PENDANG - Seorang bapa runsing memikirkan nasib anak angkatnya yang tidak mempunyai sijil kelahiran.

Johari Ishak, 53, berkata, anak angkatnya itu Nurul Husna, 11, kini belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rawa menggunakan surat kebenaran sementara.

Katanya, surat berkenaan perlu diperbaharui setiap enam bulan namun begitu ia tetap tidak boleh digunakan untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Sekarang anak saya Tahun Lima dan nanti jika berterusan dia tak ada surat beranak dia tak boleh ambil periksa," katanya ketika ditemui di Kampung Durian, semalam.

Menurut Johari, dia dan isteri Siti Fatimah Wahab, 53, mengambil Nurul Husna dari isteri seorang saudara jauh.

"Kami menerima Nurul Husna pada tahun 2008 daripada saudara tanpa sebarang dokumen kelahiran.

"Cumanya depa ada bagi saya surat pencarian sijil kelahiran namun tidak mempunyai sebarang nilai," katanya.

Johari berkata, saudaranya itu ada berjanji untuk memberikan sijil kelahiran namun hampa.

"Sejak saudara saya bercerai dengan isterinya saya tidak lagi berharap untuk mendapatkan sijil kelahiran berkenaan.

"Saya mula buat laporan polis, dan melakukan pelbagai prosedur bagi membolehkan anak saya mendapat sijil kelahiran.

"Namun sehingga kini usaha saya hanya sia-sia apabila tak ada pihak yang tampil membantu," katanya.

Johari berkata, Nurul Husna tidak dapat bersekolah selama 10 bulan ketika tahun empat.

"Masa tu dia tertinggal banyak sangat pelajaran, kesian dia ulangkaji semua tanpa bimbingan guru.

"Walaupun dia hanya anak angkat, tapi kasih sayang kami tak terperi kerana kami tidak dikurniakan zuriat," katanya.

Tambah Johari, masalah menjadi sangat rumit apabila Nurul Husna perlu berurusan dengan pihak tertentu seperti hospital.

"Kalau dia demam saya tak boleh nak hantar dia ke hospital sebab tak ada sijil kelahiran dan terpaksa membeli ubat di farmasi," katanya.

Tambah Johari, dia dan isteri sangat berharap ada pihak tertentu membantu Nurul Husna agar dapat menduduki UPSR dan menjalani kehidupan seperti warganegara lain.