
Klang - Pada Disember tahun lalu, Abheelash Arunkumar teruja untuk memulakan sekolah menengah selepas mendapat 6A dalam UPSR.
Bagaimanapun perasaan itu hilang selepas dikesan mengidap sejenis kanser otak - glioblastoma multiforme (GBM). Bekas murid SJK(C) Wu Teck, Klang itu pertama kali merungut sakit kepala di pagi dia sepatutnya mengambil keputusan UPSR.
Ibunya, Parvin, pada mulanya merasakan ia hanyalah kerana berdebar berhubung perkara itu. Dia kemudian membelikan cermin mata baru buat anaknya, menyangka sakit kepala itu kerana penglihatan yang semakin buruk.
Sakit kepala Abheelash tidak berkurang. Parvin membawa anaknya - dipanggil Abhee - ke hospital. Imbasan CT menunjukkan ada ketumbuhan di otak. Tidak lama kemudian, dia didapati mengidap GBM.
"Biasanya, Abhee seperti kanak-kanak lain, tetapi ada kalanya dia sukar mengingat suatu perkara. "Tetapi beberapa hari lepas, dia memulakan rawatan radioterapi dan dalam keadaan yang amat menyakitkan.
"Hari ini dia ke sesi radioterapi kedua. Dia juga menjalani rawatan imunoterapi," kata nenek Abheelash, S Mariammah kepada media hari ini.
Katanya lagi, mereka terpaksa ke Melaka setiap hari untuk rawatan kerana kemudahan di sana yang dapat digunakan dalam notis singkat. Rawatan ini selepas Abheelash menjalani pembedahan membuang sebahagian ketumbuhan, 13 Disember lalu.
Dalam video yang dimuat naik di laman Facebook 'Let's Fight Cancer with Abheelash', Parvin berkata dia terkejut apabila anaknya itu didapati menderitai penyakit itu. Menurut Mariammah, Abheelash turut menyertai sekumpulan kanak-kanak yang mengagihkan salinan memorandum membantah perkahwinan kanak-kanak kepada wakil rakyat di Parlimen baru-baru ini.
Katanya lagi, keluarganya menghabiskan RM50,000 untuk pembedahan pertama cucunya itu. Mereka manganggarkan rawatan imunoterapi akan menelan belanja RM350,000 manakala radioterapi RM32,000.
Mariammah berkata mereka tiada pilihan selain mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana senarai menunggu di hospital kerajaan terlalu panjang.
Justeru keluarga itu telah melancarkan kempen sumbangan di Facebook. Parvin berkata mereka berharap sumbangan orang ramai dapat membantu menampung kos rawatan anaknya.
Gambar resit bayaran sesi imunoterapi berharga RM16,858.70 turut dimuat naik di laman itu, serta laporan perubatan dan imbasan MRI yang menunjukkan ketumbuhan di otaknya.
Pihak keluarga merayu sumbangan orang ramai. Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui nombor akaun bank berikut:
0 comments: