
Pasir Puteh - "Saya mahu berusaha sendiri dan bukan meminta sumbangan. Bantulah dengan membeli barang jualan saya supaya impian anak sulung untuk menjadi doktor tercapai."
Demikian kata ibu kepada tujuh anak, Haryani Mat Hussin, 38, yang menyara keluarganya sendirian termasuk anak sulung, Wan Nuralieya Erissha Wan Hassan Basri, 19, yang bakal melanjutkan pengajian ke Universitas Hasanuddin di Makassar, Indonesia.
"Wan Nuralieya Erissha bersungguh-sungguh mahu melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di universiti itu yang juga program kerjasama dengan UiTM kerana dia membesar dengan melihat saya, datuk dan neneknya sakit. Jadi dia kata mahu berbakti kepada masyarakat.
"Saya berharap dapat menyediakan wang untuk pendaftarannya nanti menerusi jualan popia mini rangup, karipap mini rangup, serunding daging tempatan, serunding ayam dan serunding ikan," katanya ketika dihubungi.
Haryani pernah lumpuh pada 2009 disebabkan sindrom Guillain-Barre yang berlaku apabila sistem imun badannya menyerang sel-sel saraf yang sihat dalam sistem saraf periferal sehingga menyebabkan lumpuh.
"April lalu saya jalani pembedahan kecil kerana kelenjar bengkak. Tahap kesihatan saya tidak menentu kerana kesakitan yang saya alami di dalam perut sudah sekian lama saya rasakan dan hanya mampu makan makanan yang lembut saja.
"Apapun saya tetap kuat dan bersemangat demi anak-anak yang berusia antara 8 bulan hingga 19 tahun memandangkan saya tidak boleh tertekan kerana boleh memudaratkan kesihatan," katanya.
Bercerita mengenai anak sulungnya, Haryani berkata, Wan Nuralieya Erissha berada di Kuala Lumpur sendirian untuk menghadiri taklimat mengenai kursus berkenaan di UiTM Shah Alam hari ini termasuk maklumat terperinci mengenai jumlah bayaran yang perlu disediakan untuk pendaftaran.
"Dia memperoleh keputusan 9A untuk SPM pada 2015 sebelum mengikuti Program Asasi Sains di UiTM Dengkil tetapi gagal mendapat tempat dalam bidang perubatan di universiti tempatan.
"Hanya universiti di Indonesia itu saja yang menerimanya untuk kursus perubatan. Jadi, dia yang memang bercita-cita sejak kecil tekad untuk menerima tawaran itu termasuk sanggup menggunakan wang sendiri RM700 untuk menghadiri temuduga bulan lalu," katanya.
Dalam kepayahan menyara keluarganya, Haryani yang menetap di Kampung Kelubi, Pasir Puteh, Kelantan juga terpaksa menjaga ibunya yang uzur kerana menghidap kencing manis di Kubang Kerian sejak dua bulan lalu dan terpaksa membawa semua barang jualannya bersama.
"Saya uruskan tempahan yang diterima secara dalam talian di rumah ibu dan anak-anak akan bantu untuk proses pembungkusan dan pengeposan kepada pelanggan. Itupun mereka boleh tolong selepas pulang daripada sekolah.
"Tetapi saya akan terus berusaha untuk sediakan keperluan anak dan berharap anak sulung dapat melanjutkan pengajiannya di sana. Hanya berniaga seperti ini yang saya boleh lakukan untuk teruskan hidup," katanya yang berniaga sejak lima tahun lalu secara kecil-kecilan.
Dia berharap agar mendapat bantuan atau pinjaman modal daripada mana-mana pihak untuk mengembangkan perniagaan demi kelangsungan hidup pada masa hadapan. Kepada yang ingin membantu:
Harga pos bergantung pada berat barang.
1 kg pertama = RM 9
2 kg = RM 11
3 kg = RM 13
![]() |
Alia Haryani |
![]() |
01110267559 |
Progress:
|
Goal: RM500 |
0 comments: