
Georgetown - Seorang bekas guru tuisyen, Mohd. Jamil Mustafa, 36, mengakui terpaksa menebalkan muka menahan malu untuk meraih simpati umum demi meringankan beban derita penyakit kronik dihidapinya sejak 2017.
Dia ketika dihubungi menjelaskan, dua tahun lalu, selepas membuat pemeriksaan kesihatan, doktor telah mengesahkannya sebagai pesakit diabetis, namun penyakit itu masih di peringkat awal.
“Pada masa sama, kemelut kewangan dihadapi menyukarkan lagi proses merawat penyakit ini secara berjadual seperti mana dinasihatkan doktor pakar.
“Dek kekangan itu, saya pasrah atas kehilangan kaki kanan yang dipotong bagi membendung diabetis daripada merebak, lantas memudaratkan lagi kesihatan semasa.
“Selaku pemegang kad pengenalan OKU, Alhamdulillah saya dikecualikan daripada pelbagai caj rawatan di sebarang hospital milik kerajaan.
“Bagaimanapun, saya masih perlukan wang membayar tambang kenderaan ulang-alik ke hospital serta tampung kos sara diri bagi menampung pembelian makan minum serta pakaian,” katanya berterus-terang.
Lebih menyedihkan, tahap kesihatan Jamil yang makin merosot menyebabkannya hilang upaya untuk meneruskan khidmatnya sebagai pendidik.
Jamil yang menetap bersama ibu tuanya di Teluk Kumbar, Pulau Pinang menambah, tahap penglihatan matanya yang kian kabur telah menghadkan pergerakan.
“Memang malu sebenarnya nak merayu bantuan ini tetapi saya terpaksa juga lakukannya. Wang elaun diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat sekadar cukup untuk mengisi perut kami dua beranak.
“Kini, luka-luka di kaki kiri saya makin memburuk sehingga mengeluarkan nanah beserta bau hanyir. Pergerakan saya terbatas, cuma harapkan tongkat atau kerusi roda untuk berjalan,” tambah Jamil.
Justeru, bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, boleh hubungi Jamil menerusi talian berikut atau terus salurkan sumbangan ke akaun bank miliknya atas nama Mohd. Jamil Mustafa:
![]() |
010-3915485 |
Progress:
|
Goal: RM500 |
0 comments: