
Alor Setar - Seorang pelajar terpaksa menangguhkan pengajiannya di Kolej Universiti Islam Selangor demi menjaga ibunya yang terlantar menderita barah payudara tahap empat sejak Disember tahun lepas.
Penuntut semester tiga jurusan Al-Quran dan Al-Sunnah dengan Komunikasi, Mohd Khairul Adhar Mat Isa, 25, berkata biarpun berat hati untuk berbuat demikian, namun demi tanggungjawab dan kasih, beliau nekad untuk pulang ke kampung halaman dan berada di samping ibunya, Siti Sa'dah Hussain, 62.
"Ayah telah meninggal dunia tiga tahun lalu dan saya mengambil tanggungjawab ini menjaga ibu...bila saya akan sambung semula pengajian belum tahu lagi kerana perlu beri tumpuan kepada ibu yang sangat lemah ketika ini.
"Ibu juga tidak boleh bergerak dan bercakap hingga bergantung sepenuhnya kepada saya untuk memenuhi keperluan hariannya untuk makan, minum dan diberi ubat," katanya di rumahnya di Taman Permai, Jalan Langgar, di sini, Isnin.
Mohd Khairul Adhar berkata, ibunya seorang bekas penyelia sebuah sekolah asrama di sini dikesan menghidap barah payudara pada Disember tahun lepas apabila pemeriksaan yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati ada ketumbuhan pada payudara sebelah kiri.
"Kerana lewat dikesan, kuman mula merebak ke bahagian otak menyebabkan ibu sering diserang sawan dan hanya terlantar di rumah, doktor juga memberitahu tiada rawatan khusus dapat diberikan kerana keadaan ibu lemah," katanya.
Mohd Khairul Adhar yang berbaki setahun setengah pengajian itu turut memohon sumbangan orang ramai serta pihak berkenaan bagi meringankan beban yang ditanggung.
"Sejak ibu sakit, kami bergantung kepada duit pencen ibu dan arwah ayah sebanyak RM2,000 sebulan untuk beli barang dapur, susu khas dan lampin pakai buang serta beli keperluan lain untuk ibu, duit itu tidak termasuk apabila ditolak dengan bayaran ansuran pembiayaan pinjaman ibu sebelum ini," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu bolehlah sumbangkan terus ke akaun bank berikut atas nama Mohd Khirul Adhar atau hubunginya:
![]() |
013-4912208 |
![]() |
|
Progress:
|
Goal: RM500 |