
Ipoh - Seorang pemuda terpaksa menerima hakikat impian untuk menyara ibunya hingga ke akhir hayat kian pudar apabila dia disahkan menghidap kanser otak. Kelu lidah Mohd Efandi Mohd Bakri, 38, apabila tersedar di katilnya dan diberitahu bahawa beliau baru sahaja menerima rawatan untuk penyakit yang tidak diundang tersebut.
Katanya, segala ingatannya selama beberapa tahun sebelum itu hilang dalam sekelip mata namun beliau masih mengingati emak dan adik-beradiknya walaupun secara samar-samar. “Selepas pembedahan itu, saya tidak ingat apa yang pernah berlaku dalam hidup saya. Ingatan saya lenyap, menurut doktor itu adalah kesan sampingan penyakit barah otak saya.
“Sehingga hari ini, saya telah menjalani dua pembedahan otak dan rawatan kimoterapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya kepada Suara Perak. Dalam hiba Efandi memberitahu, beliau amat bersyukur dengan sumbangan hospital kerajaan yang telah menanggung hampir keseluruhan pembiayaan kos rawatannya sejak disahkan sebagai penghidap kanser otak tahun lepas.
Efandi sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori, kini dia berusaha menerima hakikat bahawa dirinya sudah tidak bertenaga untuk bekerja. Katanya, apabila mengetahui keadaan penyakitnya itu, perkara pertama yang difikirkan ialah nasib ibunya yang kini berusia 68 tahun.
Efandi berkata, harapannya ialah untuk membalas jasa ibunya namun ketentuan Allah perlu diterima dengan hati terbuka. Katanya, sebelum ini dia bekerja namun keadaannya yang lemah dan sering menggeletar seluruh badan tidak mengizinkan dia meneruskan kerjanya itu.
Beliau memohon ihsan orang awam untuk menghulurkan sumbangan bagi menampung keperluan kos pemeriksaan darah dan rawatan Hepatitis C yang menelan belanja RM800. “Saya juga ingin memohon ehsan orang awam agar menyumbangkan bantuan kewangan bagi menampung perbelanjaan harian.
“Adik-beradik mempunyai tanggungan sendiri. Ibu pula sudah tua, cukuplah bagi kami dua beranak makan,” katanya lagi. ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Hanafiah berkata, pihaknya akan memastikan nasib Efandi terbela dan merujuk tindakan selanjutnya kepada agensi terlibat.
“Kami akan mengajukan perkara ini kepada SOCSO dan ianya akan memakan masa, namun kami akan membantu beliau kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa melawat Efandi di Taman Seri Tambun baru-baru ini.
Aminuddin turut menyampaikan bantuan kewangan dan makanan kepada dua beranak tersebut. Individu yang bermurah hati untuk meringankan beban mereka boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank berikut atas nama Mohd Efandi Mohd Bakri:
0 comments: