
Tumpat - “Apabila saya meletakkan adik bongsu di sisinya, mama akan sedih tetapi tidak mampu berkata apa-apa dan hanya air mata yang mengalir.
“Adik juga seperti mengerti mama terlantar apabila dia tidak banyak ragam dan memudahkan saya menjaganya sejak lahir sehingga kini usianya empat bulan,” kata Nor Fatin Shahira Ibrahim, 22, ketika ditemui di Kampung Laut 1, Tumpat, hari ini.
Anak sulung daripada tujuh beradik berkata, adik keduanya, Nor Atiqah Adilla, 20, turut mengorbankan masa depannya untuk menjaga ibu, Norazlina Hasan, 42, yang terlantar akibat komplikasi ketika melahirkan Nor Amalina Eliya, hujung Mac lalu.
Katanya, adik keduanya baharu sahaja menamatkan pengajian diploma perniagaan di sebuah kolej di Cyberjaya dan mendapat tawaran kerja sebagai pramugari.
“Adik perlu menjalani latihan selama tiga bulan bermula Jun lalu, namun dia menolak kerana mahu membantu meringankan beban saya menjaga mama dan adik bongsu.
“Kami perlu memberi perhatian 24 jam kepada mama kerana perlu menyedut kahak untuk tempoh 15 minit sekali dan susu tiga jam sekali.
“Selain itu, adik bongsu dan tiga adik lain berusia antara tujuh hingga 12 tahun yang masih bersekolah juga perlu perhatian termasuk menghantar dan mengambil mereka dari sekolah ketika abah bekerja,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pengarah Perkeso Kelantan, Wan Izani Wan Isa menyampaikan sumbangan lampin pakai buang kepada keluarga itu.
Menurut Wan Izani, bagi meringankan beban keluarga itu pihaknya akan memberi sumbangan lampin buang setiap bulan menerusi bantuan ilat.
“Untuk bantuan lain termasuk wayar dan peralatan perubatan, kita perlu mendapat laporan daripada doktor. Namun, keluarga ini boleh memohon dengan Perkeso.
“Semakan mendapati Norazlina tidak layak mendapatkan pencen ilat kerana bilangan carumannya tidak mencukupi iaitu hanya 40 kali, namun kita akan memulangkan semua carumannya berserta faedah dalam tempoh terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim Abd Rahman, 47, berkata perbelanjaan keperluan isterinya melebihi RM1,000 sebulan, namun bersyukur kerana ramai pihak tampil memberi sumbangan termasuk JKM sebanyak RM350 sebulan.
“Alhamdulillah, ramai prihatin tampil membantu kami termasuk membeli wayar untuk isteri dan keperluan lain.
“Namun, kos susu khas untuk isteri berjumlah hampir RM800 dibeli menggunakan wang gaji. Saya bersyukur kerana gaji sebagai pemandu lori kira-kira RM1,500 sebulan cukup menampung kami,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, sejak dilahirkan hujung Mac lalu, bayi perempuan, Nor Amalina Eliya Ibrahim belum pernah mendapat belaian dan setitik pun susu ibunya.
Norazlina yang terlantar atas katil akibat komplikasi ketika melahirkan bayinya termasuk kejang seluruh tubuh sehingga menyebabkan oksigen gagal sampai ke otak dan akhirnya terbaring kaku dan sehingga kini hanya mampu memandang bayi itu sambil berlinangan air mata.
Kepada mereka yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan menerusi akaun bank berikut atas nama Nor Fatin Shahira Ibrahim:
0 comments: