Suami isteri tabah menjaga dua anak istimewa anugerah Allah - KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

KCPbantu - Laman Bantuan Sosial Setempat Rakyat Malaysia

Saluran setempat memaparkan senarai golongan kurang bernasib baik di Malaysia yang memerlukan bantuan. Bantuan boleh disalurkan terus kepada pemohon berdasarkan maklumat yang ada di dalam artikel. Sebarang urusan atau pertanyaan sila emel ke: [email protected]

Advertisement Top




Kota Bharu - Dianugerahkan anak berstatus orang kurang upaya (OKU) bukan sesuatu yang memalukan bagi pasangan suami isteri ini, malah mer...

Suami isteri tabah menjaga dua anak istimewa anugerah Allah


Kota Bharu - Dianugerahkan anak berstatus orang kurang upaya (OKU) bukan sesuatu yang memalukan bagi pasangan suami isteri ini, malah mereka tabah membesarkan amanah Allah SWT itu dengan sebaiknya walaupun berdepan pelbagai kesukaran.

Mazlan Ab Rahaman, 53, dan Wan Noor Maziah Wan Abdollah, 42, tidak pernah mengeluh apatah lagi kecewa apabila anak mereka, Hafizul Rahman, 14, dan Nur Qaseh Umairah, 6, dilahirkan OKU ketidakupayaan fizikal.

Wan Noor Maziah berkata, melalui perkahwinan keduanya itu, dia dikurniakan dua anak istimewa dan sebagai ibu bapa, mereka berusaha memberikan kehidupan terbaik kepada anak syurga itu.

“Saya mendirikan rumah tangga yang kedua selepas arwah suami meninggal dunia akibat kemalangan pada 1999 dan daripada perkahwinan terdahulu saya dikurniakan tiga anak yang berusia antara 20 hingga 22 tahun.

“Walaupun dua daripada lima anak dilahirkan OKU, namun saya tidak pernah menganggap mereka sebagai beban tetapi kurniaan Allah yang tidak ternilai,” katanya ketika ditemui di Majlis Meraikan OKU di Jalan Dusun Muda di Kota Bharu.

Katanya, ketika proses kelahiran Hafizul dan Qaseh, kedua-duanya lemas dan keadaan itu menyebabkan mereka membesar menjadi OKU selain tidak boleh bercakap dan berjalan.

Menurutnya, selepas dilahirkan Hafizul ditempatkan di Pusat Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian selama seminggu.

Berat Hafizul kini hanya 13.5 kilogram (kg) dan tidak membesar seperti remaja seusianya dan hanya bergantung kepada susu.

“Berbeza dengan Qaseh yang kelihatan normal selepas dilahirkan, namun ketika berusia lima bulan saya melihat dia tidak seperti bayi lain kerana hanya terbaring dan tidak memberi tindak balas. Qaseh dirujuk ke HUSM dan ditempatkan di PICU sebelum doktor mengesahkan Qaseh OKU ketidakupayaan ketika berusia lapan bulan.

“Setiap bulan saya memperuntukkan belanja hampir RM2,000 untuk dua anak termasuk lampin pakai buang, susu dan kos ulang-alik ke hospital untuk berjumpa pakar serta rawatan fisioterapi.

“Bagi menampung perbelanjaan, kami bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja di tempat pemprosesan ayam dengan upah RM30 sehari dan ada kalanya terpaksa meminjam wang daripada adik-beradik,” katanya yang tinggal di Wakaf Aik, Tawang, Bachok.

Katanya, dia bersyukur kerana dua anaknya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing RM300 sebulan dan ia boleh mengurangkan bebanan mereka.

Wan Noor Maziah berharap ada pihak sudi menyumbang mesin jahit kerana dia boleh menjahit dan mahu membantu meringankan beban suami menyara keluarga.

“Saya tidak pernah berenggang dengan dua anak kerana perlu penjagaan rapi dan dipantau kerana bimbang mereka melakukan perkara yang boleh memudaratkan diri.

“Masa depan mereka, cuma Allah yang tahu. Saya reda dan terima hakikat kekurangan anak dan selagi hayat dikandung badan, saya mahu terus menumpahkan seluruh kasih sayang kepada mereka.

“Bagi memudahkan untuk menguruskan mereka terutamanya setiap kali temu janji di hospital, saya juga memerlukan kereta sorong bayi,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Rakyat, 221051396136, atas nama Wan Noor Maziah Wan Abdollah atau boleh menghubungi di talian 017-9043577.

0 comments:

Kongsi Portal Ini