
Ipoh - "Mak, acu nak RM5 je, acu tak nak banyak. Nanti lepas kerja, acu ganti balik."
Demikian permintaan terakhir Mohammad Nor Ikram Mohd. Husni, 15, kepada ibunya, Nor Aziah Ropandi, 43, sebelum keluar bekerja bersama empat rakannya di sebuah premis rumah kedai yang terbakar di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, di sini hari ini.
Nor Aziah berkata, dia hanya tahu kejadian yang menimpa anak ketujuh daripada lapan beradik itu setelah dimaklumkan oleh jirannya yang juga bapa kepada salah seorang mangsa yang turut terkorban.
"Jiran datang dan beritahu, anak kita dah habis, anak kita dah rentung. Saya tak percaya tapi bila melihat keadaannya yang lembik, saya tahu dia cakap betul.
"Saya tidak sangka benda ini akan jadi. Acu memang anak yang baik dan selalu membantu saya. Dia bekerja pun katanya untuk cari duit lebih untuk belanja sekolah," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.54 petang itu, enam lelaki termasuk lima remaja dan seorang dipercayai pemilik premis ditemukan rentung dalam kebakaran yang dikatakan berpunca daripada bahan letupan.
Mereka yang dikenal pasti terkorban ialah Ahmad Faizal Aminuddin, 16; Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16, dan Mohammad Nor Ikram Mohd. Husni, 15, serta P. Thiagarajan, 40.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, kesemua mayat rentung itu ditemui di bahagian atas rumah kedai dua tingkat terbabit.
Menurutnya, kesemua mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk bedah siasat dan ujian DNA bagi mengenal pasti identiti mangsa.
Katanya, hasil siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berlaku di tingkat atas bangunan itu, dan semakan juga mendapati ia tidak dilesenkan sebagai tempat simpanan bahan letupan.
“Polis sedang menyiasat bagaimana boleh ada bahan letupan di dalam premis itu kerana ia tidak dilesenkan sebagai tempat simpanan, jika kedai sebelah yang tertera pakar bahan letupan itu, ia memang dilesenkan.
“Sebab itu polis sedang menyiasat bagaimana ia boleh disimpan di premis ini. Jika pemilik premis sebelah dan premis ini (individu) sama pun, ia (bahan letupan) tidak boleh disimpan di lokasi lain dan perlu disimpan di lokasi sama,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.
Yahya berkata, pada masa ini polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 304 Kanun Kesesaan iaitu membunuh tanpa niat kerana dipercayai terdapat unsur jenayah membabitkan bahan letupan disimpan di lokasi yang tidak dilesenkan.
Menurutnya, terdapat seorang mangsa yang juga saksi terselamat kerana berada di bahagian luar dan pihaknya akan merakam keterangan daripada saksi itu bagi melengkapkan siasatan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sayani Saidon berkata, seramai 20 pegawai dan anggota menyertai operasi berkenaan selepas pihaknya menerima maklumat terdapat mangsa dalam kebakaran terbabit.
Katanya, sebaik tiba, pihak bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke premis bersebelahan, namun mengambil masa lama untuk memadamkan keseluruhan kebakaran berikutan terdapat banyak bahan letupan.
“Bomba mendapati terdapat kesan letupan dan kesan bahan-bahan letupan. Berdasarkan papan tanda, ia adalah premis pengaturcara majlis, namun terdapat bahan letupan di tingkat atas.
“Kesemua mayat mangsa dibawa keluar dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
0 comments: