
Baling - Kholid Mat Arop, 57, dari Kampung Paya Besar, Kuala Ketil, Baling berkata, sejak dia menderita angin ahmar lima tahun lalu, dia tidak mampu lagi bekerja dan hanya mengharapkan dua anak lelaki untuk menyara mereka sekeluarga termasuk dua anak yang masih bersekolah.
Katanya, isteri Rasima Ramli, 54, yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai makan juga terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya di rumah.
“Selain angin ahmar, saya juga mengalami masalah pada tulang belakang dan batu karang menyebabkan tahap kesihatan semakin merosot,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Malangnya, Kholid berkata, anak kedua, Muhammad Firdaus, 25, yang menyara keluarga kemalangan bulan lalu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa berjimat cermat.
“Kini hanya anak ketiga (Muhammad Danial, 22) sahaja yang bekerja untuk kami memandangkan Firdaus yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai menjual ayam perlu masa untuk pulih.
“Danial pula mengambil upah membantu peniaga kedai runcit di Padang Serai seperti mengupas kelapa dan sebagainya dengan bayaran RM50 sehari, namun bergantung pada permintaan majikan,” katanya.
Bagaimanapun, Kholid menerima bantuan JKM RM200 sebulan dan Lembaga Zakat Negeri Kedah sebanyak RM300 sebulan.
Katanya, dia bersyukur wang bantuan berkenaan mengurangkan beban yang ditanggung mereka untuk belanja keperluan harian dan ubatan selain keperluan untuk ke hospital
Bagi mereka yang ingin membantu, boleh menyumbang ke akaun bank berikut atas nama Kholid Mat Arop:
0 comments: