
Nur Fazreen Azhar, 17, dari Kampung Bukit Laka, dekat sini, berkata dirinya pernah mengambil cuti selama sebulan berikutan kesihatan ibu, Zalihah Ja’afar, 43, semakin merosot.
Pelajar SMK Datuk Mansor itu berkata, biarpun persiapan menghadapi SPM agak terjejas, menjaga ibunya yang kini hanya mampu terlantar adalah lebih penting, selain menguruskan dua adik berusia tiga dan 12 tahun.
“Ayah hanya bekerja kampung dan perlu menyediakan perbelanjaan, terutama untuk menghantar ibu mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dua kali sebulan serta membeli ubat tambahan.
“Sewa rumah RM200 sebulan pula sudah enam bulan tertunggak kerana ayah tidak mampu membayarnya. Namun, setakat ini, kami bernasib baik kerana tuan rumah memahami masalah dihadapi keluarga.
“Bil utiliti juga tertunggak. Mujur dua hari lalu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung yang melawat kami, membantu menjelaskan tunggakan bil air,” katanya ketika ditemui di rumah mereka.
Nur Fazreen berkata, sebelum ini, ibunya demam dan mengalami gusi berdarah sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Bahau untuk mendapatkan rawatan.
Anak kedua dari empat beradik itu berkata, ibunya kemudian disahkan menghidap leukemia dan dirujuk ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
“Ibu sudah menjalani rawatan kemoterapi dan menunggu masa untuk pembedahan sum sum tulang, namun memerlukan penderma yang sesuai.
“Dua beradik ibu ada menawarkan diri tetapi seorang daripada mereka didapati tidak sesuai, manakala seorang lagi perlu menunggu hasil ujian terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu anak sulung Zalihah, Hazfanizam Shah, 20, yang juga penuntut di Politeknik Port Dickson, berkata kesempitan kewangan yang dialami keluarga menyebabkannya sering mengikat perut di asrama.
Beliau berkata, keadaan itu turut menyebabkan dirinya tidak dapat memberi sepenuh perhatian terhadap pengajian, tambahan pula sering memikirkan keadaan kesihatan ibu.
“Saya berjimat cermat dan tidak kisah berlapar sebab memahami masalah kewangan keluarga. Malah, saya kasihan kerana ayah perlu mencari duit untuk membayar bil rawatan ibu yang masih tertunggak sebanyak RM1,713.
“Cuma kerana terlalu memikirkan keadaan kesihatan ibu, saya gagal satu subjek dan perlu mengambilnya semula pada semester depan,” katanya yang sepatut menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekatronik, bulan depan.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank berikut atas nama Zalihah Ja’afar:
0 comments: