
Papar - “Jika boleh digantikan tempatnya, biar saya saja didialisis dan andainya diperlukan semua badan saya, ambil saja,” kata ibu tunggal, Nur Azurra Fitriana Wong Abdullah, 38, berhubung penderitaan anak lelakinya selepas kedua-dua buah pinggangnya gagal berfungsi.
Peluang Nahsyeem Ezuan Khalid, 9, untuk sembuh hanya dapat dilakukan melalui pemindahan buah pinggang daripada penderma dan perlu menjalani pelbagai prosedur bagi memastikan buah pinggang itu sesuai atau tidak untuknya.
Menurut Nur Azzura, pada mulanya anak kesayangannya itu dikesan mengalami masalah kebocoran buah pinggang ketika berusia empat tahun dan selepas didiagnosis, ia semakin teruk sehingga menyebabkan kegagalan fungsi di kedua-dua buah pinggang.
“Anak saya kemudian terpaksa makan ubat steroid sebanyak lapan biji sehari untuk sistem imunnya supaya tidak menyerang pada buah pinggang namun ia sudah tidak berkesan sehingga terpaksa menggunakan rawatan dialisis pada Mac lalu.
“Sejak itu, rutin harian kami pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu perlu ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas untuk rawatan dialisis yang mengambil masa selama empat jam,” katanya ketika ditemui di Sabindo, Kinarut hari ini.
Katanya, sejak menerima rawatan dialisis, Nashyeem sudah tidak dapat ke sekolah kerana rawatan itu melalui saluran bahagian lehernya yang terdapat hos Internal Jugular Catheter (IJC) dan ia tidak boleh terlalu terdedah.
“Ini dilakukan melalui saluran di bahagian lehernya dan menyebabkan dia tidak boleh ke sekolah seperti biasa. Namun, dua minggu lalu dia baru saja selesai menjalani pembedahan kecil iaitu perut bahagian kirinya ditebuk untuk menjalani rawatan dialisis Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD).
“Jika tiada sebarang masalah, kemungkinan dia boleh kembali ke sekolah semula kerana bahagian perut tidak terlalu terdedah,” katanya.
Disebabkan keadaan anaknya itu, beliau kini terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menguruskan anaknya dan disebabkan itu, wang simpanannya juga semakin menyusut kerana terpaksa menampung kos perjalanan ke hospital.
“Sejak anak saya menjalani rawatan dialisis, saya terpaksa mengambil cuti untuk membawanya mendapatkan rawatan dialisis dan sudah tentu ia memerlukan kos yang tinggi setiap kali mendapatkan rawatan itu.
“Wang simpanan semakin menyusut ditambah pula saya terpaksa mengambil cuti. Kami turut diberi pilihan sama ada mahu meneruskan rawatan dialisis sepanjang hayat atau membuat pemindahan buah pinggang yang mana anak saya boleh sembuh seperti kanak-kanak lain.
Sehubungan itu, Nur Azzura berkata beliau kini sedang berusaha mengumpulkan wang RM30,000 sebelum membawa anaknya untuk menjalani rawatan pemindahan buah pinggang di Hospital Kuala Lumpur (HKL)
“Peluang untuk anak saya sembuh ada selepas doktor menyarankan ibu bapa sendiri mendermakan buah pinggang dan sekiranya buah pinggang saya atau bekas suami sesuai untuknya, kami akan menjalani rawatan itu di Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, kami memerlukan kos untuk perjalanan, penginapan dan perbelanjaan berkaitan sepanjang di ibu negara menjalani rawatan. Usaha mengumpul dana ini sudah saya mulakan untuk membawanya menjalani rawatan selepas buah pinggang saya atau bekas suami sesuai untuknya,” katanya.
Bantuan boleh disalurkan ke akaun bank berikut atas nama Nur Azurra Fitriana atau boleh berhubung terus dengannya:
![]() |
014-6746486 |
Progress:
|
Goal: RM500 |
0 comments: