
Sik - Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2018 yang kini bertarung dengan kanser otak berharap penglihatannya kembali pulih demi membaca ayat suci al-Quran.
Ibu, Che Anisah Md Saad, 43, berkata, anaknya Muhammad Azwar Mohd Ariff disahkan mengidap kanser otak pada Oktober tahun lalu.
“Azwar mempunyai dua impian, pertama dia berharap matanya kembali pulih untuk membaca al-Quran. Dia yakin penglihatannya akan pulih.
“Kedua, Azwar mahu ke Makkah apabila sihat seperti sediakala,” katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Kiat.
Tambahnya, kanser Azwar masih di peringkat permulaan di mana doktor memaklumkan ketumbuhan itu membesar sepanjang 8 sentimeter. Terdahulu, Azwar dan keluarga diziarahi aktivis kemanusiaan serta kumpulan Amal Qaseh.
Pertemuan hampir 30 minit itu bertukar hiba apabila Azwar yang diminta membaca beberapa potong ayat al-Quran mengalunkan ayat berkenaan dengan suara yang merdu.
Che Anisah berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu hanya mampu memeluk al-Quran.
“Penglihatannya yang kabur menghalang dia membaca al-Quran, jadi Azwar hanya mampu memeluk dan mencium al-Quran. Dia juga tidak dapat ke sekolah lagi.
“Dia juga hanya mengalunkan semua surahsurah dihafal sewaktu masih sihat,” katanya. Dalam keadaan lemah, Azwar tetap bersolat seperti biasa dan tidak pernah meninggalkan tuntutan wajib itu.
Anisah berkata, setiap bulan Azwar akan menerima rawatan lanjut di Hospital Besar Pulau Pinang dan Hospital Alor Setar.
“Dia telah jalani pendedahan otak pada 23 Oktober tahun lalu. Doktor hanya membuang cecair dan mengambil sampel kanser.
“Anak saya sudah habis jalani semua rawatan kemoterapi dan radioterapi. Pada Jun ini, Azwar akan jalani MRI dan daripada situ tahap kansernya dapat diketahui,” katanya.
Sementara itu, aktivitis masyarakat, Rohaidatul Asma berkata, dia dengan kerjasama Amal Qaseh menyantuni 61 buah rumah penduduk Sik bermula Sabtu hingga semalam.
Menurutnya, setiap rumah diberikan bantuan barangan dapur bernilai RM150 hasil jualan amal dan kutipan. “Untuk adik Azwar kita turut menyumbangkan 10 tin susu yang diperlukannya,” katanya.
![]() |
017-5517084 |
Progress:
|
Goal: RM500 |