Temerloh - Dua kali anak dikandung keguguran adalah antara dugaan terpaksa diharungi seorang wanita dalam menguruskan empat abang dan du...
Temerloh - Dua kali anak dikandung keguguran adalah antara dugaan terpaksa diharungi seorang wanita dalam menguruskan empat abang dan dua kakak orang kurang upaya yang mengalami masalah mental.
Haslina Musa, 35, dua kali keguguran iaitu pada 2018 dan bulan lalu kerana perlu memberi perhatian menjaga abang dan kakaknya selepas kematian ibu bapa.
Haslina bersama kakaknya, Muslaili, 36, menguruskan abang dan kakak mereka iaitu Mustafa, 54; Mustajudin, 53; Musnani, 45; Musalmah, 43; Muzlan, 42, dan Mohd Muslim, 41, selepas kematian ibu mereka, Halijah Mat Bakar pada 2013 sebelum disusuli bapa, Musa Singah, dua tahun lalu.
Mengakui berdepan pelbagai kesukaran, Haslina berkata, sikap kakak dan abangnya yang ada kalanya terlalu agresif menyebabkan beliau tertekan hingga gugur kandungan.
“Selama ini arwah ayah yang menjaga abang dan kakak, tetapi selepas orang tua tiada, kami dua beradik inilah yang mengambil alih tugas kerana arwah ayah pesan, biarlah kita susah di dunia kerana di akhirat kita akan senang,” katanya.
Haslina berkata, sokongan suami, Ahmad Rizuan Jamin, 31 yang memahami kesulitan dihadapi, sedikit meringankan beban ditanggung.
Bagaimanapun, suaminya yang bekerja di bengkel kimpalan dengan pendapatan RM55 sehari tidak cukup untuk menampung kehidupan sekeluarga, termasuk persekolahan anak perempuan berusia 13 tahun.
Haslina berkata, Muslaili yang juga ibu tunggal, tinggal bersamanya bagi menguruskan abang dan kakak mereka yang menetap bersebelahan rumahnya di Kampung Baru, di sini.
“Ada antara abang dan kakak saya agak agresif, maka kami perlu beri ubat bagi menenangkan mereka,” ” katanya.
Beliau berkata, empat daripada enam beradik itu menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang digunakan untuk ubat-ubatan dan rawatan di hospital serta perbelanjaan harian.
Haslina berkata, suaminya banyak membantu mengurus dan menghantar mereka ke hospital bila perlu.
“Saya berharap ada pihak sudi menempatkan mereka di pusat jagaan khas supaya dapat menerima rawatan yang lebih baik,” katanya.
Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Haslina di talian berikut:
Kangar - Usahkan baju raya, juadah untuk berbuka puasa pun belum tentu dapat disediakan seorang tukang kebun untuk keluarganya di Kampun...
Kangar - Usahkan baju raya, juadah untuk berbuka puasa pun belum tentu dapat disediakan seorang tukang kebun untuk keluarganya di Kampung Belanga Pudak, Bintong.
Itu nasib yang dialami Mohd Syorkri Lazim, 42, dan isteri, Saleha Saleh, 40, apabila kehidupan mereka ‘ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan mengharap belas ihsan orang lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Mohd Syorkri berkata, sudah bertahun-tahun lamanya dia dan keluarga tidak menyambut Aidilfitri seperti orang lain kerana gaji yang diterimanya tidak mencukupi bagi membuat persediaan.
“Jangan kata nak sambut Aidilfitri, untuk berbuka puasa pun kami berfikir panjang sama ada wang yang ada mencukupi atau tidak bagi membeli juadah.
“Bagi kami, Aidilfitri atau tidak sama sahaja kerana kehidupan masih dibelenggu kemiskinan dan hari-hari dalam fikiran hanya memikirkan sama ada wang cukup atau tidak untuk membeli beras,” katanya ketika ditemui di kediamannya.
Menurut Mohd Syorkri, dengan gaji sebanyak RM1,100 sebulan, dia terpaksa mengikat perut kerana gaji itu dibelanjakan kepada tiga anaknya yang masih bersekolah.
Ketiga-tiga anaknya yang berusia antara 10 hingga 15 tahun juga OKU dan memerlukan lebih perhatian dan penjagaan khusus daripadanya.
“Saya dan isteri hanya mampu menitiskan air mata setiap kali memikirkan Aidilfitri yang bakal menjelma kerana anak-anak akan bertanya sama ada tahun ini bolehkah mereka memakai baju baharu?
“Pada 1 Syawal setiap tahun, seandainya kami ingin menikmati juadah Aidilfitri, kami akan berkunjung ke rumah orang lain,” katanya.
Katanya, mereka sekeluarga pernah tidak menjamah hidangan berat selama tiga hari ketika berbuka puasa kerana tiada apa untuk dimasak.
“Jika kami betul-betul kelaparan, saya akan bawa anak-anak ke rumah ibu mentua menadahkan tangan untuk meminta lebihan makanan berbuka.
“Bagaimanapun, kami bersyukur dapat menumpang berteduh di rumah di atas tanah milik abang yang sudi mengambil berat hal kami,” katanya. Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh berbuat demikian.
Bayan Lepas - Mohon doa dan bantuan dari warga Malaysia semua untuk kesembuhan Puan Sofiah bt Yusof berusia 50 tahun yang menghidap kanse...
Bayan Lepas - Mohon doa dan bantuan dari warga Malaysia semua untuk kesembuhan Puan Sofiah bt Yusof berusia 50 tahun yang menghidap kanser otot tahap empat dan sedang dirawat di Hospital di Jalan Perak (Unit Kanser dan GH).
Puan Sofiah tinggal di No 15 Jalan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas. Suami Puan Sofiah tidak boleh kerja kuat kerana diserang angin ahmar dan mendapat bantuan bulanan dari JKM RM220 sebulan. Anak-anak semua berpendapatan kecil dan tak seberapa.
Kalau sesiapa yang ingin membantu boleh hubungi beliau dan sumbangkan bantuan ke akaun bank berikut atas nama Khairunnisa bt Abdul Rahman:
Tumpat - Seorang warga emas bersama dua cucunya menjadikan bekas bengkel membaiki motosikal sebagai tempat berteduh, sejak setahun lalu. ...
Tumpat - Seorang warga emas bersama dua cucunya menjadikan bekas bengkel membaiki motosikal sebagai tempat berteduh, sejak setahun lalu.
Siti Fatimah Mahamud, 70, bersama cucunya, Wahida Amalin Rozaidi, 17, dan Muhamad Asyraf Muhaimin, 11, tinggal di bengkel milik arwah bapa kepada dua beradik itu selepas dia meninggal dunia pada Mac lalu.
Rumah yang tiada bilik itu hanya ditampal batu bata serta simen yang tidak sempurna selain menggunakan kepingan zink saja sebagai pintu.
“Bengkel asal memang tiada lantai dan dalam tempoh beberapa bulan ketika mula-mula mendiami bengkel ini, kami bertiga beralaskan permaidani nipis saja sebagai alas.
“Kami mendapat simpati daripada penduduk kampung yang menyumbangkan beberapa kampit simen sehingga dapat membuat lantai menjadikan keadaan kami sedikit selesa,” katanya di rumahnya di Kampung Paloh Chicha di sini.
Siti Fatimah berkata, sebelum ini dia tinggal di rumahnya di sebelah bengkel sebelum menyerahkan rumah itu kepada seorang anaknya yang baharu menetap bersama isteri serta dua anak.
Sejak itu, Siti Fatimah mengambil keputusan untuk berpindah ke bengkel terbabit bersama dua cucunya itu.
“Sebelum ini saya menjual kuih di sekitar kampung, namun kini sudah tiada kudrat untuk bekerja dan hanya bergantung hidup kepada wang bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sebanyak RM400 sebulan.
“Menantu saya iaitu ibu kepada Wahida Amalin serta Asyraf menetap di Kampung Neting, di sini, bersama empat lagi anaknya yang lain, manakala dua beradik itu memilih untuk tinggal bersama saya.
“Buat masa kini hanya Asyraf saja yang bersekolah kerana Wahida sudah berhenti tahun lalu disebabkan tertekan dengan pemergian arwah bapanya selain tidak mampu menyediakan perbelanjaan persekolahan,” katanya.
Mereka turut menerima kunjungan daripada seorang aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman, yang menyampaikan barangan keperluan harian.
Faizah berkata, dua beradik itu akan diambil sebagai anak prihatinnya iaitu yang terdiri daripada anak yatim, terbiar serta golongan asnaf.
“Mereka akan dibantu dari segi persekolahan malah keperluan menjelang Aidilfitri juga akan disediakan,” katanya yang mengalukan sumbangan orang ramai bagi membantu baikpulih tempat berteduh tiga beranak terbabit.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun bank berikut atas nama Siti Fatimah:
Subang - Seorang ibu mengharapkan bantuan sumbangan daripada orang ramai bagi membantu bayi perempuannya berusia dua tahun yang disahkan ...

Subang - Seorang ibu mengharapkan bantuan sumbangan daripada orang ramai bagi membantu bayi perempuannya berusia dua tahun yang disahkan menghidap penyakit kanser hati tahap dua.
Fadlina Moctader, 38, berkata anaknya, Syarifah Hania Fatinah Wan Umar, 2, telah disahkan menghidap penyakit tersebut pada November tahun lalu selepas perut dan kakinya mula menunjukkan tanda-tanda bengkak secara tiba-tiba.
"Saya memang terkejut sebab abang dan kakaknya yang berusia 8 dan 4 tahun tak pernah ada masalah kesihatan.
Selepas membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam, Fadlina terkejut apabila doktor memberitahu anak bongsunya itu menghidap penyakit kanser hati tahap empat.
"Doktor juga memaklumkan anak saya perlu menjalani prosedur rawatan kemoterapi sebanyak lapan kali susulan daripada penyakitnya itu," katanya.
Mengulas lanjut, Fadlina berkata, bayinya itu juga turut dirujuk ke Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani proses rawatan selanjutnya dengan doktor pakar.
Malah ibu kepada tiga cahaya mata ini memaklumkan bahawa Syarifah Hania juga baru menjalani pembedahan Mac lalu dengan membuang 80 peratus daripada hatinya yang rosak akibat diserang kanser berkenaan.
"Buat masa ini, keadaan anak saya masih dalam pemantauan doktor dan kami memerlukan banyak wang menampung keperluan hariannya selepas ini," katanya.
Dalam pada itu, Fadlina yang juga seorang suri rumah memaklumkan bantuan kewangan daripada orang ramai amat diharapkan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mereka sekeluarga.
Dia berkata, pendapatan suaminya, Wan Umar Wan Suib, 38, yang bekerja sebagai pemandu lori juga tidak mampu menampung kos bil hospital, rawatan dan keperluan anaknya.
"Suami saya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan anggaran gajinya hanyalah sekitar RM2,000 sahaja sebulan. Banyak perbelanjaan perlu ditampung seperti lampin pakai buang anak, susu, kos pengangkutan dan sebagainya," katanya.
Tambah Fadlina, dia juga bersyukur menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM500 bermula Mac lalu.
"Alhamdulillah bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban ditanggung oleh kami sekeluarga. Selain bantuan ini, adik saya juga turut membantu kami dengan menjual kek," katanya.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada Syarifah boleh menghubungi Fadlina di talian berikut atau sumbangan melalui akaun bank tertera dibawah atas nama Fadlina Moctader:
Jasin - "Saya harap kerajaan boleh bantu jika ada mana-mana rumah yang sesuai untuk saya duduki," demikian luah Rosnah Baba, 60...
Jasin - "Saya harap kerajaan boleh bantu jika ada mana-mana rumah yang sesuai untuk saya duduki," demikian luah Rosnah Baba, 60, seorang ibu tunggal yang menghidap kanser hidung tahap empat.
Menurut Rosnah, rumah didiami kini yang terletak di Jalan Loji Air, Chinchin sebenarnya dibina atas tanah bukan miliknya.
"Sebenarnya rumah yang kami duduki didirikan atas tanah pusaka sebelah arwah suami, namun setelah kematian suami pada 2010, ada waris yang maklum, ini bukan bahagian kami, jadi saya sudah duduk di atas tanah orang sebenarnya.
"Itu sebab saya berharap sekiranya ada belas ihsan pihak tertentu sekiranya ada mana-mana rumah kerajaan bolehlah bantu saya memohon," katanya.
Mengenai penyakit kanser yang dihidapi, Rosnah berkata, ia mula disahkan pakar perubatan di Hospital Melaka sejak Mac tahun lalu setelah dia mengalami selesema yang berpanjangan dan mengeluarkan darah.
"Apabila saya pergi ke sebuah klinik swasta di Jasin, doktor mengesan semacam ada ketumbuhan di bahagian dalam hidung dan menyarankan saya merujuk ke Hospital Jasin dan kes kemudiannya ke Hospital Melaka.
"Saya sendiri tidak pasti macam mana boleh dapat kanser cuma saya pernah bekerja di sebuah kilang membuat perabot selama lebih 10 tahun, sebelum berhenti kerja pada 2003, mungkin kesan habuk kayu membuatkan hidung saya jadi begini," katanya.
Sementara itu, anak bongsu Rosnah, Siti Aisyah Binti Wahid, 31, berkata, semenjak ibunya mengalami penyakit itu keadaannya agak lemah dan tidak boleh melakukan kerja-kerja berat selain terpaksa mendapatkan rawatan berjadual di Hospital Melaka.
"Sebelum ini saya mengikut suami yang bertugas sebagai anggota tentera di Mersing, tetapi selepas keadaan mak macam ini, saya terpaksa pindah Melaka dan duduk jaga emak bersama adik-beradik lain," katanya. Orang ramai yang ingin membantu ibu tunggal ini boleh berbuat demikian.
Tumpat - Dengan hanya berlaukkan sama ada telur goreng atau ikan selayang rebus untuk sahur, ia sudah cukup bagi tujuh beranak di Kampung...
Tumpat - Dengan hanya berlaukkan sama ada telur goreng atau ikan selayang rebus untuk sahur, ia sudah cukup bagi tujuh beranak di Kampung Pasir Pekan Hilir, di sini untuk meneruskan seharian puasa mereka.
Bagi Noor Azuani Rahyu Mohd Said, 30, kesemua anaknya termasuk dua anak tiri tidak pernah merungut walaupun menu itu juga menjadi makanan harian mereka dan tiada juadah khusus seperti orang lain sepanjang Ramadan.
Noor Azuani yang baharu melahirkan anak keenamnya berusia dua bulan, hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kampung Kota Kubang Labu, kira-kira lima kilometer dari rumahnya, manakala suaminya, Mohd Hamizi Mohd Hanafiah, 35, pula adalah buruh di kilang simen di Pengkalan Chepa.
Katanya, pendapatan mereka ada kala tidak cukup untuk menampung keperluan hidup malah terpaksa meminta bantuan ahli keluarga lain termasuk jika terputus bekalan beras.
“Lima anak masih bersekolah di sekolah rendah dan menengah serta seorang anak kami baharu di pra sekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Noor Azuani yang baharu kembali bekerja selepas habis pantang, berkata dia terpaksa mengupah orang menjaga bayinya setiap kali ke tempat kerja dengan kadar upah RM50 seminggu.
Mereka sekeluarga tinggal di sebuah rumah pusaka yang kecil dan sangat daif dengan keadaan bumbung hadapan yang banyak tercabut, dinding yang berlubang, lantai yang sudah tidak kukuh malah tiada bilik air yang sempurna.
“Jika hari hujan, kami terpaksa menutup bahagian dinding yang berlubang dengan baju hujan bagi mengelakkan terkena tempias ketika tidur manakala ruang lain di tadah dengan bekas plastik,” katanya.
Keluarga itu dikunjungi aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman, yang bersedia membantu Noor Azuani sekeluarga, dengan memberi sumbangan barangan dapur dan keperluan Ramadan.
Faizah berkata, lima anak mereka yang masih bersekolah itu akan diambil sebagai anak prihatin dengan memberi bantuan keperluan, manakala untuk bayi pula, bantuan susu formula dan lampin pakai buang turut diberikan.
“Ada pihak lain juga ingin memberi sejumlah kepingan zink yang akan digunakan untuk bahagian hadapan bumbung rumah serta dijadikan penutup ruang mandi mereka kerana banyak zink serta papan lapis yang sudah terkopak,” katanya.
Kepada yang ingin memberi bantuan kepada keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank berikut atas nama Noor Azuani Rahyu Mohd Said:
Pokok Sena - Kanak-kanak ini masih belum mengerti tentang apa yang dilaluinya hanya mampu kekal kuat dan bersemangat untuk meneruskan keh...
Pokok Sena - Kanak-kanak ini masih belum mengerti tentang apa yang dilaluinya hanya mampu kekal kuat dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan sehariannya tanpa memiliki ovari kanan. Pembedahan telah dilakukan pada Ogos tahun lalu.
Menurut laporan, ibunya, Siti Khalijah Che Hat, 51, menjelaskan selepas selesai pembedahan, Balqis banyak meluangkan masa dengan melukis, sekaligus berubah menjadi seorang yang pemalu dan kurang bercakap dengan orang lain.
Menurut Siti Khalijah, pada mulanya Balqis mengadu sakit di bahagian perut, lalu dia dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum disahkan ada ketumbuhan di ovarinya.
Pembedahan terus dilakukan dan doktor mengesahkan bahawa Balqis telah menghidap kanser ovari tahap tiga. Sehingga hari ini, sudah tujuh kali kanak-kanak itu melakukan rawatan kimoterapi. Balqis juga perlu dibawa ke HPP sebulan sekali untuk mendapat rawatan lanjut.
Namun, dengan keadaan ibu Balqis yang kini masih lemah selepas menjalani pembedahan membuang bisul di belakang tengkuk pada minggu ini, mereka terpaksa menumpang di rumah adik ibunya iaitu Mohd Dizan, 41, kerana tidak mempunyai kenderaan untuk ulang alik setiap hari bagi mencuci lukanya itu.
Siti Khalijah dan suami bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak sampai RM500 sebulan dan hanya mengharapkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.
“Tiada sebarang persiapan untuk menyambut Ramadan, hendak beli baju raya untuk anak-anak pun tidak mampu, mujurlah anak sulung dan kedua saya sudah bekerja dan mereka lah yang membeli baju raya untuk adik-adik.” kata ibu Balqis, Siti Khalijah.
Untuk orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan ikhlas di bulan Ramadan ini, boleh berbuat sedemikian. Info seperti berikut akaun bank atas nama Siti Khalijah atau hubungi terus di nombor telefon berikut:
Alor Setar - Seorang ibu tunggal kepada pemuda yang kini hanya mampu terlantar akibat ketumbuhan pada beberapa bahagian kepala dan dada, ...
Alor Setar - Seorang ibu tunggal kepada pemuda yang kini hanya mampu terlantar akibat ketumbuhan pada beberapa bahagian kepala dan dada, yang berlarutan sejak 15 tahun lepas, merayu bantuan orang ramai bagi meringankan bebannya menyediakan keperluan anaknya itu.
Rohani Ahmad, 58, dari Taman Nuri di sini berkata, dia tidak dapat lagi bekerja sejak Disember tahun lalu kerana perlu memberikan sepenuh perhatian kepada anak sulung daripada empat beradik, Mohd Firdaus Che Saad, 33.
“Kini, saya hanya bergantung kepada bantuan bulanan JKM atas nama anak saya ini sebanyak RM250 sebulan, selain sumbangan orang ramai serta kenalan untuk menyara kehidupan dan memenuhi keperluan Mohd Firdaus.
“Nak harapkan anak lain pun tidak boleh juga, mereka pun kerja kampung dan cukup sekadar menyara keluarga masing-masing sahaja,” katanya yang mempunyai anak berumur 22 hingga 33 tahun ketika ditemui di rumahnya.
Rohani yang berpisah dengan suami sejak sekian lama berkata, dia memerlukan hampir RM700 sebulan untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang bagi keperluan Mohd Firdaus dan tidak termasuk lagi perlu membayar bulanan sewa rumah sebanyak RM400.
“Tidak temasuk lagi bil elektrik, air dan kos ulang-alik ke hospital sebulan sekali. Saya berhenti kerja sebagai tukang cuci rumah dengan pendapatan RM40 sehari, kerana saya perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Mohd Firdaus termasuk membawanya untuk rawatan susulan di hospital,” katanya.
Menceritakan tentang anaknya itu, Rohani berkata, Mohd Firdaus menjalani empat kali pembedahan membuang ketumbuhan setakat ini dengan bermula pada bahagian kepala pada 2004 manakala pembedahan terbaru dilakukan tahun lepas bagi membuang ketumbuhan pada bahagian kening kiri.
“Penyakit anak saya ini mula dikesan selepas dia mengadu sering sakit kepala sehingga menjejaskan aktiviti hariannya. Pemeriksaan lanjut dilakukan di Hospital Alor Setar (hospital lama) mendapati ada ketumbuhan dalam bahagian depan kepala sebelum kesnya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pembedahan,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Cancers Survivors Malaysia Zuraini Kamal yang turut tampil menghulurkan bantuan kerusi roda itu berkata, beliau bersama sahabat CSM akan berusaha sebaik mungkin mencari penyelesaian membantu Mohd Firdaus dan ibunya.
Beliau berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan bantuan sepatutnya daripada pihak berwajib termasuk Lembaga Zakat Negeri Kedah bagi meringankan beban dan keperitan hidup Rohani dalam menyediakan keperluan Mohd Firdaus.
Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke akaun bank atas nama Rohani Ahmad atau menghubunginya di talian:.
Follow Us
”Jika kalian menampakkan sedekah maka hal itu baik sekali. Dan jika kalian menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir maka hal itu lebih baik bagi kalian…” (QS: Al-Baqarah [2]: 271)