Gua Musang - Di saat teman lain melanjutkan pelajaran ke menara gading dan memulakan kerjaya, kerana kasih dan tanggungjawab seorang gadi...
Gua Musang - Di saat teman lain melanjutkan pelajaran ke menara gading dan memulakan kerjaya, kerana kasih dan tanggungjawab seorang gadis mengambil keputusan mengabaikan segalanya untuk menjaga ibu yang sakit saraf otak.
Nor Syuhadah Aziz, 23, terpaksa menguburkan impian kerjaya untuk bergelar seorang guru demi menjaga dan menguruskan ibunya Noraini Ismail, 54, yang sakit saraf otak sejak enam tahun lalu.
Nor Syuhadah yang tinggal di Kampung Limau Kasturi 2, di sini, terpaksa menolak dua tawaran untuk melanjutkan pelajaran di universiti awam.
Menurut Nor Syuhadah, dia telah menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran di UPSI, Tanjung Malim, Perak yang diterima pada tahun 2015 dan UIAM Kuala Lumpur pada tahun 2017.
Katanya, dia tidak sanggup berpisah dan meninggalkan ibunya keseorangan di rumah kerana kebanyakan adik-beradik lain sudah mempunyai komitmen keluarga dan kerja di Kuala Lumpur.
“Saya tidak sanggup melepaskan tanggungjawab menjaga emak kepada ayah, Aziz Abdullah, 58, kerana dia juga sudah berusia dan mencari nafkah menoreh getah.
“Bagaimanapun, enam adik-beradik lain yang tinggal di luar Kelantan juga memberi sokongan apabila pulang setiap hari minggu atau cuti untuk melihat keadaan emak,” katanya yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Nor Syuhadah yang tamat pengajian tingkatan enam SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai pada tahun 2015 berkata, dia juga tidak pernah menyesal mengambil keputusan itu.
Katanya, pengorbanan masa untuk menjaga ibu itu lebih besar dan ingin membalas jasa membesarkan dirinya.
“Saya tidak sesal dan menganggap bukan rezeki untuk bergelar guru walaupun melihat kebanyakan rakan sudah menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan.
“Buat masa sekarang juga saya tak terfikir untuk sambung pengajian kerana mahu fokus kepada emak dulu. Doktor cakap emak dah tak ada harapan untuk pulih dan selagi termampu akan jaga pakai makan dan minumnya,” katanya.
Menceritakan keadaan ibunya, Nor Syuhadah berkata, lima tahun lalu ibunya yang pernah menghidap penyakit skizofrenia juga pernah bertindak agresif untuk terjun bangunan ketika tinggal di rumah flat kakaknya di Kuala Lumpur.
Katanya, selepas kejadian itu ibunya juga terpaksa melakukan rawatan termasuklah rawatan psikiatri sehingga berat badannya seberat 70 kg susut sehingga 35 kg kini. Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian.
Alor Setar - Walaupun dilahirkan normal tetapi kejadian ragut yang menimpa Noraini Ahmad, 51, kira-kira sembilan tahun lalu menyebabkanny...
Alor Setar - Walaupun dilahirkan normal tetapi kejadian ragut yang menimpa Noraini Ahmad, 51, kira-kira sembilan tahun lalu menyebabkannya menjadi buta dan kini hanya mampu bergantung hidup dengan menjual kuih dan ulam di pasar tani.
Noraini berkata, kejadian ragut itu berlaku pada 2010 dan ketika itu bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pasar raya di Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar.
Menurutnya, dalam kejadian itu dia dipukul dengan topi keledar hingga menyebabkannya terjatuh di atas jalan raya dan sejak itu penglihatannya gelap hingga doktor mengesahkannya buta.
“Saya hanya mampu menangis apabila doktor beritahu mata saya tak dapat diselamatkan lagi dan saya berserah pada Allah apabila disahkan buta buat selama-lamanya.
“Kini, dengan kudrat yang ada terpaksa saya gagahkan diri bekerja dengan menjual kuih peneram dan ulam selain melakukan apa saja yang mampu dijual untuk mendapatkan wang demi sesuap nasi,” katanya ketika ditemui di Pasar Tani Kuala Nerang hari ini.
Noraini berkata, dia hanya mampu meraih antara RM6 hingga RM7 dengan menjual kuih peneram dan ulam setiap hari Sabtu dan Selasa di pasar tani berkenaan.
Menurutnya, dia akan dihantar anak saudara lelakinya ke pasar pagi itu pada 9.30 pagi untuk menjual kuih yang diambil daripada orang untuk dijual.
Katanya, dia tinggal dengan anak sulungnya, Norhidayah Mohd Yusof, 33, dan tiga cucu berusia dua hingga 10 tahun di Kampung FELCRA Bukit Tampoi.
“Walaupun saya menerima bantuan bulanan RM400 sebulan tetapi wang itu digunakan untuk membayar sewa rumah RM250 sebulan selain bekalan elektrik dan wang persekolahan cucu,” katanya.
Lebih menyedihkan suami Noraini sekarang, Abd Halim Ahmad, 53, mengalami kulit albino hingga menyebabkannya tidak boleh terkena panas.
Disebabkan itu juga, suaminya kini menetap di rumah mentuanya buat sementara waktu dan tidak tinggal bersama Noraini dan anaknya.
“Suami hasil perkahwinan pertama sudah meninggal dunia dan hasil perkongsian hidup kami dahulu, saya mempunyai tiga anak berusia antara 19 hingga 30-an tetapi dua daripadanya tinggal berjauhan dan kerja di tempat lain,” katanya.
Sementara itu, nasib yang menimpa Noraini mendapati simpati bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang tahun 1968 atau lebih dikenali sebagai G68.
Penaungnya, Abdul Muttalib Ismail, 51, berkata, mereka mengetahui kisah Noraini melalui rakan mereka yang ternampak Noraini berniaga di pasar tani itu dalam keadaan menyedihkan.
Menurutnya, melalui aplikasi WhatsApp kumpulan sekolah, mereka berhasrat untuk membantu Noraini yang hidup serba kekurangan.
“Ada rakan kami pergi menziarahinya di rumah untuk melihat keadaannya dan mendapatinya kehidupannya sekeluarga serba kekurangan.
“Disebabkan itu, kami tekad untuk mengumpul kutipan dari ahli kumpulan WhatsApp untuk membantu Noraini dan hasil kutipan wang berkenaan disampaikan kepadanya hari ini,” katanya.
Abdul Muttalib berkata, mereka juga turut membelikan peti sejuk, mesin basuh dan tikar getah untuk disumbangkan kepada Noraini bagi meringankan beban yang ditanggungnya.
Menurutnya, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui kumpulan itu, Usaha Enam Lapan Enterprise menerusi akaun bank berikut atau boleh menghubunginya:
Petaling Jaya - Berusia baru mencecah empat bulan, seorang bayi perempuan Nur Aisha Azhara Mohd. Yusof telah mengalami penyakit ‘left hyd...
Petaling Jaya - Berusia baru mencecah empat bulan, seorang bayi perempuan Nur Aisha Azhara Mohd. Yusof telah mengalami penyakit ‘left hydronephrosis and bilateral megaureters’ yang menyebabkan buah pinggang kirinya rosak.
Menurut bapa bayi tersebut, Mohd. Yusof Ismail, 34 , yang bertugas sebagai penghantar sambilan, anak keduanya itu disahkan menghidap penyakit tersebut sejak dalam kandungan lagi.
“Saya dan isteri mendapat tahu dari doktor anak saya mengalami masalah buah pinggang kirinya sejak dalam kandungan lagi.
“Setelah dilahirkan Nur Aisha Azhara mengalami masalah buah pinggang kiri tidak berfungsi,” kata beliau yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang di sini.
Beliau berkata demikian ketika dikunjungi rombongan NGO 99 Kebajikan Insan Selangor, Persatuan Anak Pantai Timur (Peranti) dan Anak Kelantan Bersatu.
Mohd. Yusof berkata, anaknya kini memerlukan rawatan susulan dan perlu sentiasa dipantau rapi, sekali gus meningkatkan kos perbelanjaan harian yang perlu ditanggung.
Beliau berkata, pendapatan isterinya, Juliana Riduan, 34, dan dirinya tidak sampai RM2,000 sebulan membuatkan mereka tidak mampu untuk menampung kos rawatan yang tidak menentu jumlahnya.
“Lebih membimbangkan rawatan susulan akan menjadi lebih tinggi selaras dengan peningkatan usia anak saya, “kata beliau.
Sementara itu, wakil NGO, Muhd. Ali Zakariah berharap orang ramai dan juga syarikat korporat tampil untuk memberikan bantuan untuk dirawat di hospital swasta.
“Mungkin dengan rawatan rapi di hospital swasta, Nur Aisha Azhara akan mendapat pemeriksaan yang lebih teliti. Saya bimbang kesihatannya merosot jika lambat dirawat,”katanya.
Orang ramai yang ingin membantu adik Nur Aisha Azhara boleh memasukkan sumbangan wang ke akaun bank milik Mohd. Yusof Ismail atau menghubungi beliau:
Gua Musang - Seorang wanita dari Kampung Lebur Jaya di sini terpaksa meninggalkan kerja harian selepas anak sulung, Muhammad Syahir Rif...
Gua Musang - Seorang wanita dari Kampung Lebur Jaya di sini terpaksa meninggalkan kerja harian selepas anak sulung, Muhammad Syahir Rifqi Mohd Ridhwan, 9, menderita sakit saraf sejak lahir.
Nor Shahada Mohammad, 30, berkata, sebelum ini dia dan suami, Mohd Ridhwan Mat Deris, 35, mengambil upah menoreh getah di kebun berhampiran.
Katanya, selepas melahirkan Muhammad Syahir Rifqi, dia perlu menumpukan perhatian kerana anaknya itu tidak boleh menguruskan diri sendiri dan masih menggunakan lampin pakai buang.
"Adam (Syahir) tidak boleh berjalan dan bercakap. Dia hanya mampu menangis sahaja. Saya tidak boleh meninggalkannya seorang diri kerana dia akan menangis.
"Dia hanya bergantung kepada bekalan susu. Setiap tiga jam, dia perlu diberikan susu khas. Untuk susu sahaja hampir RM500 sebulan kami perlu sediakan.
"Suami saya masih lagi ambil upah menoreh dan memanjat petai. Saya hanya bantu dari rumah dengan membuat pengasingan petai, menjual ais serta aiskrim untuk menampung perbelanjaan," katanya.
Menurut Shahada, Adam menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.
"Bantuan itu digunakan untuk keperluan Adam. Namun, kami masih tidak mampu mendapatkan katil khas untuk Adam dengan duit yang ada.
"Berat badan Adam melebihi 60 kilogram dan saya memerlukan bantuan suami untuk memandikannya. Jika ada katil khas, ia lebih mudah," katanya.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh salurkan ke akaun bank atas nama Nor Shahada Mohammad seperti berikut:
Pulau Pinang - Tiga bayi yang mempunyai masalah jantung memerlukan dana sebanyak RM210,000 bagi menampung kos pembedahan mereka. Bayi b...
Pulau Pinang - Tiga bayi yang mempunyai masalah jantung memerlukan dana sebanyak RM210,000 bagi menampung kos pembedahan mereka.
Bayi berkenaan masing-masing Muhammad Hafizhan Hailmi, 10 bulan, Muhammad Syakir Wafiq Muhamad Faiz, tiga bulan dan Ong Zhi Xuan, 14 bulan.
Ketiga-tiga bayi itu, yang paling muda berusia tiga bulan dan yang paling tua berusia 14 bulan, didiagnosis menghidap Ventricular Septal Defect (VSD), Atrial Septal Defect (ASD), Closed Patent Ductus Arteriosus (PDA) dan Transposition of Great Artery (TGA).
Bapa Muhammad Syakir Wafiq, Muhammad Faiz Abdul Rahim, 30, berkata, anaknya memerlukan dana sebanyak RM90,000 bagi menampung kos pembedahan.
Katanya, dengan pendapatan sebanyak RM800 sebulan di bengkel motosikal dekat Bukit Mertajam, dia tidak mampu mendapatkan wang sebanyak itu.
“Isteri saya, Siti Haidah Yusoff, 21, pula tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga Muhammad Syakir yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kulim, Kedah.
“Sejak lahir, anak kami tidak pernah keluar dari hospital kerana perlu menerima rawatan dan harapan kami supaya pembedahan ini berjaya serta dapat membawa anak pulang ke rumah,” katanya.
Bagi pasangan Hailmi Ismail, 38, dan Norma Nordin, 36, pula, mereka memerlukan kos sebanyak RM60,000 untuk membolehkan anak mereka, Muhammad Hafizhan menjalani pembedahan.
Hailmi bekerja sendiri dengan pendapatan sebanyak RM1,700 sebulan manakala isterinya adalah suri rumah selain perlu menyara tiga anak.
“Saya juga berulang-alik ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan Hospital Pulau Pinang (HPP) memandangkan anak saya memerlukan rawatan rapi selain terpaksa mengambil enam jenis ubat setiap hari,” katanya.
Turut sama ditemui ialah Ong Bak Choon, 46, yang memerlukan kos sebanyak RM60,000 bagi pembedahan anaknya, Zhi Xuan.
“Saya buntu bagi mengumpul wang sebanyak itu tambahan pula saya hanya bekerja di kedai tayar dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan,” katanya.
Sementara itu, Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), One Hope Charity & Welfare Berhad sudah mengeluarkan dana sebanyak RM21,000 bagi menampung kos awal pembedahan tiga bayi berkenaan.
Pengerusinya, Chua Sui Hua berkata, pembedahan tiga bayi itu masing-masing dijadualkan berlangsung pada hari ini, 30 September dan 3 Oktober ini.
“Kita berharap dapat mengumpul baki kos pembedahan dengan segera bukan hanya bagi membiayai rawatan bayi terbabit, tetapi kepada lebih ramai pihak lain yang memerlukan pada masa depan.
“Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank atas nama One Hope Charity & Welfare Berhad. Orang ramai juga boleh menghubungi pertubuhan itu di talian berikut bagi pertanyaan lanjut:
Kota Bharu - Kerana tidak mahu membebankan penyewa kerana lambat membuat bayaran sewa rumah, lapan sekeluarga nekad meninggalkan rumah se...
Kota Bharu - Kerana tidak mahu membebankan penyewa kerana lambat membuat bayaran sewa rumah, lapan sekeluarga nekad meninggalkan rumah sewa yang didiami di Panchor, Pengkalan Chepa dan memilih untuk tinggal di dalam bangsal di Pantai Mek Mas di sini.
Pengamal perubatan Islam, Imran Amin, 59, yang berasal dari Pekan, Pahang berkata mereka sekeluarga meninggalkan rumah yang disewa sejak 15 tahun lepas kerana tidak mahu menanggung hutang kerana lambat membayar sewa rumah.
Imran membawa isteri dan enam anaknya yang berumur antara satu setengah tahun hingga 19 tahun untuk tinggal di sebuah bangsal sejak 10 hari lepas yang dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.
Lebih menyedihkan, keadaan bangsal yang dibina atas tanah rizab pantai itu hanya berdindingkan zink dan kain, selain hanya mengharapkan bekalan elektrik daripada jiran tetangga dan tandas awam.
Imran, yang mula berhijrah ke Kelantan sejak 1990 untuk menuntut ilmu di sini, berkata beliau mengambil tindakan itu selepas tidak lagi mampu membayar sewa rumah berikutan pendapatan yang tidak menentu setiap bulan sebagai pengamal perubatan Islam manakala isterinya, Zainon Yakob, 39, hanya suri rumah sepenuh masa.
Beliau berkata disebabkan kesempitan hidup juga, dua anaknya, Siti Nor Shafika, 16, dan Siti Nor Hidayah,13, terpaksa berhenti sekolah sejak dua tahun lepas.
“Kalau nak ikutkan semua anak-anak saya mahu bersekolah namun disebabkan ketidakmampuan mereka terpaksa berhenti.
“Walaupun yuran sekolah percuma, namun keperluan lain termasuk buku, tambang ulang alik ke sekolah, wang saku harian mereka dan sebagainya memerlukan duit yang banyak,” katanya ketika ditemui di Pantai Mek Mas di sini, hari ini.
Beliau berkata anak sulungnya, Siti Nuha Tasurunnaazirin, 19, telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki.
Bercerita lanjut, Imran berkata ada satu ketika beliau sekeluarga hanya makan nasi berkuah budu.
“Kami makan apa yang ada selain mengharapkan bantuan dan sumbangan yang diberikan oleh orang ramai. Kadang-kadang terpaksa makan nasi yang telah dimasak semalam untuk bertahan sepanjang hari,” katanya.
Beliau turut mendakwa telah memohon bantuan daripada eKasih sejak 2011 namun tidak pernah terpilih untuk menerima bantuan itu.
“Besar harapan saya agar ada pihak yang sudi membantu keluarga saya dan keutamaan saya ketika ini adalah rumah sebagai tempat untuk keluarga saya berlindung,” katanya.
Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian menerusi akaun bank berikut atas nama Imran Amin atau menghubungi beliau:
Kuala Lumpur - Seorang pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak kini bergelut dengan masalah kesihatan dan kewangan...
Kuala Lumpur - Seorang pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak kini bergelut dengan masalah kesihatan dan kewangan akibat kemalangan jalan raya tahun lalu.
Mengalami kemalangan motosikal pada bulan Mac tahun lalu yang mengakibatkan kaki kanannya patah, Muhammad Hisyam Abdul Halem, 22 tahun ini sedang terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).
Meskipun sudah menjalani pembedahan tahun lalu, kaki kanannya masih belum pulih dek kerana salur darah yang rosak. Dia bagaimanapun sudah menjalani pembedahan sekali lagi pada 20 September lalu dengan kos sebanyak RM50,000.
Bagaimanapun, bahagian tersebut nampaknya tidak menunjukkan tanda-tanda akan baik dan dia sekali lagi dikejarkan ke bilik pembedahan tiga hari berturut-turut selepas itu.
“Ketika kemalangan tersebut berlaku, saya mahu pulang ke UPSI dari rumah keluarga di Port Dickson, Negeri Sembilan. Sebaik sahaja sampai di Shah Alam, ada kereta menghimpit motor menyebabkan saya terbabas masuk ke dalam longkang.
“Kaki kanan patah. Tapi bila sampai ke hospital, doktor mengesahkan ada urat dan salur darah rosak akibat kemalangan itu. Sebaik sahaja selesai pembedahan, saya perlu tunggu setahun untuk membaiki salur darah tersebut,” jelas Hisyam baru-baru ini.
Dek kerana beberapa masalah yang berlaku, dia menjalani semula pembedahan untuk memperbaiki salur darah tersebut. Namun kakinya bertukar menjadi biru keesokan harinya membuatkan dia perlu menjalani semula pembedahan bagi mengeluarkan darah beku yang tersumbat.
Ditambah dengan kos pembedahan tambahan dan ubat-ubatan yang mahal membuatkan pelajar jurusan Sejarah ini memohon sumbangan daripada orang ramai bagi menampung sedikit sebanyak jumlah yang perlu dibayar.
“Dahulu saya bergelut juga dengan masalah kewangan untuk mengumpulkan RM50,000 bagi pembedahan beberapa hari lalu. Tapi kos tersebut nampaknya makin bertambah kerana beberapa siri pembedahan ‘terkejut’.
“Keluar sudah melangsaikan separuh sahaja (RM5,000). Separuh lagi belum dibayar. Itu belum dikira dengan kos ubat-ubatan. Ada ubat perlu dibayar terus baru boleh digunakan,” katanya penuh pengharapan.
Hisyam kini perlu menggunakan ubat bagi mengelakkan darah beku yang berharga RM600 untuk tempoh seminggu. Selain itu ada beberapa jenis ubat lain perlu diambil bagi mengelakkan risiko lebih besar kepada kakinya itu.
Menyasarkan kos semasa tersebut akan meningkat sehingga RM10,000 untuk tempoh mendatang, dia merayu orang ramai untuk membantunya mengurangkan beban wang ringgit yang sedang ditanggung oleh keluarganya.
Bagi mereka yang ingin memberikan sumbangan, boleh menyalurkan bantuan kepada nombor akaun berikut di atas nama Muhammad Hisyam Abdul Halem:
Kubang Kerian - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu dihadapi pasangan suami isteri apabila bayi perempuan mereka yang beru...
Kubang Kerian - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu dihadapi pasangan suami isteri apabila bayi perempuan mereka yang berusia empat bulan disahkan menghidap kanser otak (Medullablastoma) tahap empat ketika 21 hari selepas dilahirkan.
Bayi berkenaan, Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham disahkan menghidap penyakit berkenaan selepas keadaan kepalanya yang agak besar berbanding bayi seusianya dan perlu menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains (HUSM), Kubang Kerian.
Ibunya, Khairiah Kamarudin, 35, berkata, luluh hatinya sebaik pakar perubatan memaklumkan bayinya yang masih kecil menghidap kanser otak tahap empat.
Katanya, anaknya ditempatkan di hospital dan menjalani pembedahan pertama di kepala ketika berusia 24 hari dan selepas pembedahan itu penglihatan bayinya terjejas.
“Sedih mengenangkan nasib anak bongsu daripada lima beradik ini yang perlu menanggung sakit dan derita walaupun masih bayi. Lebih memilukan apabila anak juga tidak boleh mengeluarkan suara dan hanya mampu mengerlipkan mata.
“Nishka juga turut dikesan menghidap penyakit kanser buah pinggang bulan lalu yang menyebabkan keadaannya tidak aktif dan perlu menggunakan bantuan untuk pernafasan (intubated veltilation) di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Sejak disahkan menghidap kanser otak, anak saya sudah menjalani pembedahan sebanyak empat kali termasuk dua di kepala serta dua di dada. Pada masa yang sama, bayi saya juga menjalani rawatan kemoterapi sebanyak dua kali,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Guru Sekolah Kebangsaan Bandar, Pulai Chondong dekat Machang berkata, amat menyedihkan apabila dia melihat anak kecilnya itu perlu menanggung penderitaan dan menjalani pelbagai rawatan.
Menurutnya, walaupun tidak sanggup melihat segala rawatan untuk anaknya, namun sebagai ibu dia dan suami, Mohd Farham Che Ahmad, 36, mahu melihat bayi mereka kembali sihat dan pulih.
Katanya, pada masa ini dia dan suami perlu memberi fokus kepada Nishka yang memerlukan sokongan dan perhatian.
“Saya bersyukur kerana empat anak yang lain dijaga oleh nenek mereka iaitu dua di Pasir Mas di rumah ibu saya dan dua lagi di Bukit Marak rumah ibu mentua. Kami terpaksa meletakkan anak-anak di bawah jagaan nenek mereka kerana saya dan suami sepenuhnya berada di hospital untuk menjaga anak bongsu.
“Setiap hari, saya akan bergerak ke tempat kerja dari hospital dan sebaik pulang saya akan datang untuk melihat Nishka,” katanya.
Khairiah berkata, dia tidak menyangka anak bongsunya itu menghidap penyakit kronik memandangkan ketika mengandung dia tidak mempunyai sebatang masalah sehingga proses melahirkan secara normal di HUSM.
“Saya anggap ini sebagai ujian kepada kami dan reda dengan ketentuan Allah. Kami minta masyarakat mendoakan supaya Nishka segera sembuh dan dapat keluar daripada hospital,” katanya.
Semoga bayi Nishka sembuh, kembali ceria, macam bayi lain. Kepada yang ingin membantu boleh hulurkan sumbangan ke CIMB atas nama Khairiah bt Kamarudin:
Johor Bahru - Seorang ibu tunggal merayu sumbangan orang ramai bagi mencukupkan kos pembedahan anaknya yang menghidap masalah Rheumatic F...
Johor Bahru - Seorang ibu tunggal merayu sumbangan orang ramai bagi mencukupkan kos pembedahan anaknya yang menghidap masalah Rheumatic Fever (kerosakan injap jantung).
Fauziah Abd Hamid, 49, berkata, anaknya Affendi Irfan Roslee, 14, disahkan mengalami masalah kesihatan itu pada 11 September lalu selepas menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Dia kini buntu memikirkan cara untuk mencukupkan kos pembedahan Affendi Irfan yang dianggarkan antara RM35,000 hingga RM50,000.
“Saya dimaklumkan pembedahan perlu dilakukan segera, tetapi saya tidak berani untuk maklumkan satu tarikh yang tetap.
“Sekarang saya kena fikirkan cara untuk cukupkan kos pembedahan kemudian berjumpa semula dengan pihak hospital bagi urusan selanjutnya.
“Alhamdulillah, setakat ini ramai hubungi saya dan memaklumkan kesediaan untuk membantu, semua ini mengharukan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Nombor 73, Jalan Keembong, Kampung Melayu Dua, di sini, semalam.
Wanita ini berkata, ketika berusia 11 tahun Affendi Irfan mengalami deman berpanjangan dan dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang sebelum dirujuk ke HSA.
Katanya, anak bongsu daripada lima beradik itu kini kerap mengalami sakit sendi dan tulang, mengalami sesak nafas, degupan jantung menjadi laju dan kelihatan lemah.
“Lebih membimbangkan, kerosakan injap jantung ini boleh menyebabkan organ penting itu bengkak dan membahayakan kesihatan anak,” katanya.
Orang ramai ingin membantu boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank berikut atas nama Fauziah Abdul Hamid seperti berikut:
Follow Us
”Jika kalian menampakkan sedekah maka hal itu baik sekali. Dan jika kalian menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir maka hal itu lebih baik bagi kalian…” (QS: Al-Baqarah [2]: 271)