Abang mithali berkorban menjaga adik terlantar hidap tumor otak - Inisiatif KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Inisiatif KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Saluran setempat memaparkan senarai golongan kurang bernasib baik / B40 / asnaf di Malaysia yang memerlukan bantuan. Sumbangan boleh disalurkan terus kepada pemohon berdasarkan maklumat yang terdapat di dalam artikel. Sebarang urusan atau pertanyaan sila emel ke: info@kcpbantu.org

Advertisement Top





Seri Manjung - Mus Muliady dan isteri, Siti Aishah Neizam, 31, sanggup berkorban menjaga dengan penuh kasih sayang dan memberikan sepenuh...

Abang mithali berkorban menjaga adik terlantar hidap tumor otak


Seri Manjung - Mus Muliady dan isteri, Siti Aishah Neizam, 31, sanggup berkorban menjaga dengan penuh kasih sayang dan memberikan sepenuh perhatian kepada Mohd Firdaus, 30, adik kandung yang sudah tidak lagi mampu menguruskan dirinya sendiri.

Walaupun sibuk dengan tugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), naluri Bintara Kanan Mus Muliady Mustaffa, 34, sebagai abang melebihi segalanya apabila dia sanggup berkorban masa menjaga adiknya yang terlantar sakit akibat tumor otak.

Mohd Firdaus juga mengalami minor strok pada bahagian badan sebelah kiri dan kini hanya terbaring di atas katil dengan segala urusan hariannya diuruskan abang dan kakak iparnya. Mus Muliasy berkata, adiknya itu dikesan mempunyai tumor otak pada September 2017 di Hospital Sungai Buloh, Selangor, selepas kerap sakit kepala dan hilang keseimbangan badan sejak Julai tahun sama.

“Tumor itu masih ada walaupun adik sudah menjalani tiga pembedahan tahun lalu dan sekarang kami masih menunggu keputusan Pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan jika tumornya membesar kemungkinan adik perlu dibedah lagi.

“Tumor itu turut mengganggu saraf mata, pendengaran dan sistem serta pergerakan tangannya selain tidak boleh bernafas secara normal dan dia kini bernafas melalui tiub ditekaknya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Manjung Point Seksyen 1 di Seri Manjung.

Mus Muliady berkata, sejak disahkan mempunyai tumor otak, pergerakan adiknya terjejas sedikit demi sedikit sehingga tidak lagi mampu menguruskan diri hujung November 2017. Menurutnya, rutin hariannya sebelum keluar bekerja adalah menguruskan adiknya itu sebelum tugas itu diambil alih isterinya sepanjang dia bekerja.

“Saya tidak pernah menganggap menguruskan adik sebagai beban kerana tanggungjawab dan kasih sayang adik beradik itu melebihi segalanya, malah pesanan arwah emak yang mahu kami saling membantu sentiasa diingati.

Menurutnya, dia bersyukur kerana adiknya itu menerima pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan bantuan lampin pakai buang, susu dan beg kencing daripada agensi itu.

“Adik terpaksa menggunakan tiub untuk minum serta bergantung dengan susu khas dengan memerlukan satu tin kecil sehari yang berharga kira-kira RM50 selain memakai lampin pakai buang, perbelanjaan bulanan adalah sebanyak RM1,700 tidak termasuk kos ulang alik ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Seri Manjung,” katanya.

“Wang itu digunakan sepenuhnya untuk tambahan keperluan bulanannya dan setakat ini kami tak pernah lagi terputus bekalan keperluan dia...mana yang tak cukup saya akan usaha juga,” katanya. Buat masa ini keutamaannya adalah menjaga adiknya dan sebab itu dia dan isteri mengambil keputusan untuk menangguhkan rawatan alternatif bagi mendapatkan zuriat.

“Untuk tidak mengganggu proses rawatan, kami sepakat menangguhkan dahulu rawatan dan apabila adik sudah sihat kami akan meneruskan rancangan itu kerana sukar nak tinggalkan dia, malah Mohd Firdaus sendiri lebih selesa jika saya yang uruskan dia,” katanya yang sudah berkahwin selama tujuh tahun.

Katanya, dalam menghadapi dugaan itu dia bersyukur isterinya, Siti Aishah sentiasa memberi sokongan dan bersama-sama membantu menguruskan Mohd Firdaus selain bantuan rakan, jiran, majikan dan ahli keluarga termasuk bapa mereka.

Menurutnya, selagi hayat dikandung badan dan selagi ada daya dia akan menjaga adiknya dan doanya setiap hari diberikan kesihatan yang baik untuknya menjaga Mohd Firdaus.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun bank berikut atas nama Mohd Firdaus Mustaffa:

Progress:

RM0 raised

Goal: RM500

0 comments:

Kongsi Portal Ini