
Pasir Puteh - Kekangan kemiskinan memaksa seorang ibu tunggal dan tiga anak tinggal dalam reban ayam di belakang rumah ibunya, di Kampung Banggol Tiga Daerah, Bukit Abal, di sini tanpa sebarang kemudahan.
Rabiatuladawiyah Ayub, 32, yang berpisah dengan suaminya sejak enam bulan lalu memilih reban ayam yang dibaiki dengan dinding zink terbuang sebagai kediaman mereka sekeluarga kerana tidak mahu mengganggu dan membebankan ibunya.
Menurutnya, bekalan letrik disambung dari rumah ibunya sekadar untuk satu lampu sahaja dan tiada ruang dapur mahupun bilik tidur. "Saya juga mendapat bekalan air dari rumah ibu dan sekali sekala memasak dan makan di luar rumah yang dahulunya adalah reban ayam.
" Rumah ibu juga kecil dan hanya ada satu bilik sahaja sememangnya tidak sesuai untuk kami tinggal di situ. Apa lagi ibu baharu sahaja berkahwin dengan lelaki pilihannya," katanya yang tinggal di situ sejak dua bulan lalu.
Rabiatuladawiyah berkata, anaknya, Wan Nurdhia Irdina Wan Rubuan, 7, Wan Mohd. Aniq Anaqi, 6, dan Wan Mohd Firas Irfan, setahun, hanya makan nasi sekali sehari kerana tidak ada sumber pendapatan.
"Saya juga gagal membekalkan wang saku sekolah kepada Wan Nurdhia Irdina. Saya tidak memasak kerana tidak ada dapur, duit jiran bagi saya gunakan untuk beli makanan. Paling utama empat bungkus nasi untuk sekali makan," katanya.
Kisah keluarga ini tular di laman sosial selepas pemderitaan hidup mereka dikesan NGO yang diketuai Mohd. Asri Abdullah. Menurut Mohd. Asri gabungan lebih 12 NGO bersetuju untuk membantu keluarga tersebut dengan pelbagai pendekatan bagi membela nasib ibu tunggal berkenaan.
Katanya, salah seorang pimpinan NGO, Mohd. Zamrud Hassan sedang berusaha mendapatkan dana untuk membina rumah bagi menggantikan reban ayam. Sementara itu, Ketua Jajahan Pasir Puteh, Abd. Pattah Hasbullah berkata, kisah keluarga berkenaan sudah mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk JKM.
“JKM telah menghulurkan bantuan segera bagi meringankan bebanan ibu tunggal yang tinggal dalam ruang sempit di atas tanah yang hanya beralaskan tikar.
"Kita juga sedang mengurus bantuan bulanan untuk anaknya sebanyak RM300 sebulan, manakala siasatan lebih terperinci sedang dilakukan oleh penggawa kawasan tersebut," katanya.
0 comments: