Ampang - Lebih dua minggu atlet muda silat gayong wanita negara, Ainbatrisyia Amran masih tidak sedarkan diri selepas mengalami kekejangan otot ketika berehat, hanya tiga hari sebelum dijadualkan menyertai kejohanan peringkat kebangsaan.
Ketika kejadian, atlet pra Sukma Pulau Pinang itu sedang berehat selepas menjalani latihan bagi persediaan untuk menyertai Kejuaraan Pencak Silat Kebangsaan pada 21 Mac lalu. Menurut ibu atlet itu, Noorida Ismail,42, Ain mengalami kekejangan otot dan tidak sedarkan diri ketika menyertai latihan pusat di Ampang.
"Sejak hari itu dia langsung tidak sedarkan diri, dan tidak ada sebarang respons daripadanya. "Kelmarin doktor ada menjalani rawatan di bahagian otaknya yang didapati bengkak akibat rawatan pemulihan sistem jantung (CPR) selama sejam ketika insiden berlaku. "Ia juga menyebabkan kakinya lebam akibat saluran darah tidak lancar.
"Hari ini ada sedikit perubahan apabila matanya sedikit bergerak, namun masih belum sedarkan diri," ujarnya dengan nada sayu ketika dihubungi media.
Noorida berkata, sejak insiden malang itu berlaku ke atas anak keduanya, dia dan suami (ayah Ain) mengambil keputusan tinggal di bilik yang disediakan hospital di Ampang itu. "Memang setiap hari tinggal di sini untuk menjaga Ain, terpaksa tinggalkan adik Ain di kampung bersama makciknya.
"Saya memang harapkan Ain akan sedar. Buntu tidak tahu apa nak fikir. "Sejak insiden berlaku Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia ada mengambil berat perkembangan Ain dan memberi bantuan. "Cuma tidak tahu selama mana akan berada di hospital ini dan terpaksa meninggalkan kerja di Pulau Pinang," jelasnya.
Tambah Noorida, sebelum ini Ain memang seorang yang aktif bersukan dalam acara silat dan tidak pernah mengalami apa-apa masalah kesihatan.
"Dia wakil Pulau Pinang pada Sukan Malaysia dan dipanggil untuk berlatih bersama skuad kebangsaan. "Memang terkejut dan sebagai ibu, kejadian ini amat menyedihkan saya," katanya. Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Ain boleh berbuat demikian.
Follow Us
”Jika kalian menampakkan sedekah maka hal itu baik sekali. Dan jika kalian menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir maka hal itu lebih baik bagi kalian…” (QS: Al-Baqarah [2]: 271)