
Tumpat - Seorang warga emas bersama dua cucunya menjadikan bekas bengkel membaiki motosikal sebagai tempat berteduh, sejak setahun lalu.
Siti Fatimah Mahamud, 70, bersama cucunya, Wahida Amalin Rozaidi, 17, dan Muhamad Asyraf Muhaimin, 11, tinggal di bengkel milik arwah bapa kepada dua beradik itu selepas dia meninggal dunia pada Mac lalu.
Rumah yang tiada bilik itu hanya ditampal batu bata serta simen yang tidak sempurna selain menggunakan kepingan zink saja sebagai pintu.
“Bengkel asal memang tiada lantai dan dalam tempoh beberapa bulan ketika mula-mula mendiami bengkel ini, kami bertiga beralaskan permaidani nipis saja sebagai alas.
“Kami mendapat simpati daripada penduduk kampung yang menyumbangkan beberapa kampit simen sehingga dapat membuat lantai menjadikan keadaan kami sedikit selesa,” katanya di rumahnya di Kampung Paloh Chicha di sini.
Siti Fatimah berkata, sebelum ini dia tinggal di rumahnya di sebelah bengkel sebelum menyerahkan rumah itu kepada seorang anaknya yang baharu menetap bersama isteri serta dua anak.
Sejak itu, Siti Fatimah mengambil keputusan untuk berpindah ke bengkel terbabit bersama dua cucunya itu.
“Sebelum ini saya menjual kuih di sekitar kampung, namun kini sudah tiada kudrat untuk bekerja dan hanya bergantung hidup kepada wang bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sebanyak RM400 sebulan.
“Menantu saya iaitu ibu kepada Wahida Amalin serta Asyraf menetap di Kampung Neting, di sini, bersama empat lagi anaknya yang lain, manakala dua beradik itu memilih untuk tinggal bersama saya.
“Buat masa kini hanya Asyraf saja yang bersekolah kerana Wahida sudah berhenti tahun lalu disebabkan tertekan dengan pemergian arwah bapanya selain tidak mampu menyediakan perbelanjaan persekolahan,” katanya.
Mereka turut menerima kunjungan daripada seorang aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman, yang menyampaikan barangan keperluan harian.
Faizah berkata, dua beradik itu akan diambil sebagai anak prihatinnya iaitu yang terdiri daripada anak yatim, terbiar serta golongan asnaf.
“Mereka akan dibantu dari segi persekolahan malah keperluan menjelang Aidilfitri juga akan disediakan,” katanya yang mengalukan sumbangan orang ramai bagi membantu baikpulih tempat berteduh tiga beranak terbabit.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun bank berikut atas nama Siti Fatimah:
0 comments: