Suami berdoa supaya isteri sembuh dari koma selepas bersalin - KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Saluran setempat memaparkan senarai golongan kurang bernasib baik di Malaysia yang memerlukan bantuan. Bantuan boleh disalurkan terus kepada pemohon berdasarkan maklumat yang ada di dalam artikel. Sebarang urusan atau pertanyaan sila emel ke: [email protected]

Advertisement Top




Kuantan - Sebaik mengetahui jantina anak dalam kandungan isterinya, Sapawi Mat Din, 44, adalah orang paling gembira kerana penantiannya u...

Suami berdoa supaya isteri sembuh dari koma selepas bersalin


Kuantan - Sebaik mengetahui jantina anak dalam kandungan isterinya, Sapawi Mat Din, 44, adalah orang paling gembira kerana penantiannya untuk memiliki anak lelaki selepas mempunyai tiga anak perempuan akhirnya tercapai.

Namun, tarikh 27 Disember lalu yang sepatutnya menjadi hari gembira buat mereka sekeluarga bertukar kelam seketika apabila isterinya, Norayuza Abdul Rajab, 38, mengalami komplikasi ketika bersalin sehingga menyebabkannya koma sehingga hari ini.

Sapawi berkata, isterinya sepatutnya melahirkan anak bongsu mereka di Hospital Pekan, namun ketika berada di dewan bersalin tekanan darah Norayuza naik terlalu tinggi sehingga menyebabkannya sesak nafas.

“Saya dimaklumkan oleh doktor jantung isteri berhenti selama 20 minit hingga menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak, malah saya diberitahu anak dalam kandungannya juga tidak dapat diselamatkan.

“Isteri kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan saya dimaklumkan jantung bayi masih berdegup sebelum isteri selamat melahirkan bayi kami secara pembedahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Jawa, di Pekan.

Namun katanya, komplikasi yang berlaku ketika proses kelahiran menyebabkan anaknya mengalami kerosakan otak dan beberapa masalah lain.

Dia yang bekerja sebagai operator kilang berkata, anaknya yang diberi nama Muhammad Samir Nasri kini masih menerima rawatan di Hospital Pekan dan selama hampir tiga bulan itulah dia berulang alik ke hospital untuk melihat anaknya.

Katanya, doktor memaklumkan otak anaknya tidak membesar seiring usianya, dia juga tidak mampu menelan air liurnya sendiri malah difahamkan beberapa ujian lagi akan dilakukan sebelum dia dibenarkan pulang.

“Isteri dibenarkan pulang 15 Februari lalu namun keadaannya masih tidak berubah, hanya terbaring... Meskipun mampu mengerdipkan mata namun dia sebenarnya berada dalam keadaan tidak sedar.

“Sebagai suami hati saya sayu melihatnya, sepatutnya kami gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga namun keadaan ini yang berlaku.. saya reda,” katanya yang mempunyai tiga lagi anak berusia lapan hingga 14 tahun.

Sapawi berkata, Norayuza tidak pernah mempunyai masalah kesihatan sebelum hamil dan sepanjang tempoh kehamilan, isterinya mengalami tekanan darah tinggi namun masih terkawal.

Katanya, setiap hari dia akan berbual dan bercerita dengan Norayuza walaupun menyedari isterinya tidak dapat memberi tindak balas atau mendengarnya.

“Walaupun dia tidak lagi mampu bercakap atau bergerak namun saya bersyukur kerana dapat melihatnya setiap hari, sebab itu saya sentiasa berbual dengannya.

“Ketika saya bekerja, adik ipar dan sepupu akan membantu untuk menguruskan isteri saya. Apabila pulang, saya akan mengambil alih semula tugas itu,” katanya.

Jauh di sudut hati dia mahu melihat isterinya pulih seperti sedia kala walaupun doktor sendiri tidak memberi jaminan sama ada isterinya akan sembuh atau sebaliknya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian:

0 comments:

Kongsi Portal Ini