
Rembau - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Perumpamaan itu sesuai menggambarkan kesukaran hidup yang terpaksa dilalui seorang ibu tunggal, Mazliana Ahmad, 34.
Selepas kematian suaminya pada tahun lalu, dia diuji lagi apabila anak keduanya daripada tiga beradik, Muhammad Adam Awaludin Helmey, 6, tahun di-sahkan menghidap kanser darah.
“Sebelum ini Muhammad Adam pernah mengadu sakit perut dan kaki tapi saya anggap itu perkara biasa. Bagaimanapun, pada satu hari dia terjatuh di rumah semasa hendak ke bilik air dan banyak kesan lebam di bahagian kakinya.
“Bimbang dengan keadaan itu, saya membawanya ke Klinik 1Malaysia tapi doktor meminta dia dirujuk ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui di Kampung Nyatoh, Rantau, di sini baru-baru ini.
Mazliana memberitahu, setelah dirawat selama lima hari dan menjalani pemeriksaan di hospital berkenaan doktor mengesahkan penyakit Adam.
“Selepas itu dia dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan menjalani rawatan kimoterapi selama sembilan bulan. Sepatutnya rawatan hanya dalam tempoh enam bulan sahaja tetapi memandangkan dia terlalu kerap diserang demam panas, doktor menasihatkan rawatan dilanjutkan,” katanya.
Suri rumah itu berkata, sejak kematian suami dialah yang bertanggungjawab sepenuhnya menyara keluarga.
“Pada masa ini, saya menjual kek coklat dan mempromosikan makanan tersebut di laman sosial, Facebook.
“Harga yang dijual antara RM1 hingga RM35. Pendapatan yang diperoleh menjual kek coklat itulah saya guna untuk menampung keperluan harian keluarga,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh dua bulan, Adam perlu menjalani pemeriksaan di HKL dan pemeriksaan darah di HTJ yang dianggarkan kira-kira RM200 setiap kali mendapatkan rawatan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan kepada Mazliana melalui akaun berikut:
![]() |
013-6184917 |
|
|
![]() |
|
Progress:
|
Goal: RM500 |
0 comments: