
Kota Bharu - Hujan panas permainan hari, senang susah permainan hidup. Itulah gambaran nasib seorang ibu tunggal dari Kampung Kubang Palas, Banggu, yang terlantar dan perlu diuruskan oleh anak lelakinya.
Rosmaziah Ismail, 36, berkata, dia tidak mampu menguruskan keluarga dan diri sendiri selepas terbabit dalam kemalangan di Pasir Tumboh dua tahun lalu apabila motosikal ditunggang anak lelakinya, Mohd Adam Haikal Abdullah, 19, dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Rantau Panjang ke Kota Bharu.
Katanya, bimbang jangkitan luka pada kaki kanannya merebak ke bahagian jantung yang boleh merisikokan nyawa, doktor memotong kaki kanannya sehingga ke paras lutut.
“Selang beberapa bulan kemudian, saya sekali lagi diuji apabila diserang angin ahmar pada sebelah kiri badan dan hanya mampu mengengsot untuk bergerak,” katanya di rumah tumpangan di Kampung Kubang Palas.
Terdahulu, keluarga ini menerima kunjungan daripada I Medikel Pharmacy Sdn Bhd yang turut menyampaikan sumbangan keperluan harian, wang tunai dan juga kerusi roda untuk meringankan beban keluarga ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan I Medikel Pharmacy Sdn Bhd, Hasnah Zakaria; Pengerusi Info Semasa Kubang Kerian, Mohamad Afandi Mohamad dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan, Wan Zulman Wan Hassan.
Lebih malang, pada akhir tahun lalu, suami Rosmaziah mengambil keputusan untuk berpisah dan Rosmaziah kini diuruskan sepenuhnya oleh Mohd Adam Haikal.
Rosmaziah turut mempunyai dua anak hasil perkahwinan kedua termasuk anak berusia 14 tahun yang kini berada dalam jagaan bekas suaminya, manakala anak bongsu berusia lapan tahun meninggal dunia tahun lalu kerana menghidap penyakit jantung berlubang.
Katanya, selain bergantung dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250, Mohd Adam Haikal juga mengambil upah menjaga dusun penduduk kampung dengan kadar upah RM250 seminggu.
“Dalam sebulan, saya memerlukan perbelanjaan sebanyak RM1,000 untuk membeli lampin pakai buang selain makan dan minum harian kami dua beranak,” katanya.
Katanya, kini kedua-dua belah matanya juga kabur disebabkan penyakit kencing manis kronik dan darah tinggi.
“Saya perlu bergantung sepenuhnya kepada ubat dibekalkan oleh pihak hospital dan setiap kali menghadiri temujanji di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Yayasan Orang Kurang Upaya akan datang mengambil dan menghantar saya di rumah.
“Sejak seminggu lalu, saya dan anak menumpang di rumah jiran buat sementara waktu memandangkan rumah yang didiami kami sebelum ini sedang dalam proses baik pulih berikutan terlalu uzur,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd Adam Haikal di talian:
![]() |
018-9123286 |
Progress:
|
Goal: RM500 |
0 comments: