
Port Dickson - “Saya dah terbayang Kaabah di depan mata. Saya tidak akan berhenti berdoa dan berharap suatu hari nanti impian saya ke Tanah Suci bersama mak terlaksana,” kata Muhamad Redzuan Haidir, 20.
Muhamad Redzuan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama NGO 3rd Force yang banyak membantunya menguruskan usaha ke Tanah Suci.
“Melihat Kaabah di dalam telefon bimbit memberi kekuatan kepada saya dan seolah-olah sudah berada di sana.
Setiap hari saya berdoa nak lihat Kaabah dan kali ini saya dapat rasai ianya semakin hampir,” katanya di rumah sewanya di Bandar Port Dickson, di sini, semalam.
Muhamad Redzuan ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Norhayati Omar, Pengarah JKM negeri Mohamad Hapil dan Pengerusi 3rd Force Port Dickson Syed Syukri Nizam Jaafar.
Norhayati berkata, Muhamad Redzuan menerima Bantuan Penjagaan Pesakit Terlantar daripada JKM sebanyak RM300 dan Baitulmal RM200 sebulan. Menurutnya, pihaknya menyedari bantuan itu tidak mencukupi memandangkan ibu, Norain Ismail, 53, tidak bekerja.
“Saya sudah berbincang dengan ADUN Bagan Pinang Datuk Tun Hairudin Abu Bakar yang akan mengadakan perbincangan dengan JKM dan Baitulmal bagi menyelaraskan bantuan,” katanya.
0 comments: