
Tumpat - Bukan mudah untuk seorang lelaki menggalas tugas sebagai ibu dan bapa sekaligus apatah lagi untuk menjaga tujuh orang anak dengan tiga darinya merupakan anak istimewa.
Namun itu yang diharungi oleh seorang bapa tunggal dari Kampung Kok Keli, Tumpat yang kematian isteri akibat kanser payu dara pada tahun 2017.
Menguruskan tiga anak yang menghidap cerebral palsy bukan sesuatu yang mudah, namun bagi Mohd Zain Abdullah, 56, tanggungjawab itu digalas sejak lebih dua tahun lalu selepas kematian isterinya.
Ketika hayat isterinya, Allahyarham Nooraini Ismail, tiga anak istimewa mereka, Khairul Nisaa’, 25; Muhammad Amir, 18 dan Ain Husna, 17, sangat rapat dan manja dengan arwah ibu mereka.
Mohd Zain berkata, apabila isteri meninggal dunia pada Disember 2016 akibat kanser payudara, tiga anak istimewa ini terutama Ain Husna merengek setiap waktu dalam tempoh beberapa bulan.
“Saya juga tidak dapat bekerja selama tempoh itu kerana terpaksa menguruskan tiga anak ini kerana empat anak yang lain (normal) belum lagi biasa dengan tugas menguruskan tiga beradik istimewa ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli 1, di sini, baru-baru ini.
Mohd Zain yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, dia yang baharu setahun mula bekerja semula hanya mengambil tugasan di tapak binaan yang berhampiran rumahnya sahaja kerana perlu pulang seketika untuk memandikan tiga anak istimewa itu.
Katanya, bukan anak yang lain tidak boleh menguruskannya, namun tugasan memandikan mereka, hanya beliau sahaja yang mampu mengendalikan terutama Khairul Nisaa’ yang agak agresif.
Dua anak yang lain iaitu Umi Shamira, 26, dan Mohd Amar Aizat, 21, banyak membantu Mohd Zain menguruskan tiga anak istimewa itu termasuk menyuap makanan dan minuman.
Mohd Zain turut meminta Mohd Amar Aizat supaya tidak mencari kerja lain buat sementara waktu walaupun anak ketiga dari tujuh beradik itu baru menamatkan pengajian di Pusat Giat Mara Tumpat.
“Sekurang-kurangnya kehadiran Mohd Amar dapat meringankan sedikit beban tugas saya menguruskan tiga beradik istimewa itu setiap kali keluar bekerja,” katanya.
Mohd Zain berkata, dia terharu apabila anak sulungnya, Umi Shamira pernah memberitahunya bahawa dia tidak kisah jika tidak berumah tangga kerana ingin menjaga tiga adiknya itu.
“Ada yang pernah merisiknya baru-baru ini namun dia menolak kerana memikirkan tiga adiknya ini yang mungkin akan ditinggalkan jika dia berumah tangga kelak.
“Saya sama sekali tidak akan menyekat, jika jodoh anak saya tiba suatu hari nanti kerana itu masa depannya dan saya tetap akan menggalas tanggungjawab menjaga tiga amanah ini sehingga akhir hayat,” katanya.
![]() |
013-9704598 |
Progress:
|
Goal: RM500 |
0 comments: