
Langkawi - Kakak sulung, Nursyafanis, 20, (kanan) bersama adik-adiknya Nursyafinas, 18, Nursaleha, 11, dan Nursyafina, 18 kini anak yatim piatu dan berpegang kepada pesanan terakhir ibunya supaya menjaga adik-adik yang lain selepas ibu bapa mereka dan seorang adik meninggal dunia dalam kebakaran di Langkawi semalam.
Anak sulung mangsa, Nursyafanis, 20, berkata, ibunya meninggalkan pesanan terakhir itu ketika dia berada di Langkawi sepanjang cuti semester pada pertengahan bulan lalu.
"Saya kena kuat demi adik-adik dan akan pegang pesanan terakhir arwah mama itu baik-baik," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Kata penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) itu, dia dan tiga adiknya masih terkejut dengan kejadian menimpa ibu, Noorsuhaila dan bapa, Mohd. Nahar Shuhaimi, 39, serta adik lelaki kesayangannya, Muhammad Nawfal, 6.
"Bukan mudah untuk kami empat beradik menerima kehilangan ibu bapa dan adik lelaki dalam sekelip mata ini tetapi saya akan galas tanggungjawab sebagai kakak sulung dengan baik walaupun berat," ujarnya.
Menurutnya, selain ibu, dia juga masih teringat permintaan arwah bapanya untuk merakamkan banyak gambar dengannya ketika dia bersiap-siap mahu pulang ke UnisZA di Kuala Terengganu pada 24 Mac lalu.
"Arwah ayah puji saya dan saya masih ingat arwah beberapa kali kata Ya Allah cantiknya kakak hari ini sebelum merakamkan gambar saya dengannya. "Satu-satunya adik lelaki saya, Nawfal pula merayu supaya saya tidak pulang ke universiti," katanya sebak.
Dalam pada itu, kata Nursyafanis, dia yang baru tiba di Langkawi dari Kuala Terengganu malam semalam diminta untuk membuat pengecaman ke atas jenazah ibu bapa dan adiknya di Jabatan Forensik HSB pagi ini.
"Saya masih kuat bila tengok jenazah abah dan mama tetapi saya tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat mayat Nawfal yang mana wajahnya kelihatan seperti menahan kesakitan," ujarnya.
Media semalam melaporkan tiga beranak ditemui mati dalam keadaan menyayat hati selepas rumah mereka yang terletak berhampiran Restoran Nelayan di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa, Bukit Malut terbakar.
0 comments: