
Kota Bharu - Mohd Amirul Aizat Mohd Usok, 20, mengambil keputusan berhenti sekolah ketika di Tingkatan Empat iaitu selepas setahun kematian bapa mereka, Mohd Usok Ismail, 69.
Anak sulung daripada empat beradik itu kini bekerja sebagai tukang paip dengan pendapatan antara RM40 hingga RM45 sehari.
Mohd Amirul Aizat berkata, bapanya meninggal dunia lima tahun lalu akibat penyakit asma kronik, menyebabkan mereka sekeluarga hilang tempat bergantung sebelum dia mengambil keputusan berhenti belajar.
“Selepas berhenti sekolah, saya bekerja sebagai tukang paip untuk menyara ibu dan tiga adik. Alhamdulillah walaupun gaji kecil, namun saya boleh menanggung keperluan harian dan sekolah dua adik yang belajar di Tingkatan Lima dan Kolej Vakasional Kuala Krai.
“Ibu, Kamariah Mohd Zain, 51, pula menghidap penyakit kencing manis sejak 20 tahun lalu dan kaki kirinya terpaksa dipotong hingga paras lutut, Oktober tahun lalu.
“Sejak kaki ibu dipotong, fokus saya hanya kepada keluarga dan tiada lagi istilah melepak dengan kawan. Selepas habis bekerja, saya bergegas pulang untuk menyediakan makanan kepada ibu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mek Mas, di sini.
Beliau berkata, pergerakan ibu kini menggunakan kerusi roda menyebabkan ia agak terbatas dan perlu dibantu.
“Dua adik saya yang masih belajar tinggal di asrama, maka saya yang perlu menguruskan ibu di rumah. Jika sebelah pagi saya tidak sempat menyediakan makan untuk ibu, saya akan meminta bantuan saudara yang tinggal berdekatan.
“Alhamdulillah ibu mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dan bantuan itu sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan kami sekeluarga,” katanya.
Katanya, tugas yang perlu digalas ketika usia muda itu tidak pernah membebankannya sebaliknya dia rasa bersyukur kerana berpeluang menjaga ibu dan adik-adiknya.
“Sebagai anak sulung, saya sanggup berkorban apa saja demi ibu dan pelajaran adik,” katanya. Orang ramai boleh memberi sumbangan melalui akaun bank berikut atas nama Kamariah Mohamed Zin:
0 comments: