
Gua Musang - Di saat teman lain melanjutkan pelajaran ke menara gading dan memulakan kerjaya, kerana kasih dan tanggungjawab seorang gadis mengambil keputusan mengabaikan segalanya untuk menjaga ibu yang sakit saraf otak.
Nor Syuhadah Aziz, 23, terpaksa menguburkan impian kerjaya untuk bergelar seorang guru demi menjaga dan menguruskan ibunya Noraini Ismail, 54, yang sakit saraf otak sejak enam tahun lalu.
Nor Syuhadah yang tinggal di Kampung Limau Kasturi 2, di sini, terpaksa menolak dua tawaran untuk melanjutkan pelajaran di universiti awam.
Menurut Nor Syuhadah, dia telah menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran di UPSI, Tanjung Malim, Perak yang diterima pada tahun 2015 dan UIAM Kuala Lumpur pada tahun 2017.
Katanya, dia tidak sanggup berpisah dan meninggalkan ibunya keseorangan di rumah kerana kebanyakan adik-beradik lain sudah mempunyai komitmen keluarga dan kerja di Kuala Lumpur.
“Saya tidak sanggup melepaskan tanggungjawab menjaga emak kepada ayah, Aziz Abdullah, 58, kerana dia juga sudah berusia dan mencari nafkah menoreh getah.
“Bagaimanapun, enam adik-beradik lain yang tinggal di luar Kelantan juga memberi sokongan apabila pulang setiap hari minggu atau cuti untuk melihat keadaan emak,” katanya yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Nor Syuhadah yang tamat pengajian tingkatan enam SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai pada tahun 2015 berkata, dia juga tidak pernah menyesal mengambil keputusan itu.
Katanya, pengorbanan masa untuk menjaga ibu itu lebih besar dan ingin membalas jasa membesarkan dirinya.
“Saya tidak sesal dan menganggap bukan rezeki untuk bergelar guru walaupun melihat kebanyakan rakan sudah menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan.
“Buat masa sekarang juga saya tak terfikir untuk sambung pengajian kerana mahu fokus kepada emak dulu. Doktor cakap emak dah tak ada harapan untuk pulih dan selagi termampu akan jaga pakai makan dan minumnya,” katanya.
Menceritakan keadaan ibunya, Nor Syuhadah berkata, lima tahun lalu ibunya yang pernah menghidap penyakit skizofrenia juga pernah bertindak agresif untuk terjun bangunan ketika tinggal di rumah flat kakaknya di Kuala Lumpur.
Katanya, selepas kejadian itu ibunya juga terpaksa melakukan rawatan termasuklah rawatan psikiatri sehingga berat badannya seberat 70 kg susut sehingga 35 kg kini. Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian.
0 comments: