
Port Dickson - Aidilfitri paling menyedihkan kerana kali ini ia begitu mencabar buat ibu tunggal, Hajijah Pawi, 47, kerana menyambutnya di hospital sementara dua anaknya masing-masing berusia lapan dan 14 tahun ditinggalkan sendirian di rumah.
Hajijah, dimasukkan ke Hospital Port Dickson sehari sebelum Aidilfitri bagi membuang cecair yang membusung dalam perutnya.
"Saya dan anak, Muhammad Zulirfan Zulkifli, 14, dan Nur Qariesha Safira, 8, baru sahaja berpindah ke rumah sewa di Taman Wawasan, Lukut sejak seminggu lalu atas bantuan pertubuhan bukan kerajaan.
"Sebelum ini kami menyewa hampir tiga tahun di rumah kedai di Taman Naga tidak jauh dari sini," katanya.
Tambahnya, kedua-dua anaknya itu menyambut Aidilfitri dengan jiran tetangga selain berharap mereka memahami kesusahan dan cabaran hidup yang perlu dilalui.
"Saya harap kesusahan ini akan menjadikan mereka rajin belajar untuk mengubah kehidupan di masa hadapan kerana saya tidak pasti setakat mana usia saya," katanya sambil menangis.
Hajijah berkata, dia dimasukkan ke hospital kerana penyakit misteri dan doktor mengeluarkan sebanyak 7.5 liter cecair berwarna kuning daripada perutnya tetapi masih tidak dapat mengesan apakah penyakitnya.
Dia yang sebatang kara di Semenanjung, berasal dari Miri, Sarawak menerima bantuan e-Kasih RM250 sebulan sehingga hujung tahun ini.
"Saya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM270 sebulan dan perlu membayar sewa rumah RM500 sebulan.
"Saya pening kepala memikirkan hal ini kerana baki yang tinggal di tangan hanya RM20, belum lagi bil ulititi seperti air dan api," katanya.
Hajijah berkata, anak-anaknya tidak merasa berbaju baharu pada hari raya tetapi mereka memahami sebaiknya. Apa yang lebih utama, mereka sekeluarga masih hidup sebagai keluarga.
Kesempitan hidup mereka sebelum ini menarik perhatian beberapa NGO dan individu prihatin yang membantu membeli peralatan rumah.
"Terima kasih kepada penyumbang, hanya Allah yang dapat membalas budi baik mereka, saya amat terharu.
"Namun saya perlu juga memikirkan beberapa perkara terutama berkaitan persekolahan anak-anak di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Jumaat dan Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam.
"Saya berharap anak-anak tabah kerana saya nak berjalan pun tak mampu, hanya menggunakan kerusi roda atau tongkat. Duit simpanan pun habis digunakan untuk membayar deposit sewa rumah sebanyak RM1,500," katanya.
Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi Hajijah di talian berikut:
![]() |
019-5826405 |
Progress:
|
Goal: RM500 |
0 comments: