
Rembau - Seawal usia 12 tahun, seorang kanak-kanak kini menggalas tanggungjawab besar dalam menjaga adik-adiknya yang masih kecil selepas pemergian ibunya dalam kemalangan jalan raya, manakala ayahnya pula berada dipenjara.
Muhammad Aiman Syazwan Mohd Fouzi, 12, yang kini terpaksa menjadi ibu dan ayah untuk menjaga lima lagi adiknya yang berumur 10 hingga 2 tahun.
Ibunya Nor Amira Sahran meninggal dunia pada 25 April lalu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Ladang Sungai Baru, Kampung Simen ketika pulang dari tempat kerja di BSN Rembau, manakala bapanya pula dipenjarakan tahun lalu.
Menceritakan mengenai kehidupannya yang sebelum ini bergantung sepenuh dari ibunya yang dipanggil sebagai mama, kini pelajar darjah enam dari SJKC Sin Min, Lubok China itu menggalas tugas sebagai ketua keluarga untuk menjaga adiknya Nor Aina Syazwani, 10; Nor Aina Syazlina, 9; Nor Aina Syazlin, 7 ; Nor Aina Syazliana, 5 dan Muhammad Aiman Syazrizal, 2.
Dia yang mesra dipanggil dengan panggilan Aiman menceritakan jika dahulu setiap tingkah lakunya bersama adik-beradik yang lain selalu dipantau dan diaturkan oleh ibunya kini berubah sama sekali selepas ketiadaan ibu dan bapanya.
“Rutin mama pada setiap pagi akan menyediakan makanan untuk kami adik-beradik pada sebelah pagi sebelum pergi ke kerja... mama akan ambil Yana di tadika pada waktu pagi selepas habis shift; Lin dan Lina di sekolah pada pukul 1.35 petang.
“Selepas itu, mama akan mengambil saya dan Wani pada sebelah petang selepas habis kelas tambahan di sekolah dan mama akan berada dirumah untuk menjaga Rizal sebelum ke tempat kerja pada sebelah petang,” katanya dengan nada sayu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumah ibu saudaranya Nor Azila Sahran di Kampung Lengong Ulu di sini, hari ini.
Muhammad Aiman Syazwan yang begitu rapat dengan adik-beradiknya berkata beliau sebelum ini sudah diajar oleh ibunya untuk menjaga dan melakukan kerja-kerja rumah sepanjang ketiadaan ibunya.
“Adakalanya bila tiada mama di rumah saya sendiri yang masak untuk adik-adik, apa yang saya reti masak saya akan masak...seperti mi segera, nasi dan sosej untuk diberi kepada adik-adik yang lain untuk makan dan mama selalu berpesan sebelum ke kerja pada sebelah petang untuk menjaga adik,” katanya.
Sementara itu, Nor Azila, 38, berkata enam beradik itu kini diletakkan di bawah jagaannya dan menganggap mereka seperti anaknya sendiri.
“Mereka ini sejak dari kecil memang saya yang jaga, bila cuti sekolah tiba memang mereka akan tinggal dengan saya dan anak paling bongsu itu adalah anak susuan saya, mereka ini memang saya anggap sebagai anak saya sendiri,” kata suri rumah itu.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial kisah sedih menimpa enam beradik yang kehilangan ibu mereka dalam satu kemalangan jalan raya dan bapa pula dalam penjara.