yang menghidap penyakit genetik atau otot yang semakin mengecil menyebabkan anaknya itu lumpuh dan perlu diuruskan olehnya serta isteri.

Dia berkata anak kedua daripada lima beradik, Mohammad Hakimi, 12, dan ketiga, Mohammad Hamzi, 10, menghidap penyakit itu ketika berusia tujuh tahun apabila otot tangan dan kaki semakin mengecil serta membengkok.

Dia berkata, penyakit itu menyebabkan anak keduanya lumpuh sejak berusia sembilan tahun, manakala anak ketiga sejak dua minggu lalu.

“Mereka dilahirkan normal, namun ketika di Tahun Satu otot di bahagian kaki anak semakin mengecil dan membengkok menyebabkan mereka tidak mampu berlari serta kerap jatuh apabila berjalan.

“Keadaan itu berterusan apabila mereka hilang upaya untuk berjalan dan perlu diangkat untuk pergi ke mana-mana termasuk ke sekolah serta menerima rawatan pakar fisioterapi di HUSM, Kubang Kerian,

“Jika sebelum ini, hanya anak kedua yang tidak mampu berjalan dan saya boleh membawa mereka dengan menaiki motosikal. Namun, kini kedua-dua anak hilang upaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh 2, Lubok Pukol, di Jerteh, hari ini.

Katanya, dia risau untuk membawa anaknya menaiki motosikal termasuk ke Sekolah Kebangsaan Raja Bahar, Kedai Lalat yang terletak lebih lima kilometer dari rumahnya.

Menurutnya, penyakit genetik itu menyebabkan dua anaknya tidak boleh berjalan dan hanya mampu mengengsot atau merangkak untuk bergerak.

“Saya bimbang dengan keselamatan anak untuk membawa mereka menaiki motosikal kerana masing-masing hilang upaya.

“Besar harapan saya supaya ada pihak sudi menyumbangkan motosikal roda tiga bagi memudahkan saya membawa dua anak ke sekolah dan mendapat rawatan di hospital. Saya mahu anak mendapat pendidikan sebaik mungkin demi masa depan mereka.

“Untuk membeli motosikal roda tiga, saya tidak mampu kerana hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM50 sehari atau mengikut hari bekerja,” katanya.

Menurutnya, dia kini bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat  sebanyak RM400 sebulan, anaknya masing-masing RM150 seorang.

Mohd Nor Fezan berkata, anak sulungnya, Nurul Ain meninggal dunia secara mengejut dua tahun lalu ketika berusia 11 tahun. Dia juga mempunyai dua lagi anak, Mohammad Asyraf, 3, dan Nurul Huda Husna berusia tiga bulan yang setakat ini, disahkan normal.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian ke akaun bank berikut atas nama Mohd Nor Fezan Husain:

Progress:

RM0 raised

Goal: RM500

Setiu - Menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, marilah kita bersama-sama membantu apa termampu kepada bekas atlet paralimpik nega...


Setiu - Menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, marilah kita bersama-sama membantu apa termampu kepada bekas atlet paralimpik negara, Azman Mohamed Salleh bersama enam sekeluarga yang kini menghitung hari tinggal di Kampung Rhu Tapai, Setiu. Beliau yang berusia 47 tahun merupakan antara bekas atlet paralimpik yang telah menyumbang pingat kepada negara di pentas antarabangsa khususnya dalam acara lontar peluru, lempar cakra dan lembing.

Namun setiap kejayaan itu seolah-olah tidak bermakna setelah mengenangkan nasib sekeluarga bersama isteri, Siti Faizura Zulkapeli, 31, dan empat anak berumur tujuh bulan hingga 10 tahun yang bakal kehilangan tempat berteduh. Menurut laporan akhbar tempatan, rumah yang kini disewa sejak tujuh tahun yang lalu terpaksa dikosongkan selewat-lewatnya selepas Aidilfitri nanti berikutan pemilik kediaman itu tidak mahu lagi menyewakan rumah berkenaan.

Tanpa sebarang pekerjaan tetap di samping kecacatan fizikal dengan kudung kaki hingga paras peha akibat kemalangan jalan raya suatu ketika dulu memaksa Azman untuk bergantung sepenuhnya pada motosikal roda tiga untuk mencari rezeki. Malah beliau juga turut membuat kerja sambilan menjadi deejay di majlis-majlis dengan bayaran tidak menentu untuk menampung kehidupan.

Bapa kepada empat anak ini juga turut bergantung pada bantuan RM400 sebulan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat tahunan dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Sesungguhnya Siti Faizura Zulkapeli pula menunaikan tanggungjawab sepenuhnya sebagai isteri untuk memberi perhatian penuh kepada anak-anak mereka khususnya anak ketiga mereka yang berusia empat tahun juga merupakan orang kurang upaya(OKU) fizikal.

Untuk rekod, sejak 2008 sehingga 2016 Azman sepenuh masa aktif dalam sukan olahraga untuk mewakili negara ke pentas antarabangsa. Selain beberapa siri kejohanan antarabangsa, Sukan Para ASEAN, Sukan Atlet Berkerusi Roda dan Kudung Antarabangsa (IWAS) beliau juga turut pernah mewakili Terengganu dalam kejohanan PARALIMPIAD di Perlis pada 2014.

Marilah kita menyumbangkan apa termampu kepada mereka sekeluarga ini melalui akaun bank berikut atas nama Azman bin Mohamed Salleh:

Progress:

RM0 raised

Goal: RM500

Kuala Nerus -  Rutin harian remaja berusia 15 tahun ini bermula seawal 5.30 pagi dengan melakukan pelbagai kerja rumah dan menguruskan ad...


Kuala Nerus -  Rutin harian remaja berusia 15 tahun ini bermula seawal 5.30 pagi dengan melakukan pelbagai kerja rumah dan menguruskan adik bongsunya yang masih kecil, sebelum ke sekolah.

Sejak kematian ibunya tahun lepas, Syahwanie Azliya Sahidi dan adik-beradiknya, Syahil Azem, 19; Syahwanie Azwa dan Syahwanie Azwin, 16 (kembar); Syahil Azer, 14; dan Syahwanie Azrinie, 10, terpaksa menguruskan kehidupan sendiri dan menjaga adik bongsu mereka Syah Amsyar Mohammad yang berusia 11 bulan.

"Kami mempunyai tugasan masing-masing. Abang (Syahil Azem) akan menghantar dan mengambil kami dari sekolah, kakak-kakak akan memasak dan saya pula akan mengemas rumah. Kami juga bergilir menjaga adik bongsu," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan anggota Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) di rumah mereka di Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit, di sini pada Ahad.

Dalam kunjungan tersebut, Kawat yang diwakili Timbalan Presidennya Ahmad Syafri Husnaini Mohamad menyerahkan bantuan barangan keperluan dapur dan wang tunai kepada adik-beradik yatim piatu itu.

Ibu mereka Norhayatie Alias meninggal dunia selepas dua bulan melahirkan Syah Amsyar, hasil perkahwinan dengan bapa tiri Mohammad Mohd Nor, 53, manakala bapa mereka Sahidi Abdullah meninggal dunia pada 2010 akibat darah tinggi.

Kini tujuh beradik itu menetap di sebuah rumah yang disewa Mohammad dan mereka turut menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450.

Abang sulung Syahwanie Azliya, Syahil Azem terpaksa melupakan cita-citanya untuk menyambung pelajaran demi menjaga adik-adiknya.

"Pada bulan puasa ini abang (Syahil Azem) bekerja di bazar Ramadan Batu Enam dengan pendapatan RM700 dan pada bulan lain abang bekerja di kedai makan dengan gaji RM600 sebulan.

"Ayah (bapa tiri) akan balik dalam tiga atau empat hari seminggu. Dia bekerja sendiri di Setiu. Ayah juga turut memberi wang belanja selain wang pengasuh adik bongsu," katanya yang bersyukur bapa tirinya itu masih mengambil berat tentang mereka.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, Syahwanie Azliya berkata guru-guru sekolah dan ibu saudara mereka telah membelikan baju raya, manakala persiapan lain masih belum dibuat.

Dalam pada itu, adik-beradik tersebut juga pernah menolak hasrat seorang individu untuk mengambil Syah Amsyar sebagai anak angkat kerana mereka tidak mahu berpisah dengan adik bongsu mereka itu.

"Kami memang sudah nekad walau apa pun terjadi biarlah kami susah dan senang bersama-sama," katanya.

Syahwanie Azliya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk guru-gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan Zainal Abidin yang banyak memberi bantuan kepada mereka.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan kepada adik-beradik berkenaan boleh berbuat demikian ke akaun bank berikut atas nama Syahwanie Azliya:

Progress:

RM0 raised

Goal: RM500

Kuala Berang - Umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Itu ungkapan paling tepat bagi menggambarkan keperitan hidup seorang wanita bersama dua...


Kuala Berang - Umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Itu ungkapan paling tepat bagi menggambarkan keperitan hidup seorang wanita bersama dua anaknya di Taman Permint Permata, Kampung Butut, Kuala Berang di sini sejak dua tahun lalu.

Rusyati Ismail, 52, bukan sahaja menghidap pelbagai jenis penyakit kronik iaitu masalah buah pinggang, fibroid dan angin ahmar malah berdepan proses perceraian sekali gus hilang tempat bergantung.

Lebih menyedihkan, permohonannya mendapatkan faedah persaraan sebagai pembantu tadbir di Politeknik Kota Baru, Kelantan kerana masalah kesihatan, sehingga sekarang tidak berjaya.

Rusyati berkata, dia sudah buntu memikirkan masa depan dia dan dua anaknya, Nurul Atirah Azman, 17, dan Nurul Aneesa, 10, yang masih bersekolah.

“Dalam keadaan sekarang, saya langsung tak mampu berkerja, maklumlah separuh tubuh masih lumpuh dan tidak pulih sepenuhnya akibat diserang angin ahmar pada 10 Mei 2017.

“Sejak itu, saya tidak bekerja sebelum menghidap pula penyakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

“Lebih menderita lagi apabila kedua-dua mata saya pula tidak dapat melihat dengan jelas. Saya terpaksa minta bantuan anak untuk bergerak serta menguruskan diri,” katanya.

Menurutnya, dia dan dua anaknya kini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan dan ihsan orang ramai termasuk rakan sekolah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa.

“Saya malu untuk terus meraih simpati daripada kenalan rapat, sebab itu kami mengharapkan bantuan MAIDAM atau JKM.

“Setiap tiga hari seminggu saya perlu berulang-alik ke Hospital Hulu Terengganu untuk menjalani dialisis dan terpaksa menggunakan khidmat teksi atau kereta sewa.

“Kos pengangkutan sebanyak RM10 untuk berulang-alik ke hospital itu juga menjadi masalah besar kepada saya,” katanya. Katanya, dia berharap permohonan mendapatkan faedah melalui persaraan kerana masalah kesihatan dapat dipercepatkan.

“Saya bersara awal Januari lalu tetapi sampai sekarang wang ganjaran masih belum diterima. Harapan saya supaya ganjaran itu boleh disalurkan segera kerana saya dan keluarga memerlukan wang untuk menampung segala perbelanjaan,” katanya.

Sementara itu, Nurul Atirah berkata, dia simpati melihat keadaan ibunya yang semakin tidak bermaya. “Ibu bukan sahaja menderita sakit tetapi pada masa sama memikirkan mengenai masalah kewangan dihadapi. Saya harap ada pihak simpati dengan nasib kami dan menghulurkan sumbangan diperlukan,” katanya.

Menurutnya, dia bersama ibu dan adiknya juga terpaksa menumpang dirumah ibu saudaranya dan sentiasa mengharapkan simpati orang sekeliling. Orang ramai yang ingin membantu mereka boleh berbuat demikian:

Rusyati Ismail
Progress:

RM0 raised

Goal: RM500

Setiu - Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah dua pintu berhampira...


Setiu - Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah dua pintu berhampiran SMK Bukit Nenas, Sungai Tong, petang tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Yusmizan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5 petang. 

Menurutnya, seramai 18 anggota bomba dan penyelamat dari BBP Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu bersama dua jentera bomba serta sebuah lori tangki telah dikejarkan ke lokasi kejadian. 

Ketika kejadian tidak ada penghuni dalam rumah separuh kekal yang dibahagikan kepada dua pintu. "Sebuah rumah dihuni oleh dua beranak manakala sebuah lagi oleh satu keluarga lima orang dan mereka mempunyai hubungan persaudaraan," katanya. 

Yusmizan berkata lagi, pihaknya sempat mengawal api daripada merebak ke dua rumah lain yang terletak berhampiran. 

Menurutnya, tidak ada sebarang kecederaan dialami dan punca kejadian masih dalam siasatan sementara kerugian dianggarkan RM150,000.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian.


Progress:

RM0 raised

Goal: RM500

Dungun - “Saya sangat malu dan sedih selepas dimaklumkan anak makan sisa makanan dari tong sampah di sekolah,” kata mualaf, Mardinah Dabe...


Dungun - “Saya sangat malu dan sedih selepas dimaklumkan anak makan sisa makanan dari tong sampah di sekolah,” kata mualaf, Mardinah Dabe Martin,35, ketika ditemui di rumah sewanya di Perumahan Taman Rakyat Jaya, Dungun.

Dia yang mengakui tidak mempunyai duit untuk perbelanjaan anak-anaknya ketika itu tidak dapat menyembunyikan lagi penderitaan hidup mereka sekeluarga selepas kisah anaknya itu ditularkan.

Menurutnya, dua anaknya, Nur Farah Insyirah, 12 dan Muhammad Farish Irsyad Nor Sukaimi, 10, diberi bantuan Rancangan Makanan Tambahan sejak Januari tahun ini. “Namun mereka mungkin berbuat demikian kerana kelaparan.

“Perasaan saya ketika itu bercampur baur. Ibu mana yang tidak sedih dan sebak apabila melihat keadaan anak selain rasa malu kerana tidak dapat menyediakan keperluan mereka secukupnya sehingga mereka bertindak sedemikian,” kata ibu kepada empat anak.

Madinah berkata, dia tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan kerana perlu menjaga dua anaknya yang menghidap penyakit hiperaktif.

"Muhammad Farish Irfaezd, 7 dan Muhammad Farish Irdyad, 6, sangat aktif dan saya tidak boleh meninggalkan mereka untuk bekerja.

“Hanya mereka yang mempunyai anak seperti saya faham betapa sukarnya menjaga mereka,” katanya yang diceraikan suaminya tiga bulan lalu.

Mardinah yang berasal dari Ranau Sabah berkata, dia memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengan bekas suaminya kira-kira 14 tahun lalu dan mengikut lelaki itu yang mendapat pekerjaan di Selangor.

“Bagaimanapun, bekas suami bawa kami pulang ke kampungnya di sini awal tahun lalu dan kehidupan saya serta empat anak berubah selepas kami berpisah.

“Saya dipujuk ibu dan rakan-rakan supaya pulang ke kampung namun saya tidak mahu kembali ke agama asal saya kerana saya sayang pada agama Islam,” katanya.

Menurut Madinah, kesempitan hidup menyebabkan dia terpaksa mencatu makanan dan pernah menahan kelaparan supaya anak-anaknya itu tidak kelaparan.

“Sebelum ini, saya malu nak keluar rumah kerana tidak mahu jiran tahu kesusahan hidup namun mereka banyak membantu sejak mengetahui kisah kami.

“Saya tidak mempunyai kenderaan dan tidak pandai memandu, mujurlah ada jiran yang sudi membantu menghantar dan mengambil dua anak yang bersekolah,” katanya.

Tambahnya lagi, dia bukan sahaja tidak boleh bekerja malah tidak dapat mempelajari ilmu agama di pusat pembelajaran yang disediakan agensi kerajaan. “Saya hanya mempelajari ilmu agama hanya melalui YouTube dan buku-buku rujukan.

“Setiap hari, saya menangis mengenangkan kesusahan hidup yang dihadapi namun pelbagai pihak termasuk jiran, NGO seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia dan agensi kerajaan iaitu Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat datang membantu sejak kisah kami tersebar.

“Saya berterima kasih kepada semua yang membantu dan hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa baik anda semua, “katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Motosikal Freedom Rider, Mohd Sabri Talib berkata, pihaknya terpanggil selepas mengetahui kesusahan hidup keluarga Mardinah.

Katanya, dia juga gembira selepas dua lagi NGO iaitu Pertubuhan Karyawan Terengganu dan Kelab Triton Kemaman turut bersama-sama membantu.

“Hasil gabungan tiga persatuan ini, kami dapat menyumbang pelbagai barangan seperti peti ais, mesin basuh, rak buku, tilam, bantal, selimut, meja belajar, barangan makanan dan sebagainya.

“Saya sedih melihat kekurangan merekadan hari ini Mardinah serta empat anaknya kelihatan sangat gembira selepas menerima pelbagai barangan dan keperluan yang disumbangkan semua pihak, “katanya.

Mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank berikut:

Progress:

RM0 raised

Goal: RM500

Kuala Nerus - Pada usia yang baru menjangkau 10 tahun, kanak-kanak perempuan, Nur Shadia Ain Shaiful Aswadi, bakal menempuh hari mendatan...


Kuala Nerus - Pada usia yang baru menjangkau 10 tahun, kanak-kanak perempuan, Nur Shadia Ain Shaiful Aswadi, bakal menempuh hari mendatang dengan penuh derita selepas terpaksa menjalani dua pembedahan untuk membuang cecair dalam otaknya akibat ketumbuhan.

Meskipun begitu, Nur Shadia Ain dari Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit, Kuala Nerus, itu langsung tidak menunjukkan kesakitan, malah tetap tersenyum dan petah bercakap meminta ibu serta bapanya menggosok ‘bekas’ luka pembedahan di kepala.

Ibunya, Normalisa Omar, 36, berkata, anak ketiga daripada tiga beradik itu sebelum ini aktif seperti kanak-kanak lain dan tidak menunjukkan sebarang tanda menghidap sebarang penyakit.

Bagaimanapun, katanya, Nur Shadia Ain yang juga murid Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Cempaka itu secara tiba-tiba mengalami masalah berjalan, selain kaki dan tangan sebelah kiri seolah-olah sukar digerakkan ketika pulang ke rumah selepas bermain bersama rakannya pada cuti persekolahan, Disember lalu.

“Dia juga kerap muntah selepas makan dan minum menyebabkan kami terpaksa membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan selanjutnya.

“Kami terkejut apabila doktor memaklumkan Nur Shadia Ain perlu menjalani pembedahan di kepala segera selepas imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dilakukan mendapati ada ketumbuhan dalam kepalanya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Normalisa berkata, pembedahan pada kepala kali pertama dilakukan awal Januari lalu bertujuan untuk membuang cecair yang dikatakan berlebihan dalam otaknya.

“Pembedahan kedua terpaksa dilakukan pertengahan Januari berikutnya apabila doktor mendapati berlaku jangkitan kuman pada kepalanya, selain perlu memasukkan tiup pada otak hingga ke jantungnya,” katanya.

Normalisa berkata, doktor memaklumkan Nur Shadia Ain terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani rawatan radiotrafi empat kali seminggu, tetapi pihak HSNZ belum tetapkan tarikhnya. “Kos rawatan, termasuk penginapan sepanjang Nur Shadia Ain menjalani rawatan di HKL dianggarkan melebihi RM25,000,” katanya.

Normalisa berkata, pendapatan suaminya, Shaiful Aswadi Jusoh, 39, yang hanya berkerja sebagai pemandu lori tidak mampu untuk menyediakan kos rawatan yang dianggarkan melebihi RM25,000, melainkan bantuan orang ramai.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri ada menyediakan tabung pesakit kronik dikendalikan Tabung Darul Iman (TDI) bagi membantu kos rawatan diperlukan Nur Shadia Ain.

“Kita sudah minta Normalisa dan suaminya, Shaiful Aswadi mendapatkan borang bantuan serta mengemukakan segera permohonan berserta dokumen lain, termasuk surat pengesahan dikeluarkan HSNZ,” katanya.


Progress:

RM0 raised

Goal: RM500

Kuala Nerus - Sejak mengalami kemalangan di tempat kerja hampir tiga tahun lalu, kehidupan Md Sharul Nizam Md Kamil, 29, terus berubah ap...


Kuala Nerus - Sejak mengalami kemalangan di tempat kerja hampir tiga tahun lalu, kehidupan Md Sharul Nizam Md Kamil, 29, terus berubah apabila dia lumpuh tanpa mampu berbuat apa-apa. Namun, dia masih bertuah kerana mempunyai seorang isteri setia dan sangat tabah, Norlisah Anita Abdul Hamid, 29, yang tidak pernah jemu-jemu mengurus dan menjaga keperluan hariannya.

Menurut Norlisah, sebelum ke tempat kerja dia perlu menguruskan suaminya dan akan pulang semula waktu tengah hari bagi menyediakan makan tengahari seterusnya kembali semula bekerja. "Suami hanya mampu berkerusi roda. Makan minumnya saya perlu jaga. Kemalangan itu menimpanya selepas setahun dua bulan kami berkahwin dan dia lumpuh sejak itu," katanya ditemui, hari ini.

Terdahulu, pasangan suami isteri yang menetap di Kampung Sungai Ikan itu menerima lawatan daripada Pengerusi Penyelaras PH Dun Tepoh, Wan Hazie Suzlie Wan Hassan, 37. Hadir sama, Pengerusi Penyelaras Bersatu Dun Seberang Takir, Mohamad Jamil Mohamad Ali. Md Sharul lumpuh selepas besi penahan enjin jatuh menimpa tengkuknya kekal bekerja di sebuah bengkel hingga menyebabkan tulang belakang dan tulang punggungnya cedera.

Insiden kemalangan di tempat kerja itu berlaku pada 7 Mac 2016 dan sejak itu kehidupan mereka bergantung kepada pendapatan Norlisah sebagai kerani di sebuah syarikat di Gong Badak. Norlisah berkata, suaminya adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat namun dia masih perlu bekerja kerana kos bagi menjaga suaminya agak tinggi pada setiap bulan.

Menurutnya, kos membeli lampin pakai buang sahaja menelan belanja kira-kira RM300 sebulan dan itu tidak termasuk keperluan lain yang sentiasa berubah mengikut keadaan semasa. "Saya pun ada menerima bantuan menjaga orang sakit juga daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan ini dapatlah membantu meringankan sedikit bebanan kami berdua.

"Saya akan jaga dia sampai bila bila dan akan melakukan yang terbaik walaupun doktor tidak meletakkan sebarang harapan dia dapat pulih semula namun saya akan terus berusaha," katanya. Pasangan terbabit belum dikurniakan cahaya mata namun kasih sayang diantara mereka sudah cukup untuk menyatukan mereka bak kata Norlisah, selagi nyawanya dikandung badan.

Sementara itu, Wan Hazie berkata, program ziarah ke rumah seumpama itu adalah bagi membela nasib ahli Bersatu yang kurang bernasib baik selain untuk memberikan sokongan moral. "Walaupun sumbangan dilakukan juga bersifat jangka pendek, kami akan terus melaksanakan program seumpama ini bagi meringankan beban golongan yang memerlukan perhatian," katanya.


Progress:

RM0 raised

Goal: RM500

Manir - Kerana kasihkan anak tunggal yang menghidap penyakit Cerebral Palsy, seorang ibu sanggup berhenti kerja sebagai guru untuk memb...


Manir - Kerana kasihkan anak tunggal yang menghidap penyakit Cerebral Palsy, seorang ibu sanggup berhenti kerja sebagai guru untuk memberi tumpuan terhadap penjagaan anak istimewa itu.

Che Nor Hidayah Che Mamat, 30, dari Kampung Kampung Tetambah, Manir, Kuala Nerus meninggalkan kerjaya di Taska Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu untuk menjaga Muhammad Naim Mohd Nazri, 7, yang menghidap CP sejak lahir.

“Terlalu banyak cabaran perlu dihadapi dalam menguruskan Naim kerana dia memerlukan tumpuan sepenuhnya.

“Ketika Naim masih kecil, tenaga diperlukan tidak terlalu banyak kerana anak itu masih ringan, tetapi sekarang apabila sudah berusia tujuh tahun, berat badannya dianggar mencecah 27 kg.

“Berat badan Naim sekarang memberi cabaran kepada seorang ibu untuk mendukungnya, namun di sebalik kesukaran itu, rutin harian itu seakan tidak mendatangkan masalah kerana ia dilakukan dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Menurutnya, pada pandangan umum, keluarga mempunyai anak CP itu hanya sukar untuk menyediakan keperluan harian membabitkan kos tinggi, namun sebenarnya kesukaran jauh lebih mencabar ialah ketika menguruskannya.

“Biarpun agak mencabar apabila menguruskan anak CP itu, kepuasan diberikan Allah tidak boleh diungkap dengan kata-kata.

“Saat mendukung anak istimewa itu, saya dapat rasakan seperti dikurniakan tenaga tambahan,” katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada JKM Terengganu yang memberikan bantuan RM300 sebulan, sekali gus dapat digunakan untuk menampung keperluan anaknya itu.

Katanya, perbelanjaan Naim agak tinggi apabila usianya semakin meningkat maklumlah keinginan untuk makan semakin bertambah, sekali gus kerap membuang air besar dan memerlukan lampin pakai buang yang lebih banyak.

Beliau ditemui pada Program Fisioterapi Anak Kurang Upaya Kritikal Terlantar dan Masih Ada Yang Sayang di Masjid Sultan Ismail, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam pada itu, Samsiah Osman, 38, dari Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payung berkata, memang menjadi lumrah ibu bapa yang mempunyai anak CP perlu mengangkat, mendokong atau memapah anak ketika menguruskannya.

“Saya mempunyai dua anak CP iaitu Muhamad Danial Hakimi Mukhris Mansor, 10, seberat 14kg manakala adiknya Muhammad Danial Mikhail Zikir, berusia enam tahun pula seberat sembilan kilogram.

“Jika diikutkan memang payah untuk mengangkat mereka bersaiz besar dibawa ke bilik air untuk mandi, tetapi semua rutin harian itu sudah dijalankan sejak mereka lahir membuatkan ia sudah terbiasa,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana suaminya, Mansor Said, 40, turut bersama menjaga dan menguruskan dua anak istimewanya itu membuatkan segala urusan menjadi ringan.

“Saya memang kagum dengan semangat dan pengorbanan ibu yang menjaga anaknya sendiri tanpa bantuan sesiapa kerana saya mempunyai pengalaman menjaga anak CP justeru mengetahui cabaran perlu dihadapi,” katanya.

Dungun - Kehidupannya tidak seperti insan-insan lain yang mampu hidup dengan selesa, tetapi itu tidak dijadikannya sebagai alasan untuk ...


Dungun - Kehidupannya tidak seperti insan-insan lain yang mampu hidup dengan selesa, tetapi itu tidak dijadikannya sebagai alasan untuk lelaki ini menagih simpati dari orang ramai. Erti susah juga tidak membuatkan pendidikan anak-anaknya terabai. Penyakit kulit yang dihidapinya membuatkan dia tidak diterima bekerja di mana-mana tempat.

Difahamkan, lelaki ini hanya mencari kotak-kotak dan barangan lusuh untuk menampung keperluan hidup. Kisahnya viral di media sosial selepas dikongsikan oleh wanita yang prihatin dengan nasib lelaki ini dan meminta insan-insan yang prihatin sepertinya tampil membantu mereka sekeluarga.

Tadi keluar ke bandar Dungun, Terengganu, ternampak saudara ni berjalan dengan sangat lemah diikuti seorang budak lelaki. Budak tu kelihatan happy je cuma saudara tu memang lemah sangat cara berjalannya.

Bulan lepas dah nampak mereka ni kat kawasan ini. Ingat nak kejar mereka nak bagi sikit duit, tapi duit kat tangan ada RM50 saja nak buat beli sabun kat Watson. So saya pergi shopping dulu dan selepas itu keluar, saya jalan ikut arah mereka berjalan tadi sampai ke 7 Eleven tapi tak jumpa. Takde rezeki nak bantu mereka.

Pusing balik semula ke Watson tempat di mana kereta ditinggalkan. Kami lalu jalan lain, manalah tahu kalau dapat berjumpa dengan mereka lagi, tetapi tetap tak jumpa. Rasa ralat juga tak berhenti awal-awal tadi dan minta mereka tunggu.

Masuk kereta kami nak balik, Alhamdulillah ternampak mereka dekat Happy Home. Saya terus memberhentikan kereta dan bertanya.

Katy: Abang, abang sakit ke?
Saudara: Ya, sakit badang. (kulit)
Katy: Abang minta duit ke?
Saudara: Ya kak, takde orang nak bagi kerja. Tangan semua bengkak-bengkak, kaki pun pecah-pecah. Sakit keturunan kak. Saya kena masa umur 17 tahun.
Katy: Anak ni mak dia ada lagi tak?
Saudara: Ada, kat rumah jaga anak kecil.
Katy: Abang ada berapa orang anak?
Saudara: 4 orang.
Katy: Bila abang nak balik?
Saudara: Bila dapat duit cukup kami balik.
Katy: Adik ni sekolah tak?
Saudara: Sekolah, tak boleh tak sekolah.
Katy: Baguslah bang, kena sekolah. Insha Allah nanti abang doa banyak-banyak semoga Allah sembuhkan abang dan tak bagi kena kat anak-anak. Boleh saya minta izin ambil gambar abang dan anak-anak. Nanti saya bagitahu kawan-kawan saya.
Saudara: Boleh
Katy: Abang ada nombor akaun?
Saudara: Takde, isteri je ada. Tapi tak ingat.

Kalau anda terserempak dengan abang ini, dia tidak meminta-minta. Dia hanya berjalan-jalan dengan anaknya. Jadi, nak kata dia meminta sedekah itu, saya tak pernah nampak.

Saya kongsi kisah ini di sini untuk memohon kawan-kawan yang ternampak mereka dua beranak jalan-jalan kat Sura Gate, berilah sumbangan ikhlas untuk mereka. Bukan abang itu tak nak kerja, kalau dia nak kerja pun siapa yang nak ambil dia kerja dengan keadaan seperti itu?

Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah buat abang ini dan keluarga, semoga asbab berkat Al-Fatihah dari anda semoga Allah sembuhkan sakit beliau dan lindungi anak-anaknya dari terkena penyakit yang sama.

Saya tutup muka mereka kerana percaya dari susuk badan mereka anda dah boleh mengenali mereka sekiranya anda ternampak mereka di mana-mana.


Progress:

RM0 raised

Goal: RM500

* Susulan kes seorang guru wanita dilaporkan hilang ketika pulang dari tempat beliau mengajar di Madrashah Moden Maidam di Besut, Tereng...


*Susulan kes seorang guru wanita dilaporkan hilang ketika pulang dari tempat beliau mengajar di Madrashah Moden Maidam di Besut, Terengganu, sejak Isnin lalu.

Nur Najiha Rahimi, 25 tahun, ditemui di Permaisuri, Setiu. Ahli keluarganya bersyukur setelah kehilangan anaknya itu tular ramai pihak tampil memberi bantuan termasuk mencari.

Nur Najihah di bawa ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut.





Seorang guru di Madrasah Moden Maidam, Besut, Terengganu, dilaporkan hilang.

Nur Najiha Rahimi, 25 tahun, dilaporkan hilang sejak 31 Disember lalu.

Najiha dipercayai keluar dari Madrashah berkenaan kira-kira jam 6.00 petang dengan memandu kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru bernombor pendaftaran TBV 9955.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Daerah Besut oleh ahli keluarganya selepas gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi:

1) Rahimi : 019-980 3973 
2) Jah : 019-948 0793

Chukai - Dana terkumpul untuk pembelian van Pertubuhan Cakna Anak Yatim (Cakna) Kemaman yang dikutip sejak Julai lalu setakat ini masih b...


Chukai - Dana terkumpul untuk pembelian van Pertubuhan Cakna Anak Yatim (Cakna) Kemaman yang dikutip sejak Julai lalu setakat ini masih belum mencukupi.

Jurucakap Cakna Kemaman, Azmi Ismail berkata, susulan itu pihaknya sangat mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai atau mana-mana pihak yang prihatin.

Katanya, van yang mahu dibeli itu dianggarkan berharga RM120,000 dan ia untuk kegunaan rasmi Cakna Kemaman serta penghuni pusat tahfiz anak yatim perempuan pertubuhan itu, Hafizatul Quran.

"Kita perhebatkan lagi kerja-kerja mengumpul dana ini untuk pembelian van kerana sasaran kita sempena tahun baharu nanti, kita dapat sediakan satu lagi kemudahan baharu kepada anak-anak yatim Kemaman.

"Sekarang kita terpaksa menyewa kenderaan untuk pergerakan anak-anak yatim dalam program-program bersama masyarakat," katanya.

Menurut Azmi, dengan adanya sebuah van sendiri, Cakna Kemaman dan Hafizatul Quran dapat berjimat dan ia dapat dipakai pada bila-bila masa termasuk ketika menghadapi kes kecemasan.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga masih menggumpul dana untuk pembelian pakaian sekolah
anak-anak yatim yang berdaftar dengan pertubuhan mereka.

Tambah Azmi lagi, mereka yang terpanggil untuk membantu mengisi dana-dana itu boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun bank berikut atas nama Pertubuhan Cakna Anak Yatim Kemaman atau hubungi Azmi:

013-9211711
Progress:

RM0 raised

Goal: RM10000

Setiu - Seorang ibu tunggal buntu memikirkan pendapatan untuk menyara lima anaknya selepas kematian suami dua bulan lalu. Rahimah Lateh...


Setiu - Seorang ibu tunggal buntu memikirkan pendapatan untuk menyara lima anaknya selepas kematian suami dua bulan lalu.

Rahimah Lateh, 52, dari Perumahan Binjai Manis, Bandar Permaisuri di sini, berkata, sebelum itu mereka sekeluarga bergantung pada arwah suami yang bekerja sebagai pemandu bas.

Menurutnya, anak sulungnya yang berusia 22 tahun kini sedang menuntut di UiTM manakala anak kedua sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM.

"Tiga lagi anak saya masih bersekolah iaitu anak ketiga berusia 16 tahun, ke empat 15 tahun manakala anak bongsu saya pula berusia 12 tahun," katanya.

Kata Rahimah, perbelanjaan harian mereka kini hanya bergantung kepada sedikit wang simpanan yang semakin lama makin susut.

Menurutnya, dia sangat sedih kerana tidak dapat memenuhi keperluan anak-anaknya memandangkan wang yang ada hanya cukup-cukup untuk makan sahaja.

“Simpanan yang ada hanya cukup untuk membeli makan sahaja dan itupun tidak bertahan lama,” katanya.

Tambah Rahimah, secara zahirnya mungkin orang melihat dia senang tetapi hakikatnya saban hari dia bertemankan air mata kerana kesempitan hidup.

Rahimah berkata, dia berharap pihak JKM dapat mempertimbangkan permohonanya untuk mendapatkan bantuan bulanan bagi ibu tunggal.

"Saya sudah mengisi borang sebulan lalu, dengan bantuan bulanan itu sudah tentu dapat menampung perbelanjaan harian saya," katanya.

Kuala Berang - “Jika tidak boleh tolong jangan bagi harapan palsu, sekali gus mempermainkan perasaan saya,” luah Nurul Dahyatul Fazlinda ...


Kuala Berang - “Jika tidak boleh tolong jangan bagi harapan palsu, sekali gus mempermainkan perasaan saya,” luah Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 16, mangsa simbah asid oleh bapa kandungnya sendiri.

Dakwa nya, sudah dua tahun dia menanti janji seorang ahli perniagaan bergelar VIP yang berjanji mahu menampung kos pembedahan plastik bernilai RM100,000.

Remaja dari Kampung Sekayu di sini, itu dijanjikan oleh individu berkenaan untuk menampung kos pembedahan plastik pada 2016 bagi merawat wajahnya yang cacat akibat simbahan asid pada 2010.

“Selama dua tahun saya menunggu, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan daripada ahli perniagaan itu.

“Begitu juga dengan kerajaan negeri yang pernah berjanji untuk membantu,” kata gadis itu ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Nurul Dahyatul mengakui dirinya terlalu kecewa dengan janji ahli perniagaan itu dan kerajaan negeri yang menyatakan kesediaan untuk menampung kos pembedahan plastik itu.

“Jangan berjanji jika tidak mampu tepati. Walaupun sudah dua tahun berlalu, saya masih ingat dengan janji diberikan mereka.

“Kata-kata harapan yang diberi mereka masih segar di ingatan sehingga kini.

“Saya sudah menjalani semua proses yang diminta termasuk pemeriksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah tetapi hingga sekarang pihak berkenaan tidak membuat susulan, sekali gus menyebabkan saya tertanya-tanya status rawatan seterusnya,” katanya.

Menurutnya, dia juga sudah melakukan pemeriksaan dengan seorang perunding pembedahan plastik yang juga Pakar Bedah Kosmetik Pusat Perubatan Beverly Wilshire, Dr M Nasir Zahari di Kuala Lumpur dan hasil pemeriksaan itu menyatakannya perlu melalui empat peringkat rawatan membabitkan beberapa organ yang terjejas akibat terkena simbahan asid terbabit.

Pelajar SMK Tun Indera itu berkata, dia sentiasa menyimpan hasrat untuk merawat wajahnya bagi mendapatkan semula keyakinan diri, selain tidak tahan mengalami masalah gatal-gatal pada muka ketika berpeluh.

“Selama lapan tahun saya menjalani kehidupan dengan wajah seperti ini dan ia sudah sebati dengan diri, tetapi jauh di sudut hati, saya tetap ingin merawatnya supaya ia kembali normal sekurang-kurangnya tidak mengalami masalah kulit gatal.

“Saya kekok dan malu berhadapan dengan orang baru dikenali, malah tidak mempunyai keyakinan diri untuk berada di tempat awam kerana sering diperhatikan orang sekeliling.

“Maklumlah wajah saya tidak sama seperti orang lain dan tentunya akan menjadi perhatian dan tidak semua orang yang mengetahui tragedi di sebalik wajah ini dan memahami perasaan saya,” katanya.

Nurul Dahyatul berharap, pihak yang pernah berjanji membantu menghulurkan bantuan bagi merawat wajahnya itu merujuk semula janji yang pernah diberikan dan menyatakan pendirian sama ada ingin meneruskan hasrat membantu atau sebaliknya.

Ibunya, Che Ku Zaimah Che Awang, 36, berkata, dia juga kecewa dengan pihak berkenaan yang berjanji tetapi tidak menunaikan janji seperti yang diberikan.

“Saya masih ingat, kami sekeluarga berjumpa dengan ahli perniagaan terkenal itu di sebuah hotel di Kelantan dan usahawan itu menyatakan kesediaan membantu membiayai perbelanjaan pembedahan anaknya itu.

“Malangnya, tiada susulan yang dibuat sehingga kini. Kerajaan negeri melalui bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman ketika itu juga pernah melawat kami sekeluarga pada 2016 dan turut menyuarakan hasrat yang sama tetapi turut membisu selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Haron berkata, pihaknya akan meneliti semula hal itu sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Janji itu dibuat ketika zaman pemerintahan kerajaan sebelum ini, tetapi atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan kerajaan sekarang, kami akan menjalankan siasatan dan penelitian secara menyeluruh terhadap kes itu.

“Kami perlu tengok terlebih dulu apa bantuan yang boleh diberikan dan semestinya kami ingin membantu tetapi sebarang keputusan bergantung kepada penilaian yang dibuat nanti,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, remaja berkenaan bersama ibu dan adik lelakinya, Muhammad Irfan Firdaus, 10, melecur akibat disimbah asid dipercayai cuka getah oleh bapa kandung di rumah mereka dalam kejadian jam 1.45 pagi pada 14 Ogos 2010.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecacatan di muka dan badan termasuk kedua-dua lubang hidung mengecut, sekali gus mengganggu pernafasannya. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada adik ini boleh berbuat demikian melalui:

Kemaman - “Saya sudah buntu dan habis ikhtiar mencari RM45,000 untuk menampung kos pembedahan anak saya yang menghidap penyakit jantung...


Kemaman - “Saya sudah buntu dan habis ikhtiar mencari RM45,000 untuk menampung kos pembedahan anak saya yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir," kata nelayan, Rudi Abdul Wahab, 40.

Rudi yang berasal dari Kampung Bakau Tinggi, Chukai, Kemaman berkata, anak bongsunya, Nurul Nasmira Najwa, 11, perlu menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur secepat mungkin bagi menutup dua lubang pada jantungnya.

Katanya, dia tidak mampu mengumpul wang sebanyak itu kerana berpendapatan kurang RM300 sebulan dan pada masa sama perlu menyara keluarganya yang mana isterinya, Norhayati Ramli, 39, kini dirawat di Hospital Besar Siti Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana buah pinggangnya rosak.

"Saya memang tidak mampu, terpaksa minta ehsan orang ramai, saya datang ke sini (Kuantan) menaiki bas untuk mencari ikhtiar supaya kisah anak saya dapat disiarkan dan diketahui oleh orang ramai bagi mendapat bantuan.

"Untuk makan tengah hari pun tidak tahu macam mana, paling penting sekarang Nurul Nasmira Najwa dapat dibantu supaya dia dapat membesar seperti kanak-kanak lain," katanya ketika ditemui di Kuantan, hari ini.

Katanya, Nurul Nasmira Najwa sebelum ini pernah menjalani pembedahan di IJN tiga tahun lalu dan satu daripada tiga lubang pada jantungnya berjaya ditutup.

"Sekarang ini perlu tutup dua lagi lubang, kalau saya dapat kumpul RM45,000 sudah tentu pembedahan itu dapat dilakukan dengan segera. "Tetapi apakan daya, saya tidak mampu lagi mengumpulnya.

“Sebelum ini anak saya itu ada mendapat bantuan berjumlah RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi ia sudah dihentikan tanpa sebarang sebab," katanya.

Sebagai bapa, Rudi berharap supaya Nurul Nasmira Najwa dapat menjalani pembedahan dengan segera dan hidup seperti insan lain.

"Dia hanya bersekolah sehingga tahun dua sahaja kerana saya tidak mampu selain kesihatannya yang tidak mengizinkan, kakaknya, Nurul Natasha Nadia meninggal dunia sebelum Aidilfitri kerana demam panas berpanjangan.

"Kini saya hanya ada Nurul Najwa sahaja, kalau boleh saya mahu dia menerima rawatan dan pembedahan segera untuk menyelamatkannya," katanya.

Mereka yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Rudi di talian berikut:

018-9011918
Progress:

RM0 raised

Goal: RM45000

Marang - “Saya merayu pulangkan semula cucu ke pangkuan kerana hati ini terlalu merinduinya dan berhasrat untuk menjaganya sementara ...



Marang - “Saya merayu pulangkan semula cucu ke pangkuan kerana hati ini terlalu merinduinya dan berhasrat untuk menjaganya sementara masih hidup,” kata Zainun Muda, 66, dari Kampung Sungai Kerak, Marang, Kuala Terengganu.

Warga emas itu terpisah dengan cucunya, Nur Nasarah Mustafa Kamal, empat tahun, selepas dua tahun kematian menantunya iaitu ibu kepada Nur Nasarah, Norhida Ayu Rosli, 33, pada 2015 kerana penyakit sawan.

“Selepas dua tahun saya membesarkan Nur Nasarah bersama bapanya (Mustafa Kamal Mat Dalim, 33), hak penjagaan cucu itu diberikan kepada ibu saudaranya berikutan Mustafa mengalami sakit misteri sekali gus terpisah dengan cucu.

“Sekarang cucu sudah berusia empat tahun dan kali terakhir saya menemuinya pada Mac lalu di Pejabat JKM Marang. “Lebih setahun saya berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas cucu, namun pihak berkenaan hanya berjanji memberikan hak itu kepada saya. Tetapi, sehingga sekarang ia masih belum ditepati,” katanya.

Zainun mendakwa, anak bongsunya iaitu Mustafa Kamal meninggal pada Disember 2017 kerana mengalami sesak nafas dan kini dia terpaksa tinggal berseorangan di rumahnya.

“Saya kerap menziarahi pusara anak dan menantu bagi melepaskan rasa rindu. Sejak kehilangan anak, hidup saya semakin sunyi justeru saya memerlukan cucu untuk menghiburkan hati dan merawat kerinduan pada anak,” katanya yang menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM350 sebulan.

Tambahnya, dia masih terkilan kerana arwah anaknya tidak sempat menemui Nur Nasarah sebelum meninggal dunia.

“Arwah sangat teringin menemui anaknya namun kerana pelbagai alasan arwah tidak sempat berjumpa dengan anaknya sendiri, malah arwah sempat berpesan kepada saya supaya berjuang mendapatkan semula hak penjagaan ke atas cucu.

“Saya sudah tua tetapi masih mampu menjaga cucu kerana sebelum ini pernah diberi tanggungjawab untuk menjaga cucu oleh arwah ibunya tetapi dipisahkan kerana alasan yang tidak munasabah.


Progress:

RM0 raised

Goal: RM500



blog counter views

Kongsi Portal Ini