
Kuantan - Seorang pelajar tingkatan lima yang kehilangan kaki kanan memerlukan bantuan kaki palsu baharu untuk memudahkan pergerakan terutamanya ketika berada di sekolah.
Kaki kanan pelajar SMK Paya Besar, Nurul Hasrina Adnan,18, terpaksa dipotong akibat kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan di Taman Seri Mahkota di Kuantan, pada 20 September 2016.
Dalam kejadian itu, Nurul Hasrina yang membonceng motosikal Honda EX5 bersama rakannya terbabit kemalangan dengan sebuah lori tanah dan kaki kanannya digilis yang terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya akibat jangkitan kuman.
Nurul Hasrina berkata, sebelum ini keluarganya ada membeli kaki palsu dengan harga RM13,000, namun tidak bersesuaian yang menyebabkan pangkal pehanya melecet dan berdarah.
“Kaki palsu ini ayah (Adnan Saari, 57) yang beli, masih ada hutang lagi dengan syarikat yang buat kaki ini kira-kira RM3,000... tetapi sayangnya saya tidak boleh pakai.
“Sebelum ini saya cuba pakai juga, tetapi tidak boleh sebab nanti melecet dan berdarah... sekarang hanya guna tongkat untuk lakukan aktiviti harian.
“Bahu saya pun rasa sakit akibat selalu menggunakan tongkat,” katanya di rumahnya di Taman Seri Mahkota, di Kuantan.
Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia amat memerlukan kaki palsu untuk memudahkan pergerakannya terutamanya ketika sesi pembelajaran di sekolah.
“Selepas tiga tahun kemalangan itu, sakit pada bahagian peha kanan yang dipotong masih terasa, saya sudah menjalani 11 pembedahan di bahagian terbabit,” katanya.
Katanya, dia berazam mencapai keputusan cemerlang pada peperiksaan SPM walaupun banyak ketinggalan dalam pelajaran kerana tidak hadir ke sekolah sejak 2016.
“Sebelum ini cita-cita saya adalah untuk menjadi anggota badan beruniform namun terpaksa dilupakan akibat tragedi kemalangan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Nurul Hasrina boleh menghulurkan sumbangan.
0 comments: