Palu - Sukarelawan-sukarelawan Indonesia mula mengebumikan sejumlah mayat mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi di dalam sebuah kubur besar yang mempunyai ruang untuk lebih 1,000 jenazah semalam.
Indonesia bukan asing dengan bencana alam dan Jakarta seboleh-bolehnya mahu menunjukkan bahawa ia berupaya menangani bencana itu yang menurut angka rasmi mengorbankan lebih 844 orang.
Bagaimanapun, selepas empat hari berlalu, sebahagian kawasan di pedalaman masih belum dapat dihubungi, ubat-ubatan pula makin berkurangan, malah pasukan penyelamat turut dibebani masalah kekurangan jentera berat ketika cuba sampai kepada mangsa yang menjerit dari bawah runtuhan bangunan-bangunan.
Justeru, Presiden Joko Widodo yang lebih popular dengan panggilan Jokowi membuka pintu kepada puluhan agensi dan NGO antarabangsa yang menunggu untuk menghulurkan pertolongan.
“Malam tadi, Jokowi membenarkan kami menerima bantuan antarabangsa untuk bantuan dan tindakan bencana,” kata pegawai kanan pemerintah, Tom Lembong di laman Twitter semalam.
Pemerintah bimbang angka kematian akan naik mendadak dalam masa beberapa hari lagi dan bersiap sedia menghadapi senario terburuk dengan mengisytiharkan darurat selama 14 hari.
Di Pobova iaitu kawasan berbukit-bukau dekat bandar Palu, sukarelawan-sukarelawan mula mengisi sebuah kubur besar dengan mangsa yang maut dalam bencana berkembar itu. Mereka menerima arahan untuk menyediakan kubur bagi mengebumikan seramai 1,300 mangsa.
Pihak berkuasa kini terdesak untuk mengekang sebarang wabak yang mungkin berlaku akibat mayat-mayat mereput.
Dalam perkembangan berkaitan, dua mangsa masih hidup dikeluarkan dari bawah runtuhan Hotel Roa-Roa di Palu, kata agensi mencari dan menyelamat Indonesia, manakala pihak berkuasa percayai lebih ramai mangsa masih hidup terperangkap di bawah runtuhan itu.
Malaysia hantar bantuan ke Indonesia

Malaysia akan menyalurkan bantuan kewangan RM500,000 kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata demikian selepas perbualan telefon dengan Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla, mengenai tragedi yang melanda Palu di kepulauan Sulawesi.
Katanya, selain bantuan kewangan, kerajaan juga akan menghantar pasukan SMART ke kawasan yang dilanda bencana itu bagi membantu kerja mencari dan menyelamat.
Bercakap kepada pemberita di Kompleks Sukan Paralimpik di sini hari ini selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen atlet negara yang menyertai Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Dr Wan Azizah berkata Malaysia menawarkan bantuan itu berikutan Indonesia kini terbuka untuk menerima derma dan bantuan luar.
"Kita akan menghantar pasukan SMART bagi kerja SAR kerana kita mengejar masa bagi memastikan sebanyak mungkin mangsa diselamatkan dan kita juga menyalurkan bantuan kewangan RM500,000 untuk membantu Indonesia menghadapi bencana ini.
"Malah, sudah ada beberapa pertubuhan bantuan antarabangsa seperti Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Mercy Malaysia di Sulawesi sekarang.
“Buat masa sekarang, dari segi logistik, satu-satunya lokasi di mana pesawat boleh mendarat ialah di Makassar yang kini sudah sesak dan Malaysia hanya akan menghantar bantuan selepas mendapat kebenaran untuk mendarat di sana," katanya.
Setakat ini, ratusan orang dilaporkan maut akibat tragedi gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di Palu Jumaat lalu, yang turut mengakibatkan bekalan elektrik serta perhubungan terputus di sekitar bandar itu selain Donggala, wilayah yang paling dekat dengan pusat gempa bumi iaitu sejauh 27 kilometer.
GPM Malaysia lancar tabung bantuan
Dalam kenyataan dikeluarkan mereka semalam, GPM Malaysia memaklumkan bahawa pertubuhan itu sudah berhubung dengan GPM Indonesia bagi mengatur penghantaran barang-barang bantuan kemanusiaan dengan segera kepada penduduk di Kota Palu dan daerah Donggala.
Menurut Ketua Pegawai Operasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Syahrir Azfar Saleh, ketika dihubungi Astro AWANI dalam program 'Bualan', kumpulan pertama pasukan mereka akan berlepas ke lokasi bencana malam ini.
“Namun, pengurusan kargo ketika ini masih belum lagi dimuktamadkan, dan keperluan kargo itu agak kecil.
“Jadi tumpuan lebih kepada bantuan kewangan supaya kami boleh bawa dana tersebut untuk kita belikan sahaja bantuan segera di sana nanti,” jelas Syahrir.
Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) di Indonesia mendedahkan bahawa mereka yang terbunuh dalam bencana itu kini sudah melebihi 800 nyawa, manakala hampir 600 mengalami cedera parah.
16,732 orang kehilangan tempat tinggal dan secara keseluruhannya, sekitar 1.5 juta orang terjejas secara langsung akibat bencana alam ini.
Laporan Pusat Koordinasi Asean Untuk Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre), jenis bantuan diperlukan adalah makanan siap saji, bekalan air bersih, kit kebersihan, keperluan sanitasi, ubat-ubatan dan khemah.
“Tabung bantuan kita buka dalam dua hingga tiga minggu, sehingga keadaan di sana semakin beransur pulih,” katanya.
Bantuan boleh disalurkan secara atas talian menerusi laman web www.billpliz.com/gempasulawesi, atau deposit ke akaun bank GPM Malaysia *rujukan: tsunami.
Anda juga boleh menghubungi Syahrir atau emelkan sebarang pertanyaan ke alamat gpmkewangan@gmail.com.
![]() |
013-2226057 |
![]() |
|
Progress:
|
Goal: RM500 |
0 comments: