Adik-beradik yatim piatu serba kekurangan galas tanggungjawab ibu, ayah - KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Saluran setempat memaparkan senarai golongan kurang bernasib baik di Malaysia yang memerlukan bantuan. Bantuan boleh disalurkan terus kepada pemohon berdasarkan maklumat yang ada di dalam artikel. Sebarang urusan atau pertanyaan sila emel ke: [email protected]

Advertisement Top




Kuala Nerus -  Rutin harian remaja berusia 15 tahun ini bermula seawal 5.30 pagi dengan melakukan pelbagai kerja rumah dan menguruskan ad...

Adik-beradik yatim piatu serba kekurangan galas tanggungjawab ibu, ayah


Kuala Nerus -  Rutin harian remaja berusia 15 tahun ini bermula seawal 5.30 pagi dengan melakukan pelbagai kerja rumah dan menguruskan adik bongsunya yang masih kecil, sebelum ke sekolah.

Sejak kematian ibunya tahun lepas, Syahwanie Azliya Sahidi dan adik-beradiknya, Syahil Azem, 19; Syahwanie Azwa dan Syahwanie Azwin, 16 (kembar); Syahil Azer, 14; dan Syahwanie Azrinie, 10, terpaksa menguruskan kehidupan sendiri dan menjaga adik bongsu mereka Syah Amsyar Mohammad yang berusia 11 bulan.

"Kami mempunyai tugasan masing-masing. Abang (Syahil Azem) akan menghantar dan mengambil kami dari sekolah, kakak-kakak akan memasak dan saya pula akan mengemas rumah. Kami juga bergilir menjaga adik bongsu," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan anggota Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) di rumah mereka di Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit, di sini pada Ahad.

Dalam kunjungan tersebut, Kawat yang diwakili Timbalan Presidennya Ahmad Syafri Husnaini Mohamad menyerahkan bantuan barangan keperluan dapur dan wang tunai kepada adik-beradik yatim piatu itu.

Ibu mereka Norhayatie Alias meninggal dunia selepas dua bulan melahirkan Syah Amsyar, hasil perkahwinan dengan bapa tiri Mohammad Mohd Nor, 53, manakala bapa mereka Sahidi Abdullah meninggal dunia pada 2010 akibat darah tinggi.

Kini tujuh beradik itu menetap di sebuah rumah yang disewa Mohammad dan mereka turut menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450.

Abang sulung Syahwanie Azliya, Syahil Azem terpaksa melupakan cita-citanya untuk menyambung pelajaran demi menjaga adik-adiknya.

"Pada bulan puasa ini abang (Syahil Azem) bekerja di bazar Ramadan Batu Enam dengan pendapatan RM700 dan pada bulan lain abang bekerja di kedai makan dengan gaji RM600 sebulan.

"Ayah (bapa tiri) akan balik dalam tiga atau empat hari seminggu. Dia bekerja sendiri di Setiu. Ayah juga turut memberi wang belanja selain wang pengasuh adik bongsu," katanya yang bersyukur bapa tirinya itu masih mengambil berat tentang mereka.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, Syahwanie Azliya berkata guru-guru sekolah dan ibu saudara mereka telah membelikan baju raya, manakala persiapan lain masih belum dibuat.

Dalam pada itu, adik-beradik tersebut juga pernah menolak hasrat seorang individu untuk mengambil Syah Amsyar sebagai anak angkat kerana mereka tidak mahu berpisah dengan adik bongsu mereka itu.

"Kami memang sudah nekad walau apa pun terjadi biarlah kami susah dan senang bersama-sama," katanya.

Syahwanie Azliya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk guru-gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan Zainal Abidin yang banyak memberi bantuan kepada mereka.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan kepada adik-beradik berkenaan boleh berbuat demikian ke akaun BSN Syahwanie Azliya bernombor 1100141000068001.

0 comments:

Kongsi Portal Ini