
Kota Bharu - “Saya tidak dapat menahan air mata setiap kali menatap wajahnya. Jauh di sudut hati, saya mahu melihatnya tersenyum seperti dulu,” kata Abdul Rahim Alias yang setia menjaga isterinya, Shahidatul Nadiana Suhaimi, 25, yang terlantar akibat asma kronik.
Shahidatul Nadiana menghidap asma ketika usia remaja namun pada 7 November tahun lalu, dia mengalami sesak nafas selepas menjalani rawatan imbasan x-ray di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian dan tidak sedarkan diri sehingga kini.
Abdul Rahim, 25, berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan tekad untuk menjaga isterinya.
“Walaupun pendapatan saya sebagai petani tidak menentu, namun sumbangan mereka yang datang menziarah selain simpanan yang ada, sedikit sebanyak meringankan beban membeli barangan keperluan.
“Setiap bulan saya perlu membelanjakan sehingga RM2,000 untuk membeli susu khas, lampin pakai buang, kos menyewa ambulans setiap kali temu janji termasuk sewa mesin oksigen RM350.
“Susu berharga RM45 setin hanya bertahan untuk sehari dan diberi minum lima kali sehari setiap empat jam melalui tiub yang dipasang di hidungnya,” katanya di rumahnya di Kampung Renek, Bukit Marak, Kota Bharu hari ini.
Pasangan itu menerima kunjungan Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial Prihatin Kelantan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban. Turut hadir, Pengarah Perkeso Negeri, Nora Yaacob.
Abdul Rahim berkata, sebelum isterinya terlantar dia pernah bekerja di restoran makanan segera selama lima tahun.
“Namun kini, dia hanya terlantar dan perlu diuruskan sepanjang masa serta hanya menggerakkan mata sebagai tanda isyarat,” katanya.
Katanya, isterinya juga mendapat bantuan daripada JKM sebanyak RM350 sebulan.
Sementara itu, Nora berkata, melalui kunjungan awal yang dilakukan oleh Skuad Perkeso semakan sudah dibuat dan mendapati carumannya layak mendapat pencen ilat.
“Wanita ini layak menerima pencen ilat sebanyak RM491.83 sebulan dan elaun layanan sentiasa (ELS) berjumlah RM500 sebulan kepada penjaganya serta bantuan alat pemulihan secara berkala seperti susu khas, lampin pakai buang, beg air kencing, saluran tiub dan mesin oksigen,” katanya.
0 comments: