Gadis sanggup cuti tanpa gaji demi menjaga ibu terlantar sakit - KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Saluran setempat memaparkan senarai golongan kurang bernasib baik di Malaysia yang memerlukan bantuan. Bantuan boleh disalurkan terus kepada pemohon berdasarkan maklumat yang ada di dalam artikel. Sebarang urusan atau pertanyaan sila emel ke: [email protected]

Advertisement Top




Machang - Demi kasih terhadap ibu, dia sanggup mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga ibunya yang terlantar dalam keadaan separuh sedar,...

Gadis sanggup cuti tanpa gaji demi menjaga ibu terlantar sakit


Machang - Demi kasih terhadap ibu, dia sanggup mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga ibunya yang terlantar dalam keadaan separuh sedar, selepas terbabit kemalangan sejak lebih setahun lalu.

Bagi Nur Farah Shakylla Ramli, 23, dia mempunyai tanggungjawab lebih besar daripada bekerja iaitu menjaga ‘syurganya’ yang kini terlantar sakit dan memerlukan perhatian.

Nur Farah Shakylla berkata, dia sempat bekerja selama dua bulan sebagai kerani akaun di syarikat kontraktor di Kuala Lumpur sebelum ibunya, Noraini Abu Seman, 59, terbabit dalam kemalangan pada Disember 2017.

“Selepas melihat keadaan ibu yang terlantar tanpa upaya, hati berasa sedih dan mengambil keputusan untuk berhenti, namun majikan memberi saya cuti tanpa gaji selama mana tempoh diperlukan untuk menjaga ibu.

“Pada masa sama, saya juga mahu membantu ayah, Ramli Che Ngah, 65, yang bekerja sebagai buruh untuk menguruskan keperluan ibu kerana ayah mempunyai penyakit darah tinggi dan memerlukan rehat yang cukup.

“Walaupun saya mempunyai adik beradik lain, namun biarlah saya yang berkorban untuk menjaga ibu kerana abang dan kakak ada yang sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab selain dua adik kembar yang masih menuntut di institut swasta dan seorang lagi belajar di sekolah menengah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpul Belubang, Machang.

Menceritakan semula kemalangan itu, Nur Farah Shakylla berkata, ibunya terbabit dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ketika dalam perjalanan pulang sebaik menghantar ayahnya ke tempat kerja yang terletak satu kilometer (km) dari rumah.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, akibat kemalangan itu, ibunya mengalami pendarahan dalam kepala dan doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk membuang sedikit tempurung kepala di bahagian kanan bagi mengelakkan jangkitan kuman.

“Selepas kemalangan itu, ibu tidak lagi boleh bercakap dan hanya boleh menggerakkan sedikit jari sebelah tangan kiri sehaja selain menggunakan bahasa tubuh apabila dia berasa tidak selesa atau sakit di mana-mana bahagian anggota badan.

“Selama sebulan ibu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan tiga bulan selepas itu dipindahkan ke wad biasa.

“Sebelum dibenarkan pulang ke rumah, ibu dirujuk ke Hospital Machang bagi memastikan kesihatannya berada di tahap memuaskan,” katanya yang mengharapkan ibunya kembali sihat dan pulih seperti sedia kala.

Katanya, setiap bulan mereka sekeluarga memerlukan sekurang-kurangnya RM1,200 untuk membeli susu sahaja, tidak termasuk lampin pakai buang, ubat-ubatan dan pengangkutan ulang alik ke hospital setiap kali temujanji di HUSM.

“Wang bantuan bulanan yang diperolehi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan digunakan untuk membeli keperluan ibu dan dalam masa sama abang serta kakak juga ada meghantar wang belanja untuk meringankan kos perbelanjaan ibu.

“Ibu perlu diberi minum susu sebanyak lima kali sehari iaitu setiap empat jam sekali melalui tiub yang dipasang di hidung dan setin susu yang berharga RM118, hanya bertahan untuk tiga hari sahaja,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun CIMB, 7054441521, atas nama Nur Farah Shakylla Ramli.

0 comments:

Kongsi Portal Ini