
Labis - “Saya tak nak minta apa-apa, cuma mengharapkan cucu, Muhammad Adam Asnawi Abdullah diberikan sijil kelahiran warganegara. Itu sahaja yang saya pinta,” kata Normah Asinar.
Normah, 63, mendakwa, cucu ketiganya berusia kira-kira dua bulan berdepan masalah dokumen pengenalan diri disebabkan ibu kandungnya yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah tidak mahu memberi kerjasama untuk membuat pendaftaran dan kini sudah melarikan diri.
Menurutnya, masalah itu berlaku kepada cucu bongsunya, manakala abang dan kakak Muhammad Adam Asnawi iaitu Muhammad Syawal Zanawi, 6 dan Siti Aisyah, 5, mempunyai sijil kelahiran biru atau diiktiraf sebagai warganegara Malaysia walaupun turut dibuang ibu bapa kandung mereka.
“Saya merayu kepada menteri atau pihak berkenaan supaya membantu Muhammad Adam Asnawi ini mendapatkan sijil kelahiran biru dan bukannya merah. Dia tidak berapa sihat dan perlukan rawatan susulan dari Hospital Pakar Segamat.
“Ketiadaan sijil kelahiran menyebabkan Muhammad Adam Asnawi tidak mendapat bantuan pihak kebajikan sebagaimana yang diperolehi abang dan kakaknya. Nak pergi ke hospital, nak cucuk dan sebagainya kena bayar mahal kerana tak ada surat beranak ini.
“Saya tak minta benda lain, saya nak surat beranak sahaja untuk Muhammad Adam Asnawi... kesian dekat dia, saya sudah tua dan kurang sihat. Saya risau masa depan dia... nak sekolah, nak membesar dan bagaimana keadaan dia kalau saya dah mati nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pekan Air Panas di Labis, hari ini.
Menceritakan kelahiran Muhammad Adam Asnawi, Normah mendakwa, cucunya itu dilahirkan di terminal bas di Kuala Lumpur, Disember lalu, sebelum dibawa ke sebuah pusat perubatan.
“Masa itu, ada seseorang telefon saya memberitahu perkara ini dan saya kemudian menelefon ambulans untuk membawa ke pusat perubatan berkenaan. Apabila keadaan sudah baik, pihak kebajikan hospital menelefon saya untuk membawa pulang anak perempuan dan cucu ke rumah di sini.
“Bagaimanapun, lebih kurang tiga hari di rumah, saya mengajak anak perempuan untuk mendaftarkan Muhammad Adam Asnawi tetapi dia menolaknya dan lari dari rumah. Saya kemudian membawa sendiri cucu untuk didaftarkan tetapi hanya diberikan sijil kelahiran merah atau bukan warganegara.
“Paling saya risau, Muhammad Adam Asnawi ini mengalami sakit yang agak kronik dan sebab itulah kena bawa ke HPS untuk rawatan. Tanpa dokumen ini, kos rawatannya agak mahal berbanding kemudahan yang disediakan kerajaan untuk warganegara,” katanya.
Normah yang juga seorang ibu tunggal berkata, atas sebab itulah dia berharap kerajaan membantunya kerana khuatir nasib dan masa depan cucunya mungkin berdepan masalah akibat tidak diiktiraf sebagai warganegara.
Selain itu, dia memohon Menteri Pendidikan supaya membantu dua cucunya iaitu Muhammad Shawal Zanawi dan Siti Aisyah supaya ditukarkan ke SJKC Labis kerana jaraknya lebih dekat.
“Kalau boleh nak minta tukar sekolah dari SJKC Sungai Karas ke SJKC Labis kerana jarak lebih dekat. Kalau tidak, jam 5 pagi dah kena bertolak ke sekolah dan bila pulang, kena tumpang orang dan berjalan kaki. Bagaimanapun, isu sijil kelahiran ini lebih utama,” katanya.
Ditanya mengapa tidak menghantar dua cucunya ke sekolah berhampiran, Normah berkata, dia terpaksa menghantar ke sekolah yang agak jauh bagi mengelak tohmahan orang ramai yang sering mengejek mereka dengan perkataan tidak baik.
“Tak ada istilah negatif yang patut diberikan kepada tiga cucu saya ini kerana mereka tidak berdosa dan saya juga tidak mahu berkelahi dengan orang lain. Selagi hayat masih dikandung badan, saya akan tetap menjaga mereka dengan penuh kasih sayang,” katanya.
0 comments: