
Padang Terap - Sepasang suami isteri yang kesempitan hidup di Kampung Pecah Gadong di Kuala Nerang, di sini menjadikan sebuah dangau kecil dan usang yang tidak berdinding sebagai tempat berteduh sejak 11 bulan lepas.
Mohd Ridzuan Ismail, 36, dan isterinya Norshafizawati Shaari, 33, tinggal di dangau atau pondok yang dibina daripada batang kayu dan bumbung plastik itu sejak Mac tahun lepas, selepas berpindah keluar dari rumah ibu saudaranya yang terletak berhampiran kawasan itu.
Lebih memilukan, pasangan itu tinggal di dangau itu tanpa bekalan air dan elektrik bersama tiga anak mereka termasuk paling bongsu yang baharu dilahirkan 15 hari lepas.
Norshafizawati yang masih dalam pantang berkata mereka sekeluarga sebelum ini tinggal di rumah ibu saudaranya, namun bertindak keluar kerana rumah itu sudah terlalu padat kerana didiami oleh 10 lagi anggota keluarga dan saudaranya yang lain.
“Rumah itu adalah rumah adik kepada ayah saya. Ayah dan mak saya juga tinggal di situ, bila ramai macam ini, saya dan suami beralah keluar dan buat tempat tinggal ini (dangau kecil itu).
“Apabila waktu malam, anak saya berumur 10 tahun dengan yang kecil berumur 15 hari ini, saya tumpangkan tidur di rumah mak saudara saya ini manakala anak yang umur enam tahun pula tidur dengan kami dalam dangau ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung itu hari ini.
Norshafizawati berkata dia mempunyai lima anak yang kesemuanya perempuan, namun dua lagi anaknya yang berusia 12 dan 13 tahun tinggal di Asrama Anak Yatim dan Miskin Baitul Ehsan, Kampung Perik dekat sini sejak tiga tahun lepas.
Norshafizawati yang tidak bekerja berkata, suaminya hanya melakukan kerja-kerja kampung tanpa pendapatan tetap menyebabkan mereka tiada pilihan dan terpaksa tinggal di dangau ini walaupun berdepan pelbagai risiko yang mengancam keselamatan dan kesihatan.
“Kalau hujan beserta angin kuat adalah tempias kena kami dalam dangau ini, tetapi tidak sampai pernah roboh lagi setakat kami tinggal sini. Kadang-kadang ada jumpa binatang berbisa seperti ular dan kala jengking,” katanya.
Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata dia yang turut menoreh getah dan mencari ulam-ulaman untuk dijual hanya memperoleh pendapatan antara RM400 hingga RM600 sebulan dan sangat mengharapkan bantuan daripada orang ramai agar dia sekeluarga dapat tinggal di rumah yang selesa dan selamat.
“Di dangau ini, kami hanya masak air dan Maggie menggunakan dapur kayu. Jadi, saya kalau boleh nak bantuan rumah secepat mungkin,” katanya yang setakat ini hanya mendapat bantuan zakat untuk persekolahan tiga anaknya sebanyak RM400 setahun.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan terus di nombor akaun berikut atas nama Mohd Ridzuan atau menghubunginya:
![]() |
013-8973640 |
![]() |
|
Progress:
|
Goal: RM500 |
0 comments: