
Dalam tempoh itu juga, Meriam Zakaria, 37, tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada Nur Fathia Izara Mohd Zaki yang berusia empat bulan seperti yang dilakukannya sebelum ini kepada tiga anaknya yang lain berusia 11, sembilan dan empat tahun.
Dia juga hilang upaya untuk menyaksikan anaknya itu membesar dan kegembiraan mereka sekeluarga menyambut orang baru turut bertukar pilu secara tiba-tiba. Menurut suaminya, Mohd Zaki Ismail, 37, isterinya hanya sempat menjaga anak bongsu mereka dalam tempoh yang sangat singkat berikutan mengalami masalah kesihatan yang teruk.
"Selepas melahirkan anak bongsu, dia jadi semakin lemah, kerap muntah dan kedua-dua belah tangannya jadi kaku dan tidak dapat digerakkan. "Sebelum ini, dia pernah berkeadaan begitu termasuk ketika mengandung, namun tidak berpanjangan. Meriam akan sihat selepas beberapa hari.
"Tetapi keadaannya jadi serius selepas melahirkan anak bongsu dan saya membawanya ke hospital, namun dia tidak sedarkan diri selepas rawatan dan lumpuh. "Malah, pemeriksaan doktor mendapati oksigen tidak sampai ke bahagian kepalanya dan turut menyebabkan dia tidak dapat bercakap selain dia seperti hilang ingatan," katanya.
Mohd Zaki berkata, hatinya pilu apabila melihat anak bongsu membesar tanpa belaian Meriam, malah bayi itu hanya sempat menyusu badan selama 18 hari sahaja. Mereka kini terpaksa menumpang di rumah kakaknya bagi memudahkan dia menguruskan Meriam dengan dibantu ahli keluarga.
"Saya perlu menguruskan isteri saya sepenuhnya termasuk pakaian serta memberinya susu khas menggunakan wayar melalui hidung dan perlu sentiasa membersihkan wayar di bahagian leher yang ditebuk," katanya. Dia yang menguruskan bengkel kimpalan di Lubok Stol, Rantau Panjang memperoleh pendapatan yang tidak seberapa.
Mohd Zaki mengakui hasil kerjanya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan perubatan isteri dan perbelanjaan empat anaknya. "Memandangkan isteri saya memerlukan lampin pakai buang dan susu khas, saya perlu menyediakan RM600 sebulan untuk keperluannya tidak termasuk perbelanjaan anak-anak untuk ke sekolah dan yang masih kecil.
"Isteri saya juga perlukan katil khas memandangkan dia tidak boleh bergerak. Sekarang ini kami meminjam katil daripada saudara terdekat yang bersimpati dan menggunakannya untuk sementara waktu," katanya. Menurutnya, takdir itu terlalu berat untuk dipikul, namun dia perlu cekal dan kuatkan semangat supaya isterinya pulih seperti sedia kala, apatah lagi anak-anak memerlukan ibu mereka.
Orang ramai yang bersimpati dengan nasib keluarga ini boleh menyalur sumbangan ke akaun bank berikut atas nama Mohd Zaki Ismail:
0 comments: