
Pendang - Ketika kanak-kanak lain seusianya menghabiskan masa cuti sekolah bermain, Mohammad Alif Daneal Mat Rizan, 11, pula mengayuh basikal sejauh tiga hingga tujuh kilometer setiap hari ke pekan Pendang demi menjual pulut udang.
Anak sulung daripada tiga adik beradik ini tidak pernah menyesali dengan kepayahan hidup keluarganya sebaliknya sentiasa berusaha menjana pendapatan melalui jualan makanan diusahakan bapanya, Mat Rizan Mat Isa, 38.
Mohammad Alif Daneal atau lebih mesra dikenali sebagai Alif berkata, dia tidak kisah sekalipun terpaksa mengorbankan masa terluang bermain dengan rakan seusia pada cuti sekolah atau hujung minggu asalkan pendapatan keluarganya dapat ditambah.
“Pada cuti sekolah ini, boleh dikatakan hampir setiap hari saya berkayuh dari rumah saya di Kampung Banggol Petai di Pendang untuk menjual pulut udang yang ayah sudah siapkan.
“Kalau ikutkan memanglah penat tapi saya tetap bersemangat kerana dapat bertemu ramai orang selain membantu keluarga menambah pendapatan.
“Selain itu, ada pembeli yang bermurah hati beri duit lebih kepada saya selepas membeli pulut udang ini dan saya cukup bersyukur kepada Allah SWT. Saya juga berterima kasih kepada mereka yang membeli pulut udang ini,” katanya.
Menurutnya, dia membantu bapa dan ibu tirinya untuk menyiapkan pulut udang itu setiap malam.
“Lazimnya, ayah akan menyiapkan pulut udang ini pada waktu malam dan saya akan minta ayah peruntukkan 50 hingga 100 pulut udang untuk saya jual.
“Saya jualnya pada harga RM3 bagi setiap lima pulut udang. Saya akan pergi ke sekitar bank atau pasar raya di Pendang untuk mendapatkan pelanggan.
“Saya akan berkayuh antara jam 10 pagi sehingga jam 12 tengah hari dan apabila jualan habis, saya akan pulang ke rumah untuk mengambil stok pulut udang sebelum kembali berniaga sehinggalah petang,” katanya.
Alif berkata, dia dan dua adiknya berusia empat tahun serta tujuh tahun tinggal bersama ibu tiri mereka, Norsiha Ahmad Tarmizi, 27, di rumah sewa di kampung berkenaan.
Ibu kandungnya, Sarina Mat Akhir, 42, meninggal dunia dua tahun lalu akibat leukimia.
“Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pendang. Saya akan berniaga pada hujung minggu atau pada waktu terluang.
“Basikal yang saya gunakan ini bukan milik saya sebaliknya ayah yang berikan kerana basikal saya hilang dicuri,” katanya.
Menurutnya, dia mula berminat untuk berniaga selepas bapanya kerap sakit.
“Ayah sakit, jadi saya fikir biarlah saya bawa basikal ini berniaga manakala ayah dan ibu pula siapkan pulut udang untuk jualan.
“Setakat panas atau hujan, tiada masalah, selagi boleh berniaga, saya akan teruskan,” katanya.
Bagi Mat Rizan, dia tidak pernah memaksa Alif untuk keluar berniaga.
“Saya menghidap masalah tekanan darah rendah. Sebelum ini, saya berkerja sebagai tukang rumah dengan mengambil upah membuat, menyiapkan atau membaiki rumah tetapi saya sering pitam di tempat kerja.
“Ia menyebabkan saya terpaksa duduk di rumah dan menumpukan kerja menjual pulut udang. Alif kemudiannya minta saya memperuntukkan sedikit pulut udang untuknya berniaga.
“Saya juga berterima kasih kepada Alif kerana dia bukan saja anak yang baik malah turut membantu keluarga menjana pendapatan,” katanya.
0 comments: