
Che Nor Hidayah Che Mamat, 30, dari Kampung Kampung Tetambah, Manir, Kuala Nerus meninggalkan kerjaya di Taska Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu untuk menjaga Muhammad Naim Mohd Nazri, 7, yang menghidap CP sejak lahir.
“Terlalu banyak cabaran perlu dihadapi dalam menguruskan Naim kerana dia memerlukan tumpuan sepenuhnya.
“Ketika Naim masih kecil, tenaga diperlukan tidak terlalu banyak kerana anak itu masih ringan, tetapi sekarang apabila sudah berusia tujuh tahun, berat badannya dianggar mencecah 27 kg.
“Berat badan Naim sekarang memberi cabaran kepada seorang ibu untuk mendukungnya, namun di sebalik kesukaran itu, rutin harian itu seakan tidak mendatangkan masalah kerana ia dilakukan dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Menurutnya, pada pandangan umum, keluarga mempunyai anak CP itu hanya sukar untuk menyediakan keperluan harian membabitkan kos tinggi, namun sebenarnya kesukaran jauh lebih mencabar ialah ketika menguruskannya.
“Biarpun agak mencabar apabila menguruskan anak CP itu, kepuasan diberikan Allah tidak boleh diungkap dengan kata-kata.
“Saat mendukung anak istimewa itu, saya dapat rasakan seperti dikurniakan tenaga tambahan,” katanya.
Menurutnya, dia berterima kasih kepada JKM Terengganu yang memberikan bantuan RM300 sebulan, sekali gus dapat digunakan untuk menampung keperluan anaknya itu.
Katanya, perbelanjaan Naim agak tinggi apabila usianya semakin meningkat maklumlah keinginan untuk makan semakin bertambah, sekali gus kerap membuang air besar dan memerlukan lampin pakai buang yang lebih banyak.
Beliau ditemui pada Program Fisioterapi Anak Kurang Upaya Kritikal Terlantar dan Masih Ada Yang Sayang di Masjid Sultan Ismail, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.
Dalam pada itu, Samsiah Osman, 38, dari Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payung berkata, memang menjadi lumrah ibu bapa yang mempunyai anak CP perlu mengangkat, mendokong atau memapah anak ketika menguruskannya.
“Saya mempunyai dua anak CP iaitu Muhamad Danial Hakimi Mukhris Mansor, 10, seberat 14kg manakala adiknya Muhammad Danial Mikhail Zikir, berusia enam tahun pula seberat sembilan kilogram.
“Jika diikutkan memang payah untuk mengangkat mereka bersaiz besar dibawa ke bilik air untuk mandi, tetapi semua rutin harian itu sudah dijalankan sejak mereka lahir membuatkan ia sudah terbiasa,” katanya.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana suaminya, Mansor Said, 40, turut bersama menjaga dan menguruskan dua anak istimewanya itu membuatkan segala urusan menjadi ringan.
“Saya memang kagum dengan semangat dan pengorbanan ibu yang menjaga anaknya sendiri tanpa bantuan sesiapa kerana saya mempunyai pengalaman menjaga anak CP justeru mengetahui cabaran perlu dihadapi,” katanya.
0 comments: