
Dari Facebook Danial Rayyan: "Assalamualaikum & selamat pagi sahabat..Anak saya di sahkan menghidap penyakit Ekzema kritikal..saya tak sampai hati melihat baby menangis setiap hari menanggung kesakitan.
Setiap minggu baby refer di HSA JB..saya mohon doakanlah anak saya semoga sembuh dari penyakitnya..Terima kasih"
*BAPA kepada bayi Nur Edriana Maisarah iaitu Mohd Shahril Azman mengucapkan terima kasih kepada pasangan selebriti Nedim Nazri dan Nora Danish yang menanggung kos rawatan penyakit ekzema anaknya yang kini berusia lima bulan.
Shahril berkata, keadaan kesihatan anaknya sudah beransur pulih selepas mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah selepas dapat rawatan pertama kulit anak saya 60 peratus sudah baik. Pada mulanya rasa bimbang pada usia dia empat bulan kulitnya mula tumbuh biji kemerah-merahan.
“Lama-kelamaan dia pecah dan merebak ke seluruh badan serta muka. Saya pergi beberapa hospital tapi ubat tidak sesuai,” ujarnya.
Shahril berkata, dia memuat naik foto anaknya di laman sosial Facebook baru-baru ini dengan tujuan meminta doa orang ramai. Bagaimanapun, posting berkenaan menjadi tular sehingga mendapat perhatian suami aktres Nora Danish.
Shahril yang bekerja sebagai pekerja kilang di Kluang, Johor itu mengakui terkejut apabila anak kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz itu meminta nombor telefonnya untuk dihubungi.
“Saya tiada niat untuk minta bantuan mana-mana pihak, saya muat naik di Facebook sekadar minta doa daripada rakan-rakan sahaja agar anak saya sembuh. “Tidak sangka foto itu tersebar di Instagram sehingga Nedim sendiri menghubungi saya untuk menghulurkan bantuan,” ujarnya.