
Kota Bharu - Seorang ibu tunggal dari Kampung Sabak, di Kota Bharu, mengharapkan simpati orang ramai selepas hilang punca pendapatan berikutan penyakit tuberkulosis atau tibi yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Menurut Mariam Mat Deris, 53, ketika masih sihat, dia bekerja di tempat pemprosesan keropok yang terletak berdekatan rumahnya dengan kadar upah RM50 sehari untuk menyara keluarga.
Katanya, selepas disahkan menghidap penyakit itu, dia kini tidak lagi mampu melakukan sebarang pekerjaan kerana badannya akan berasa cepat letih.
Pada masa sama katanya, dia perlu berulang-alik ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa dengan menaiki bas bagi mendapatkan rawatan dan mengambil ubat pada setiap bulan.
"Saya tidak mahu menyusahkan anak-anak yang lain kerana ada antara mereka yang tidak bekerja dan jika ada kerja pun hanya sekadar cukup untuk makan minum mereka sahaja.
"Kini, selain perlu menampung keperluan diri dan ubatan, saya juga perlu menyara anak bongsu, Nur Dariana Abdullah, 11, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sabak," katanya di rumahnya di Kampung Sabak, di Kota Bharu.
Selain Nur Dariana, dia mempunyai lima anak lain dengan ada yang sudah bekerja dan mempunyai keluarga masing-masing.
Mariam berkata, dia sebelum ini mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali, namun suami pertamanya meninggal dunia 12 tahun lalu selepas terjatuh ke dalam kolam ikan.
Dia kemudian berkahwin kali kedua tetapi bercerai sejak 10 tahun lalu.
"Bagi meneruskan kelangsungan hidup, kini saya bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan yang diperolehi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM100 sebulan.
"Saya akui bantuan ini tidak mencukupi, dan ada kalanya bagi mengalas perut, saya dan anak-anak hanya makan nasi kosong bersama kicap atau biskut kering dicicah dengan teh kosong jika kesempitan wang.
"Mujurlah anak bongsu memahami kesusahan yang dialami dan dia tidak pernah meminta-minta kerana mengetahui saya tidak mampu untuk menunaikan permintaannya," katanya.
Katanya, lebih menyedihkan lagi, sejak 40 tahun lalu mereka sekeluarga juga terpaksa mengharungi lumpur untuk masuk ke kawasan rumah disebabkan air pantai berdekatan.
"Justeru itu, saya amat berharap ada pihak boleh membantu untuk meletakkan pasir atau batu di kawasan hadapan rumah untuk memudahkan kami dan orang lain keluar masuk tanpa perlu mengharungi becak lagi," katanya.
Mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank berikut atas nama Mariam Mat Deris atau menghubunginya:
![]() |
011-14177602 |
Progress:
|
Goal: RM1000 |
0 comments: