
Gua Musang - Nik Noor Saliza Nik Mohd Yusof, 30, menderita penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu. Penderitaan ibu muda yang menghidap kencing manis kronik sehingga kakinya dipotong mendapat perhatian dan bantuan pelbagai pihak.
Dia yang menumpang di rumah bapanya di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Renok Baru telah dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff, semalam.
Katanya, kehadiran ramai pihak itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bebanan yang bukan sahaja tertekan dengan kesakitan penyakit itu tetapi juga perbelanjaan harian.
“Saya paling memerlukan kaki palsu sebelah kanan kerana sudah rosak dan tidak mampu untuk saya membelinya kerana harganya ribuan ringgit.
“Walaupun kaki kiri juga luka kerana kencing manis, namun masih boleh diubati dengan berulang alik ke Hospital Gua Musang tiga kali seminggu," katanya di sini hari ini.
Menurut Nik Noor Saliza lagi, dia perlu dibantu setiap masa untuk pergerakan dalam rumah terutama apabila hendak ke bilik air. Katanya, dia terpaksa menyusahkan suami dan bapanya yang sudah tua.
Sementara itu, Ab. Aziz pula berkata, beliau bersimpati dengan nasib hidup ibu muda menderita kerana penyakit kencing manis itu.
Katanya, Nik Noor Saliza sepatutnya mendapat perhatian serta bantuan daripada rakyat Malaysia. “Kita turut memberi sedikit bantuan kewangan kepada Nik Noor Saliza untuk membeli barangan makanan.
“Saya akan berusaha untuk mendapatkan bantuan kaki palsu untuk Nik Noor Saliza termasuk merujuk perkara itu kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.
Media sebelum ini menyiarkan kisah Nik Noor Saliza yang kehilangan kaki kanan kerana terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis.
Dia yang mempunyai dua anak berusia lima dan sembilan tahun terpaksa mengengsot bagi memasak makanan untuk anak dan suaminya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan meringankan beban keluarga itu boleh melakukan demikian menerusi akaun bank berikut atas nama Nik Noor Saliza atau menghubungi terus di talian:
![]() |
010-3947647 |
Progress:
|
Goal: RM500 |
0 comments: