
Jerteh - Seorang bapa Mohd Nor Fezan Husain, 51, buntu memikirkan nasib dua anak lelakinya yang menghidap penyakit genetik atau otot yang semakin mengecil menyebabkan anaknya itu lumpuh dan perlu diuruskan olehnya serta isteri.
Dia berkata anak kedua daripada lima beradik, Mohammad Hakimi, 12, dan ketiga, Mohammad Hamzi, 10, menghidap penyakit itu ketika berusia tujuh tahun apabila otot tangan dan kaki semakin mengecil serta membengkok.
Dia berkata, penyakit itu menyebabkan anak keduanya lumpuh sejak berusia sembilan tahun, manakala anak ketiga sejak dua minggu lalu.
“Mereka dilahirkan normal, namun ketika di Tahun Satu otot di bahagian kaki anak semakin mengecil dan membengkok menyebabkan mereka tidak mampu berlari serta kerap jatuh apabila berjalan.
“Keadaan itu berterusan apabila mereka hilang upaya untuk berjalan dan perlu diangkat untuk pergi ke mana-mana termasuk ke sekolah serta menerima rawatan pakar fisioterapi di HUSM, Kubang Kerian,
“Jika sebelum ini, hanya anak kedua yang tidak mampu berjalan dan saya boleh membawa mereka dengan menaiki motosikal. Namun, kini kedua-dua anak hilang upaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh 2, Lubok Pukol, di Jerteh, hari ini.
Katanya, dia risau untuk membawa anaknya menaiki motosikal termasuk ke Sekolah Kebangsaan Raja Bahar, Kedai Lalat yang terletak lebih lima kilometer dari rumahnya.
Menurutnya, penyakit genetik itu menyebabkan dua anaknya tidak boleh berjalan dan hanya mampu mengengsot atau merangkak untuk bergerak.
“Saya bimbang dengan keselamatan anak untuk membawa mereka menaiki motosikal kerana masing-masing hilang upaya.
“Besar harapan saya supaya ada pihak sudi menyumbangkan motosikal roda tiga bagi memudahkan saya membawa dua anak ke sekolah dan mendapat rawatan di hospital. Saya mahu anak mendapat pendidikan sebaik mungkin demi masa depan mereka.
“Untuk membeli motosikal roda tiga, saya tidak mampu kerana hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM50 sehari atau mengikut hari bekerja,” katanya.
Menurutnya, dia kini bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan, anaknya masing-masing RM150 seorang.
Mohd Nor Fezan berkata, anak sulungnya, Nurul Ain meninggal dunia secara mengejut dua tahun lalu ketika berusia 11 tahun. Dia juga mempunyai dua lagi anak, Mohammad Asyraf, 3, dan Nurul Huda Husna berusia tiga bulan yang setakat ini, disahkan normal.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian ke akaun bank berikut atas nama Mohd Nor Fezan Husain:
0 comments: