Pelajar galas tanggungjawab jaga adik-adik selepas menjadi yatim piatu - Inisiatif KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Inisiatif KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Saluran setempat memaparkan senarai golongan kurang bernasib baik / B40 / asnaf di Malaysia yang memerlukan bantuan. Sumbangan boleh disalurkan terus kepada pemohon berdasarkan maklumat yang terdapat di dalam artikel. Sebarang urusan atau pertanyaan sila emel ke: info@kcpbantu.org

Advertisement Top





Seremban - Sudah hampir 10 bulan ayah meninggalkan mereka, namun hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan anak-anak yatim ini setelah ke...

Pelajar galas tanggungjawab jaga adik-adik selepas menjadi yatim piatu


Seremban - Sudah hampir 10 bulan ayah meninggalkan mereka, namun hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan anak-anak yatim ini setelah kehilangan ayah yang kembali ke Rahmatullah 6 Januari lalu, kerana kanser tiroid.

Muhammad Hailfie Jasni, 19, yang bakal menduduki STPM tahun ini kini bekerja sambil belajar bagi menampung kehidupan dua adiknya selepas kematian bapa pada awal tahun ini manakala ibunya pula meninggalkan mereka pada tahun 2016.

Dua adik yang dijaganya, Muhammad Hailzrul, 15, bakal menduduki peperiksaan PT3 manakala Normia Zahrah, 12, akan menduduki UPSR.

Dua lagi adiknya, Muhammad Hailrun, 18, dan Normi Azrina, 16, berada di bawah jagaan ibu saudaranya di Sepang.

Katanya, dia mencari ikhtiar hidup dengan bekerja sambilan di sebuah restoran makanan segera dengan gaji sebanyak RM500 sebulan selepas kematian bapa.

“Saya tidur tiga jam sehari. Rutin harian saya jam 8 pagi hingga jam 4 petang ke sekolah, jam 5 petang hingga tengah malam saya bekerja.

“Pada jam 4 pagi, saya mengulang kaji pelajaran sehingga jam 6 pagi. Selepas itu, saya menyiapkan sarapan, kelengkapan dan menghantar adik-adik ke sekolah dengan motosikal satu-satunya peninggalan arwah bapa.

“Adik-adik adalah nyawa saya dan harta yang bapa tinggalkan. Amanat akhir bapa, jangan sesekali berpisah. Sebab itu, saya bimbang jika mereka diambil JKM,” katanya di rumah sewanya di Taman Negeri Ampangan.

Muhammad Hailfie berkata, dia meletakkan dirinya sebagai ibu, bapa, kakak, abang, imam, kawan dan guru kepada adik-adik.

Katanya, ketabahan bapa berjuang melawan penyakit kanser tiroid sehingga nafas terakhir demi anak-anak dijadikan pembakar semangat setiap kali dia berasa sedih dan kecewa.

“Saya masih ingat pada 2016, ibu bercerai dan meninggalkan arwah abah selepas disahkan menghidap usus pecah. Ketabahan arwah amat luar biasa. Selepas seminggu menjalani pembedahan, dia terus kembali bekerja demi mencari nafkah untuk anak-anaknya.

“Malah ketika doktor memaklumkan jangka hayatnya tinggal tiga bulan sahaja lagi, arwah tetap yakin dia boleh sembuh,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, demi memujuk hati arwah bapanya, dia memberitahu tempoh tiga bulan itu bukan jangka hayat tetapi tempoh doktor menjaga bapanya untuk pulih seperti sedia kala.

Muhammad Hailfie pernah berjaya mencatat keputusan 6A ketika Sijil Pelajaran Malaysia tetapi memutuskan untuk mengambil STPM demi menjaga adik-adiknya ketika arwah bapa sakit.

“Tiada lagi bermain futsal atau keluar makan dengan rakan-rakan. Kehidupan saya hanyalah untuk adik-adik.

“Perjalanan hidup adik-adik saya masih jauh. Arwah bapa tidak meninggalkan harta benda tetapi mendidik kami adik beradik dengan nilai diri yang terbaik. Kami saling membantu dan melindungi satu sama lain,” katanya sebak.

Beliau yang bercita-cita menjadi pakar ekonomi berharap adik-adiknya menerima bantuan untuk persekolahan.

Difahamkan JKM dan Baitulmal sudah menerima permohonan Muhammad Hailfie yang dikemukakannya sendiri, baru-baru ini.

“Saya menghubungi pemilik rumah sewa kami, Noor Ashikin Radzali memaklumkan tunggakan sewa selama enam bulan belum dapat dibayar, harap Baitulmal luluskan permohonan,” katanya.

Orang ramai yang sudi menyumbang boleh terus ke akaun bank berikut atas nama Muhammad Hailfie atau menghubunginya:

011-21098195
Progress:

RM0 raised

Goal: RM500

0 comments:

Kongsi Portal Ini