
Marang - Usianya baru 31 hari namun Abdul Raihan Abdul Rahim sudah menanggung derita akibat kegagalan salah satu buah pinggang dan masalah tulang belakang.
Berikutan keadaan itu, Abdul Raihan memerlukan pemantauan rapi dan tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti bayi seusianya.
Bercerita lanjut, bapanya, Abdul Rahim Razak, 26 berkata, anak bongsunya itu dilahirkan pramatang iaitu ketika kandungan isteri, Nurul Suhada Che Mahmud, 25, berusia 33 minggu.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat bekerja sebagai kelindan lori sejak lebih sebulan lalu kerana perlu membantu isteri menjaga anak sulung, Nurul Auni Safiya, 16 bulan dan pada masa sama memantau keadaan Abdul Raihan.
“Ketika kandungan isteri berusia tujuh bulan, doktor ada memaklumkan bayi di dalam perut mengalami masalah pada bahagian pusat.
“Namun, kami tidak dimaklumkan secara terperinci dan apabila Abdul Raihan dilahirkan, keadaannya tidak seperti bayi normal kerana ususnya di luar perut manakala salah satu pinggangnya gagal berfungsi.
“Tipulah kalau katakan tidak sedih lebih-lebih lagi isteri kerana dia yang melahirkan tetapi kami kuatkan hati untuk reda dengan ketentuan ini,” katanya.
Abdul Rahim yang menetap di Kampung Pak Madah, Bukit Payong, Terengganu berkata, setakat ini, Abdul Raihan berada di rumah dan tiada masalah untuk minum susu seperti biasa.
Menurut Abdul Rahim, anaknya itu juga tidak banyak meragam dan kebiasaannya hanya menangis apabila lukanya dicuci setiap dua jam sekali serta lampin pakai buang ditukar mungkin kerana sakit di bahagian berkenaan.
“Doktor meminta saya dan isteri membawa Abdul Raihan menjalani pemeriksaan susulan pada April dan Jun nanti bagi melihat keadaannya.
“Difahamkan, akan ada pembedahan tetapi belum ada tarikh yang muktamad namun saya bersyukur kerana ramai prihatin rakan berkongsi gambar Abdul Raihan di laman sosial.
“Ada yang datang melawat dan menghulurkan sumbangan kepada kami.
“Terima kasih kepada semua yang membantu meringankan beban kami terutama saya kerana buat masa ini tidak dapat bekerja serta terpaksa meminjam duit daripada rakan serta saudara mara untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.
Sekalipun tidak pasti kemungkinan yang akan berlaku, Abdul Rahim tetap menaruh harapan untuk melihat Abdul Raihan kembali sihat dan membesar seperti bayi lain.
“Kalau boleh, saya mahu dia (Abdul Raihan) hidup seperti bayi normal, bebas daripada penyakit dan dipanjangkan usia.
“Saya dan isteri juga akan menjaganya serta berikhtiar mencari jalan untuk merawatnya selagi diberi kudrat oleh Allah,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu Abdul Rahim boleh salurkan bantuan melalui akaun berikut milik ibunya atas nama Nurul Suhada Che Mahmud atau menghubunginya:
![]() |
014-8242823 |
Progress:
|
Goal: RM2000 |
Follow Us
”Jika kalian menampakkan sedekah maka hal itu baik sekali. Dan jika kalian menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir maka hal itu lebih baik bagi kalian…” (QS: Al-Baqarah [2]: 271)